Kebanyakan orang yang menceburi bidang fotografi biasanya bukan untuk mendapatkan wang atau sekurang-kurangnya, tidak menjadikan wang sebagai sasaran dan keutamaan.

Demikian juga beberapa individu, termasuk seorang jurugambar bebas, Johari Bin Saad yang merakam gambar-gambar yang penuh dengan seni dan disiarkan dalam Facebooknya.

Fotografi ialah satu usaha yang artistik, dan seperti semua bentuk seni, tarikan itu bukan pada potensi pendapatannya, tetapi pada keinginan seseorang untuk melakukan sesuatu yang menyeronokkan, kreatif dan berbaloi.

Fotografi juga adalah satu bentuk seni yang membolehkan kita merakam dan mengekalkan kenangan, bercerita dan mengekspresikan diri kita dengan cara yang unik dan kreatif.

Foto yang indah boleh menghasilkan wang. – Gambar daripada FB Johari Bin Saad

Demikianlah bagi sesetengah mereka yang kreatif, termasuk jurugambar, tidak memikirkan wang dalam fotografi, namun ianya patut dipertimbangkan.

Tetapi perkara yang menarik berkaitan disiplin seni seperti fotografi ialah, walaupun ia merupakan hobi yang menyeronokkan atau cara menarik untuk meluangkan masa, ia juga merupakan profesion yang berpotensi menguntungkan dan mendapatkan wang.

Bersedia untuk menjadikan hobi anda sebagai kerjaya sebenar? Teruskan membaca untuk mengetahui cara menjana wang sebagai jurugambar. Menurut Adorama:

Petua buat duit dengan fotografi
Ada beberapa cara membuat wang dengan fotografi sama ada mudah, sederhana dan sukar. Tidak semua perkara itu mudah, tetapi penilaiannya adalah berdasarkan sama ada anda boleh memperoleh wang secara sambilan atau sepenuh masa dengan hanya merakam gambar-gambar menarik.

Cara paling mudah menjana wang dengan fotografi
Bagi kebanyakan orang, sukar untuk mengetahui cara menjana wang dengan fotografi tanpa banyak penyelidikan atau percubaan dan bersedia dengan kesilapan.

Cadangan berikut memudahkan anda masih mempraktikkan kreativiti anda. Anda boleh membuat duit beberapa foto dan pada masa sama mengekalkan kerja sepenuh masa anda.

Fotografi ialah satu usaha yang artistik, dan seperti semua bentuk seni, tarikan itu bukan pada potensi pendapatannya, tetapi pada keinginan seseorang untuk melakukan sesuatu yang menyeronokkan, kreatif dan berbaloi. – Gambar oleh Johari Bin Saad

Jual atau lesenkan gambar yang anda rakam di laman simpanan gambar
Adakah anda mempunyai koleksi foto berkualiti tinggi? Mengapa tidak menyerahkannya ke tapak simpanan fotografi? Ia adalah cara yang baik untuk memperoleh aliran pendapatan.

Jadi penyumbang untuk tapak seperti iStock, BigStock dan ShutterStock, atau muat naik foto anda ke akaun Flickr peribadi anda sendiri dan lesenkannya melalui Getty Images.

Cara menjual gambar yang anda rakam:
Daftar sebagai penyumbang. Anda akan dikehendaki memberikan beberapa maklumat asas berkenaan diri anda, serta dokumen pengenalan untuk membuktikan identiti anda;

  • Baca dan biasakan diri anda dengan garis panduan penyerahan;
  • Muat naik foto anda dan tambahkan metadata, maklumat perihal gambar dan kata kunci yang berkaitan; dan
  • Serah gambar anda untuk semakan.

Sertai peraduan fotografi.
Adakah anda tidak percaya bahawa kemahiran anda cukup bagus untuk memenangi pertandingan fotografi? Fikir semula! Lagipun, bukan hanya pakar yang menyertai pertandingan ini.

Peserta yang akan anda saingi biasanya terdiri daripada gabungan jurugambar dengan tahap pengalaman dan kepakaran yang berbeza. Jadi jangan takut untuk meneroka dan mencuba nasib anda.

Anda tidak perlu berasa kehilangan apa-apa. Walaupun anda tidak memenangi sebarang hadiah wang tunai, peraduan fotografi boleh membantu meningkatkan keyakinan anda dan memberi sedikit pendedahan.

Terdapat banyak pertandingan foto di luar sana, dan hadiah utama boleh mencecah beberapa ribu ringgit! Berikut adalah laman web untuk menyemak:

National Geographic Your Shot;
International Photography Awards;
Nikon Small World; dan
Sony World Photography Awards.

Jual atau lesenkan gambar yang anda rakam di laman simpanan gambar. – Foto oleh Johari bin Saad

Mulakan blog fotografi atau saluran YouTube
Blogger membuat wang melalui iklan dan kandungan yang ditaja. Jika anda seorang penulis yang mahir, cara lain untuk menjana wang adalah dengan memulakan blog fotografi anda sendiri.

Anda boleh membuat tutorial, berkongsi petua dan helah, atau menulis ulasan tentang semua jenis peralatan dan perisian fotografi. Lakukan penyelidikan anda dan tulis berkaitan topik yang paling orang minat.

Setelah anda melakukan penyelidikan anda, fahami kata kunci yang dicari oleh orang dan anda akan dapat mencipta kandungan yang sesuai.

Demikian juga, anda boleh membuat wang dengan memulakan saluran YouTube berkaitan fotografi. Ia pada asasnya kandungan yang sama (tutorial, ulasan, dan lain-lain) tetapi dalam bentuk video.

Bagaimanapun, blog atau saluran YouTube anda perlu mendapat pengikut yang baik sebelum anda benar-benar boleh mula menjana wang daripadanya.

Gambar yang cantik ialah karya seni dan orang ramai akan membayar untuk seni. – Foto oleh Johari Bin Saad

Jual gambar bercetak
Gambar yang cantik ialah karya seni dan orang ramai akan membayar untuk seni. Jika anda ingin memperoleh wang tunai tambahan dengan menjual cetakan kerja anda, berikut ialah beberapa cara untuk melakukannya:

  • Jual foto anda di tapak web anda sendiri atau muat naiknya ke tapak seperti ImageKind;
  • Bawa salinan berbingkai foto anda untuk dijual di pameran seni dan kraf, atau jual hanya melalui Etsy;
  • Dapatkan foto anda dipaparkan di kedai kopi, restoran dan kedai lain;
  • Tawarkan salinan bercetak kepada pelanggan anda; dan
  • Jual foto anda di galeri seni atau fotografi tempatan.

Sebelum anda mula menjual gambar cetakan, cari perkhidmatan percetakan yang baik dahulu (lihat Printique) untuk memastikan kualiti produk. Selain itu, sebagai peraturan umum, orang ramai biasanya tidak membeli foto dengan ada individu lain di dalamnya.

Jadi cuba elakkan daripada menjual foto jenis ini. Lagipun, cetakan yang mereka beli mungkin akan dipaparkan di rumah atau pejabat mereka.

Cara lebih sukar untuk mendapat wang daripada fotografi
Jika anda bersedia untuk mendedikasikan lebih banyak masa bagi kerjaya fotografi profesional, ketika itulah banyak lagi peluang pendapatan akan mula terbuka kepada anda.

Buat kerja fotografi bebas untuk majalah atau akhbar
Hubungi majalah dan akhbar tempatan anda dan tanya tentang kemungkinan kerja bebas atau sambilan. Ia pastinya tidak akan menjadi pekerjaan yang stabil, tetapi ia adalah cara terbaik untuk mendapatkan wang secara sampingan.

Akhirnya, apabila anda telah menjalinkan hubungan dengan penerbitan tempatan, anda boleh menjangkakan aliran kerja yang lebih mantap meliputi acara tempatan dan merakam foto untuk artikel dan berita.

Pastikan anda membina portfolio yang kukuh untuk meningkatkan peluang anda mendapat kerja!

Jurugambar Paparazzi dibayar dengan baik, tetapi tugas mereka juga boleh menjadi sangat berbahaya. – Gambar Quora

Menjadi paparazi
Bandar-bandar besar seperti Los Angeles dan New York terkenal sebagai tempat tumpuan selebriti, jadi jika anda tinggal di kawasan yang sering melihat selebriti, paparazi mungkin kerjaya sesuai untuk anda.

Jurugambar Paparazzi dibayar dengan baik, tetapi tugas mereka juga boleh menjadi sangat berbahaya.

Bagaimana untuk menjadi paparazi profesional:
Melabur dalam peralatan (kamera) yang betul. Anda memerlukan kamera berkualiti tinggi, kanta telefoto dan juga kamera kompak untuk membolehkan anda mengambil gambar secara sembunyi-sembunyi.

  • Pertimbangkan Canon EOS R5, Sony Alpha a7S III, atau Nikon D500, atau sebarang bilangan kamera DSLR dan tanpa cermin yang berkuasa;
  • Dapatkan kad perakuan akhbar dan kad lain yang mungkin anda perlukan;
  • Tentukan sama ada anda ingin menjadi pekerja bebas atau menyertai mana-mana agensi;
  • Biasakan diri anda dengan selebriti dari semua bidang: TV, filem, sukan, dan juga politik; dan
  • Biasakan diri anda dengan lokasi utama untuk melihat selebriti.

Kembangkan kemahiran komunikasi dengan individu lain (anda perlu berinteraksi dengan selebriti dan paparazi lain, jadi mengetahui cara menjalin hubungan yang baik adalah penting).

Jika anda memutuskan untuk menjadi paparazi bebas, pastikan anda mengetahui cawangan mana (agensi foto selebriti atau penerbitan seperti The National Enquirer, People, dan lain-lain) untuk dihubungi apabila anda ingin menjual foto anda.

Merakam gambar untuk pelanggan
Sebaik-baiknya, anda perlu mempunyai studio sendiri (atau mempunyai bajet untuk menyewa studio profesional) supaya dapat menawarkan penggambaran foto.

Bagaimanapun, ramai pelanggan juga memilih penggambaran luar atau lokasi, jadi walaupun anda belum mempunyai studio, terdapat banyak peluang di luar sana untuk anda.

Orang ramai akan sentiasa memerlukan jurugambar profesional bagi membantu mereka memperingati semua detik istimewa dalam hidup mereka – dengan atau tanpa studio.

Untuk memulainya semua yang anda perlu lakukan ialah membina portfolio yang kukuh, citpa tapak web anda sendiri, beritahu rakan dan keluarga anda, kongsi kerja anda di media sosial dan lakukan apa sahaja yang anda boleh untuk mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan anda.

Gambar wanita hamil juga menarik untuk dirakam jika kena dengan caranya. – Gambar Adorama

Beberapa jenis penggambaran foto yang boleh anda lakukan:

  • Gambar isteri/wanita sedang hamil
  • Gambar foto bayi baharu lahir;
  • Gambar gambar haiwan peliharaan;
  • Potret keluarga;
  • Headshots;
  • Gambar hartanah untuk pengiklanan; dan
  • Penggambaran boudoir (sesi fotografi suasana dalam bilik tidur)

Bergantung pada jenis penggambaran, anda boleh mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM480 untuk satu sesi. Apabila memikirkan harga anda, lakukan penyelidikan dan ketahui jumlah yang dicaj oleh jurugambar tempatan lain supaya anda boleh kekal berdaya saing.

Gambar haiwan peliharaan. – Foto kredit Adorama

Jual foto di pameran seni atau kraf
Jika terdapat pertunjukan seni, pameran kraf atau pasar lambak di kawasan anda, anda boleh menyediakan gerai dan menjual gambar cetakan anda. Ini adalah cara terbaik untuk membuat anda dikenali dalam komuniti setempat anda dan memulakan pasaran sendiri.

Biasanya, ketika acara ini, pelanggan mencari gambar yang boleh digantung sebagai hiasan. Jika anda pakar dalam fotografi landskap atau seni halus, ini adalah cara unik untuk memasarkan hasil kerja anda.

Edit dan lakukan sentuhan semula terhadap gambar
Mengedit imej berjalan seiring dengan merakam imej. Biasanya, dikatakan bahawa merakam gambar hanyalah separuh daripada usaha. Anda kemudiannya mesti mengeditnya, mewujudkan mood atau perasaan tertentu.

Jika anda sangat berbakat dalam menggunakan perisian penyuntingan seperti Lightroom atau Photoshop, anda boleh menawarkan perkhidmatan anda untuk mengedit dan mengubah suai imej jurugambar lain.

Anda boleh mengenakan bayaran mengikut jam, bilangan imej dan jumlah/jenis ubah suai yang anda lakukan. Contohnya, anda boleh mengenakan bayaran lebih banyak untuk membuang sepenuhnya latar belakang, berbanding menjadikannya lebih cerah.

Ada yang mendapat kemasyhuran dan kekayaan dalam mengajar teknik penyuntingan atau preset untuk mencipta imej tertentu. Preset amat popular dalam fotografi perkahwinan kerana lebih konsisten dan boleh digunakan pada set imej atau pemotretan dengan hanya beberapa klik butang tetikus.

Bekerja dengan IKS
Perniagaan kecil dan insustri kecil dan sederhana (IKS), seperti kedai kopi atau kedai buku, mungkin ingin menggunakan kepakaran fotografi anda.

Anda boleh menawarkan untuk memotret ruang atau produk mereka yang kemudiannya boleh dipaparkan pada bahan pemasaran dan promosi. Fotografi produk dan fotografi hartanah adalah keadaan yang berguna untuk dipelajari atas sebab ini.

Cara paling sukar mendapatkan wang daripada fotografi
Tidak semua usaha merakam fotografi mudah dilakukan secara sampingan. Malah ramai yang memerlukan 30+ jam seminggu bekerja, kedua-duanya di belakang kamera dan dihabiskan dalam mengatur dan mencari pelanggan baharu.

Adalah penting untuk diingat bahawa kebanyakan jurugambar profesional menghabiskan banyak masa di komputer melakukan kerja seperti menyunting foto menggunakan pelbagai program kompleks seperti photoshop.

Banyak masa anda akan dibelanjakan untuk membangunkan kemahiran fotografi yang penting untuk diketahui.

Dapatkan penolong jurugambar
Kebanyakan jurugambar selalunya memerlukan jurufoto kedua (seperti di majlis perkahwinan dan acara tertentu) atau pembantu ketika penggambaran foto.

Jika anda tidak terlalu yakin untuk pergi ke sana sendiri dan melayan pelanggan, bekerja sebagai pembantu atau jurufoto kedua ialah cara terbaik untuk memperoleh lebih banyak pengalaman dan wang tambahan – kerana anda akan dibayar untuk masa anda!

Hanya hubungi mana-mana jurugambar tempatan berhampiran anda dan tanya sama ada mereka memerlukan pembantu atau jurufoto kedua.

Atau, jika anda tidak mahu menghubungi jurugambar yang tidak pernah anda temui dan meminta pekerjaan, anda boleh cuba bertemu orang (dan berkawan) dalam komuniti fotografi tempatan dengan menyertai beberapa kumpulan atau kelab.

Rangkaian adalah bahagian penting dalam kerjaya jurugambar, jadi mula membina hubungan anda sekarang.

Menawarkan perkhidmatan fotografi perkahwinan
Anda tidak semestinya perlu memulakan perniagaan fotografi perkahwinan untuk menjana wang daripada penggambaran majlis perkahwinan.

Anda boleh mulakan dengan menghubungi pelanggan atau menawarkan perkhidmatan anda kepada rakan dan saudara mara. Fotografi perkahwinan amat menguntungkan, jadi ia sentiasa menjadi pilihan yang baik jika anda ingin menjana wang.

Sekarang, sama ada anda membuat keputusan untuk melakukan fotografi perkahwinan sepenuh masa atau tidak, adalah penting untuk mempunyai peralatan terunggul yang boleh anda gunakan jika anda ingin menggembirakan pelanggan dan memastikan mereka mencadangkan pula anda kepada semua rakan mereka.

Gambar untuk iklan hartanah. – Foto Adorama

Mulakan perniagaan fotografi sendiri
Akhir sekali, memulakan perniagaan fotografi anda sendiri yang memfokuskan kepada mana-mana jenis fotografi.

Menyediakan tapak web yang menawarkan rangkaian luas perkhidmatan fotografi ialah cara yang baik untuk menjana wang, tetapi jika anda ingin benar-benar serius berkaitan kerjaya anda dan memperoleh lebih banyak wang, anda perlu mencari titik sendiri.

Jika anda gemar memotret haiwan, mulakan perniagaan fotografi haiwan peliharaan. Suka melancong? Kemudian masuk ke fotografi perjalanan anda.

Cuma pastikan anda memfokuskannya pada satu atau beberapa titik yang berkaitan, kerana berbuat demikian membantu anda meningkatkan kredibiliti anda dan membina reputasi anda sebagai pakar dalam bidang tertentu itu.

Kenapa? Fikirkan dengan cara ini: jika pelanggan ingin mengupah jurugambar untuk majlis perkahwinannya, adakah dia akan mengupah jurugambar yang melakukan fotografi hartanah, headshots dan majlis perkahwinan sekali-sekala di sana sini?

Atau adakah dia akan mengupah jurugambar yang pakar secara eksklusif dalam majlis perkahwinan? Mungkin yang terakhir!

Intinya ialah orang ramai mahukan jurugambar yang bukan sahaja tahu apa yang dia lakukan tetapi juga mempunyai kemahiran dan pengalaman khusus untuk menjadi orang yang terbaik bagi pekerjaan itu.

Jadi, jika anda ingin memulakan perniagaan fotografi anda sendiri, berpegang pada satu arah atau bidang tertentu dan jadilah yang terbaik dalam perkara itu.

Bengkel fotografi
Sebaik sahaja anda membuktikan diri anda sebagai jurugambar, sama ada melalui reputasi atau melalui saluran media sosial, anda boleh mencuba anda untuk mengajar.

Kelas fotografi boleh berfungsi sebagai aliran pendapatan yang tetap. Terdapat ramai orang baharu yang ingin belajar asas fotografi dan lanjutan daripada pengajar yang baik.

Nasihat kami ialah menghadiri bengkel sendiri terlebih dahulu dan melihat perkara yang anda suka dan lebih penting lagi perkara yang boleh diperbaiki.

Anda kemudian boleh memperbaiki bengkel anda sendiri. Sebagai contoh, jika anda seorang jurugambar landskap, adakan bengkel di lokasi yang indah.

Perlu ingat bahawa bengkel memerlukan banyak persediaan dan perancangan. Anda perlu meninjau tempat terlebih dahulu. Anda mungkin perlu mendapatkan permit di lokasi tertentu, dan anda mungkin perlu mengatur pengangkutan dan penginapan.

Bengkel sering diatur lebih awal, kadang-kadang lebih daripada setahun. Sebagai ketua bengkel, anda mungkin juga ingin memikirkan berhubung mendapatkan insurans liabiliti dan meminta peserta menandatangani syarat tertentu atau membuktikan tahap kecergasan tertentu, bergantung kepada aktiviti yang dijangkakan.

Fotografi ialah bentuk seni yang membolehkan kita merakam dan mengekalkan kenangan, bercerita dan mengekspresikan diri kita dengan cara yang unik dan kreatif. – Gambar The Collector

SOALAN LAZIM

Berapa banyak yang boleh diperoleh sebagai jurugambar setiap tahun?
Satu lagi cara untuk bertanya soalan yang sama ialah: Adakah jurugambar dapat memperoleh wang yang baik?

Pendapatan tahunan sebagai jurugambar profesional bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk lokasi tempat anda menjalankan perniagaan, sama ada menyewa studio atau beroperasi dari rumah, jenis fotografi yang anda tawarkan dan berapa banyak persaingan yang terdapat di kawasan anda.

Jurugambar sepenuh masa biasanya memperoleh sehingga lebih RM300,000 setahun (di Barat), dan ada yang memperoleh lebih daripada itu.

Ramai jurugambar memilih untuk beralih ke fotografi sambilan supaya mereka boleh mendapatkan idea sama ada ia akan mampan dari segi kewangan sebagai kerjaya.

Permulaannya, rancang untuk meluangkan lebih banyak masa mencari pelanggan baharu dan kurangkan bayaran untuk setiap penggambaran. Selepas beberapa tahun yang berjaya, anda akan dapat menaikkan kadar anda dan diharapkan mempunyai jadual penuh penggambaran.

Jenis fotografi mana yang menghasilkan lebih banyak wang?
Sebaik sahaja anda mula terkenal dan mempunyai senarai pelanggan yang mantap, potensi pendapatan dalam fotografi perkahwinan, komersial dan potret umum, cenderung menjadi yang tertinggi.

Fotografi hartanah, seperti penggambaran untuk hos airbnb, boleh menghasilkan pendapatan yang tinggi secara keseluruhan, tetapi setiap penggambaran berkemungkinan berada pada titik harga yang lebih rendah daripada sesi potret keluarga.

Perkara penting yang perlu diingat ialah – melainkan anda seorang jurugambar atau pempengaruh yang terkenal dan dicari – anda tidak akan menjadi kaya dengan hanya melakukan beberapa penggambaran setahun.

Kunci untuk membuat wang dalam fotografi adalah untuk terus sibuk. Lebih banyak penggambaran yang anda lakukan, lebih banyak wang yang anda akan peroleh dan lebih banyak nama anda akan mula diedarkan dalam komuniti anda.

Adakah fotografi satu kerjaya yang baik?
Jawapannya ialah: ya, jika anda menjadikannya sebagai kerja. Seperti kebanyakan profesion dan kerjaya, banyak bergantung kepada motivasi diri, ketabahan, dan kesediaan untuk melabur masa, usaha dan tenaga.

Pertama, anda mesti mempunyai semangat untuk menjadi jurugambar. Anda juga harus memutuskan jenis jurufoto yang anda mahu jadi. Kami telah menyenaraikan beberapa pilihan untuk membantu anda bermula dan mengekalkan arah anda.

Pada mulanya, anda mungkin perlu bermula sebagai perantis atau bekerja sambilan kerana anda bergantung kepada pekerjaan lain untuk aliran pendapatan yang stabil. Terdapat beberapa cara untuk anda mula melangkah.

Jika anda mendekati fotografi dengan jangkaan yang realistik, ia boleh menjadi kerjaya yang baik dan bermanfaat.

Adakah sukar untuk memperoleh wang sebagai jurufoto?
Pada mulanya, sukar untuk memperoleh wang kerana tidak ada satu laluan untuk mencapai kejayaan. Terdapat banyak jalan, baik tradisional mahupun moden. Dengan ledakan media sosial, YouTube dan influencer, anda bebas memilih cara anda sendiri untuk menjadi seorang jurugambar.

Anda mungkin ingin mendapatkan ijazah dalam fotografi atau menjadi perantis kepada jurugambar yang terkenal. Bagaimanapun, anda juga boleh memulakan blog, saluran YouTube, atau hanya menyiarkan imej yang menceritakan kisah dan melukis gambar gaya hidup di Instagram.

Anda boleh menjual gambar ke tapak fotografi stok, mengajar bengkel atau mengedit imej jurugambar lain untuk memulakan dan mewujudkan reputasi. – Adorama

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading