Apa dah jadi ni?
- Saya pernah menjadi Ahli Parlimen (1990-2004). Tetapi, apa yang terjadi di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada petang 19.9.2023, tidak pernah berlaku di zaman tersebut.
- Secara khusus, saya tidak pernah menyaksikan seorang Ahli Parlimen yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dinafikan haknya untuk menarik balik sangkaan jahat yang dilemparkan kepada dirinya oleh Ahli Parlimen lain, waimah oleh Perdana Menteri.
- Saya juga tidak pernah melihat di mana usaha mendapatkan keadilan menerusi 36(6) ini tidak diatasi secara saksama.
- Tidak juga saya pernah alami di mana tindakan itu pula cuba diatasi dengan meminta pihak yang mengeluarkan sangkaan jahat itu membuat penjelasan yang lebih berbelit-belit dan lebih mengelirukan.
- Anehnya, apabila pihak yang mahu memelihara nama baiknya terus berkeras untuk diberi keadilan, pihak itu pula dijatuhkan tindakan keluar Dewan.
- Oleh kerana penjelasan Ketua Pembangkang untuk memohon pembelaan kepada pihak yang menuntut keadilan pun diketepikan, itulah sebabnya pihak Pembangkang bertindak keluar Dewan secara beranai-ramai, atas nama solidariti dan setiakawan.
- Inilah contoh kecelaruan yang kini dibimbangi majoriti rakyat jelata. Mereka muak kerana sindrom penafian, putar-belit dan lain-lainnya.
- Kepada saya, kekecohan itu boleh diatasi dengan mudah, iaitu dengan meminta pihak yang melemparkan sangkaan jahat, untuk menarik balik kata-kata yang didakwa mengandungi sangkaan jahat.
- Apa pun, pihak yang terkesan dengan sangkaan jahat ini perlu segera mendapatkan salinan verbatim Laporan Rasmi Dewan Rakyat mengenainya dengan serta-merta sebelum diedit.
- Ini akan membolehkan beliau mengambil beberapa lagi tindakan memperolehi keadilan menerusi Peraturan Mesyuarat.
- Namun soalnya di sini, berapa lama lagi agaknya kita semua akan terus menghadapi kecelaruan ini?
Datuk Dr Ruhanie Ahmad
Mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor
19.9.2030





Leave a Reply