Pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan etika berpakaian bagi wanita Islam ketika menunaikan umrah atau ziarah di Masjidil Haram di Makkah.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata jemaah wanita berhak memakai pakaian yang mereka sukai ketika umrah namun, dengan syarat mereka mematuhi peraturan tertentu.

Pakaian itu mestilah longgar, tanpa perhiasan dan menutupi seluruh badan wanita itu, kata kenyataan kementerian itu yang disiarkan dalam X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Peraturan itu dibuat tatkala jumlah jemaah umrah semakin meningkat di Arab Saudi.

Arab Saudi menjangkakan kira-kira 10 juta umat Islam dari seluruh dunia akan menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram di Makkah pada musim semasa yang telah bermula hampir dua bulan lalu.

Musim itu bermula selepas berakhirnya ibadah haji tahunan yang dihadiri kira-kira 1.8 juta umat Islam buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun selepas sekatan berkaitan pandemik Covid-19 ditarik balik.

Kebanyakan umat Islam, yang tidak mampu dari segi fizikal atau kewangan untuk mengerjakan haji telah pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Arab Saudi telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam dari seluruh dunia yang datang ke negara itu untuk mengerjakan umrah.

Umat Islam yang memegang pelbagai jenis visa masuk seperti visa peribadi, lawatan dan pelancong dibenarkan untuk mengerjakan umrah dan melawat Al Rawda Al Sharifa, di mana makam Nabi Muhammad SAW terletak di Masjid Nabawi di Madinah selepas membuat tempahan e-temu janji.

Pihak berkuasa Saudi telah melanjutkan visa umrah daripada 30 hari kepada 90 hari dan membenarkan pemegangnya memasuki negara itu melalui semua saluran darat, udara dan laut serta keluar dari mana-mana lapangan terbang.

Jemaah wanita tidak lagi perlu diiringi oleh mahram lelaki.

Kerajaan Arab Saudi juga berkata bahawa ekspatriat yang menetap di negara-negara Majlis Kerjasama Teluk layak memohon visa pelancong, tanpa mengira profesion mereka, dan boleh menunaikan umrah.

Kementerian Haji dan Umrah juga mengeluarkan garis panduan penting untuk ibu bapa dan penjaga apabila membawa anak-anak menunaikan umrah. – Gambar Twitter

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah juga mengeluarkan garis panduan penting untuk ibu bapa dan penjaga apabila membawa anak-anak menunaikan umrah.

Arahan itu menekankan kepentingan memastikan pengalaman umrah yang selamat dan selesa untuk kanak-kanak.

Berikut adalah empat arahan penting yang disediakan oleh Arab Saudi:

  1. Gelang pengenalan: Adalah penting untuk memakaikan gelang pengenalan pada pergelangan tangan kanak-kanak ketika menemani mereka menunaikan ibadah umrah. Ini berfungsi sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan memudahkan pengecaman jika perlu.
  2. Elakkan masa dan tempat yang sesak: Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya menjauhi masa dan tempat yang sesak di dalam di Tanah Suci. Memilih waktu yang kurang sesak boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih tenang dan terurus untuk kanak-kanak ketika melaksanakan umrah mereka.
  3. Kebersihan diri kanak-kanak: Menjaga kebersihan diri kanak-kanak adalah amat penting. Ibu bapa harus memastikan anak-anak berada dalam keadaan bersih dan selesa, kerana ini menyumbang kepada pengalaman umrah yang lebih menyenangkan dan sihat.
  4. Pertimbangan pemakanan: Ibu bapa digalakkan untuk mengambil berat tentang makanan yang diambil oleh anak-anak mereka ketika umrah. Mengekalkan diet yang sihat dan sesuai untuk kanak-kanak adalah penting untuk kesejahteraan mereka sepanjang ibadah ini.

Selain itu, Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini telah berkongsi lima etika mengunjungi Masjidil Haram, sekali gus meningkatkan lagi pengalaman ziarah kepada semua pengunjung. Adab-adab ini termasuk:

  1. Dandanan diri: Jemaah haji digalakkan mewangi diri dan memakai pakaian terbaik sebagai tanda hormat.
  2. Membaca doa: Apabila memasuki masjid, dianjurkan untuk membaca doa yang sesuaisebagai tanda khusyuk.
  3. Gunakan kaki kanan: Apabila memasuki Masjidil Haram, adalah adat untuk melangkah masuk dengan kaki kanan, lambang penghormatan dan ketakwaan.
  4. Menjaga ketenteraman: Jemaah dinasihatkan untuk mengekalkan suasana tenang dan menjaga maruah di dalam kawasan suci, menyumbang kepada suasana aman dan hormat.
  5. Memelihara kebersihan: Akhir sekali, adalah penting untuk menjaga kebersihan dan kesucian Masjidil Haram dengan membuang sampah secara bertanggungjawab dan menjaga alam sekitar. – Agensi

Leave a Reply

Trending