Oleh V. Ashok
SUKAR dipercayai, tetapi itulah realitinya. Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Hangzhou membuat kejutan besar apabila menyebut tidak mensasarkan pingat emas, sebaliknya mahu memburu 27 pingat sahaja tanpa mengira warna.
Bukan nak kata pelik atau hairan, tetapi nampak seperti tiada sifat berani kali ini untuk menyuarakan secara jelas buruan emas. Adalah mustahil andai kita akan pulang tanpa tuaian emas kali ini.
Ini sesungguhnya satu ‘pengumuman menarik’ yang belum pernah didengar, malah berlaku pertama kali dalam beberapa dekad lalu. Nampak seperti kita perlu bersabar dan melihat perkembangannya.
Hujah yang diutarakan – tidak mahu umumkan secara spesifik sasaran pingat – adalah dengan tujuan tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan ke atas atlit negara.
Difahamkan, pengakuan atlit mengenai tekanan berlebihan ketika beraksi dalam Sukan SEA di Kemboja, Mei lalu turut mendorong pihak berkuasa sukan membuat keputusan ini.
Kontinjen negara yang ketika itu meletakkan sasaran 40 emas di sukan serantau itu hanya mampu meraih 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menghuni tangga ketujuh – satu pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan di era moden.
Apakah keputusan terbaru pihak berkuasa sukan itu mungkin juga satu ‘psikologi terbalik’ yang boleh melihat tindak balas lebih positif daripada atlit bangkit lebih garang membuktikan nilai masing-masing sebagai jagoan negara.
Kita harap macam itulah kesudahannya di Hangzhou, bulan ini.
Sebagai peminat sukan, kita terima saja keputusan terkini pihak berkuasa yang lebih memahami situasi atau pun kemampuan sebenar kontinjen kali ini.
Apa lebih penting, atlit negara dapat memberikan persembahan terpuji, berbaloi dengan pelaburan besar ke atas mereka. Rakyat sebagai pembayar cukai juga mahu mendengar berita menggembirakan.

Ketua Kontinjen Negara, Datuk Chong Kim Fatt kata sasaran emas akan beri kesan kepada persembahan atlit dengan tekanan tambahan.
Cuma kita tidak mahu lihat, tanpa sasaran emas atlit akan lebih condong kepada perak atau gangsa kerana sudah memadai dapat naik ke podium. Kita tidak kata semua atlit terpilih kali ini akan berfikir ke arah itu, tetapi harap kemungkinan seperti itu tidak berlaku.
Sukan Asia bermula pada 23 September ini dan berakhir pada 7 Oktober depan di China.

Dr Pekan Ramli
Penganalis sukan negara, Dr. Pekan Ramli pula ibaratkan pengumuman terkini oleh Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt sebagai ‘mencari jalan mudah’ dan tidak melontarkan cabaran kepada atlit negara untuk pulang dengan kutipan emas lebih baik.
“Sebab apa? Takut atlit tertekan? Hanya atlit yang mampu mengatasi tekanan sahaja boleh muncul atlit hebat.
“Kalau tidak, setakat taraf jaguh kampung atau Sukan SEA sajalah. Usahlah nak guna pakai alasan agak kuno ini. Macam memalukan ramai orang bijak pandai sukan di negara ini. Jikat tak berani mungkin wajar mereka boleh tukar kepada aktiviti rekreasi saja,” katanya.
Pekan juga memberi pandangan sinis betapa sukan kita maju setapak ke hadapan tapi mundur bertapa-tapak ke belakang. Ini bukan sekadar bercakap mengenai pencapaian tetapi juga pemikiran sebenar.
“Macam kelakar pula apabila umumkan sasaran Sukan Asia adalah 27 pingat tanpa mengira warna. Ini sudah pasti bukan sasaran emas seperti amalan-amalan sebelum ini”.
Pada majlis penyerahan Jalur Gemilang (11 September), Ketua Kontinjen Negara, Kim Fatt berkata mereka akan menyandarkan harapan kepada 13 acara iaitu terjun, badminton, hoki, karate, wushu, berbasikal trek, ekuestrian, memanah, perahu layar, sepak takraw, skuasy, olahraga dan e-sukan untuk menyumbang pingat diharapkan.
Majlis penyerahan itu disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Di Sukan Asia di Hangzhou, Malaysia akan diwakili 289 atlit yang bakal beraksi dalam 22 daripada jumlah 40 acara sukan dipertandingkan kali ini.
“Apabila kita umum sasaran pingat emas, ia hanya akan menambahkan tekanan tambahan ke atas atlit dan mungkin memberi kesan kepada persembahan mereka nanti,” kata Kim Fatt dalam sidang media seperti di petik oleh Bernama, semalam (Isnin).
Beliau menambah, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak terbabit, termasuk Universiti Sains Sukan Nippon dari Jepun yang bekerja rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN).
Pekan lantas membidas dengan padangan berbeza apabila menyebut kita tidak perlu meniru cara Jepun yang tidak menyasarkan pingat emas kerana atlit kita berada pada tahap berbeza dengan negara gergasi itu.
“Kenapa nak ikut macam Jepun. Kita kena sedar Jepun memang tak sasarkan pingat emas, tetapi mereka gah menghuni tangga kedua secara keseluruhan di Sukan Asia 2018 (Jakarta-Palembang) dengan 75 emas, 56 perak dan 74 gangsa.
“Kini mereka mensasarkan kedudukan tiga teratas. Jadi kalau sasaran sebegitu bermakna berapakah jumlah emas yang perlu mereka perolehi di Hangzhou? Boleh kah kita nak ikut seperti Jepun dalam soal sasaran ini? Kita kena akur kita memang berada pada tahap yang berbeza.
“Bukan Jepun sahaja, Korea Selatan juga tidak letak sasaran emas untuk Hangzhou. Tetapi mereka di kedudukan ketiga di Palembang dengan 49 emas, 58 perak dan 70 gangsa. Kali ini mereka menyasarkan memburu tempat kedua keseluruhan di belakang China”.
“Bayangkanlah, walaupun tidak sasarkan emas tetapi untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan berapakah agaknya emas yang perlu mereka kejar nanti. Jadi janganlah soal pendekatan tidak mensasarkan emas ini kita nak tiru mereka. Kita kena sedar yang acuan kita berbeza”, katanya.
Pekan juga menghambur kata-kata pujian ke atas negara jiran serantau kita yang pada pengamatannya sudah berada bertapak-tapak di hadapan.
“Falsafah negara-negara jiran kita itu tidak memeningkan peminat sukan negara mereka. Congakan mereka tidak rumit, mungkin sebabnya mereka barangkali tidak sebijak pemimpin sukan negara kita”.
“Tuan rumah Sukan Asia 2018, Indonesia mensasarkan 8 hingga 12 emas untuk kedudukan ke-12 keseluruhan di Hangzhou nanti. Vietnam pula mensasarkan lebih 5 emas untuk kedudukan lebih baik daripada tempat ke-16 keseluruhan di Palembang”.
“Fillipina turut mensasarkan lebih 4 emas di Hangzhou untuk memperbaiki pencapaian ke-19 keseluruhan. Rasanya kebanyakan negara Asia Tenggara tidak mengambil pendekatan yang sangat saintifik yang digunapakai oleh kontinjen Malaysia di Sukan Asia Hangzhou ini”.
“Apa pun, jangan lupa kepada satu perkara. Adakah nilai insentif mengikut warna pingat negara kali ini perlu setara atau tiada ‘kasta’ lagi kerana penanda aras sudah berubah. Mungkin pingat ke-27 negara nanti bukan emas atau perak tetapi gangsa dan pemenangnya perlu dijulang sebagai wira dan penyelamat kepada kontinjen Malaysia,” katanya.
Malaysia yang meletakan sasaran tujuh pingat emas ketika Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang berjaya pulang dengan 36 pingat (7 emas, 13 perak dan 16 gangsa).
Terdahulu, Pengarah bahagian atlit MSN, Jefri Ngadirin beranggapan langkah tidak mengumumkan sasaran emas kali ini pernah diamalkan oleh banyak negara, termasuk Jepun dan Australia, begitu juga anggota ASEAN seperti Singapura dan Filipina.
“Sudah pasti setiap persatuan sukan dan atlit ada sasaran masing-masing. Sebagai contoh Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal trek) mahu dua pingat emas tetapi kita tidak akan umumkan untuk mengelak tekanan ke atas mereka. Kita ada 14 atlit dalam ranking lima teratas Asia dan mereka mampu naik ke podium tanpa banyak halangan,” katanya.
Jika pasukan berbasikal trek boleh buat sasaran emas, persatuan sukan kebangsaan lain yang terbabit juga harus berani menyuarakan buruan kilauan emas masing-masing. Sekurang-kurangnya peminat sukan tanah air akan mendapat suatu gambaran kasar mengenai kemampuan wira dan srikandi kita di Hangzhou.
Ingat peminat dan pemerhati sukan tanah air bukan macam dulu, ikut sahaja apa diumumkan. Kumpulan dalam alaf baru ini cukup bijak, berpengetahuan untuk menilai sendiri kemampuan atlit negara tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa sukan.
Majulah sukan untuk negara!
Gambar utama: Majlis penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (barisan depan, dua dari kiri), Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria (dua dari kanan) dan CDM, Datuk Chong Kim Fatt (paling kiri) di MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 September.






Leave a Reply