Agama Islam dan Alam Sekitar

Islam adalah sebuah agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan, termasuklah aspek hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dan juga hubungan manusia dengan alam sekitar. Melalui lima rukun Islam, semuanya amat berkait dengan hubungan manusia dengan Tuhan dan alam sekitar.

Jika diperhalusi rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah, ianya berkait rapat dengan hubungan manusia dengan Tuhan dan alam. Di dalam lafaz syahadah, individu muslim bersaksi bahawa hanya Allah Tuhan sekalian alam, yang mentadbir dan mengatur alam sekitar dengan seimbang. Individu muslim juga sewajarnya sedar tentang peri penting hubungan manusia dengan Tuhan dan alam sekitar melalui solat iaitu rukun Islam yang kedua. Solat tidak dapat disempurnakan tanpa berwuduk. Wuduk pula tidak dapat disempurnakan tanpa air yang bersih. Selain itu, melalui zakat, individu muslim sepatutnya sedar bahawa sumber-sumber alam seperti tanam-tanaman, emas dan perak bukanlah perkara yang boleh dimiliki sesuka hati, tetapi juga ada tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan mampan dari aspek agama, sosial, ekonomi dan alam sekitar. Ketika berihram menjalankan ibadat haji, iaitu rukun Islam yang kelima, individu Muslim ditegah dari merosakkan tumbuh-tumbuhan dan membunuh haiwan. Hukum ini juga menjadi suatu manifestasi peranan seorang Islam untuk memelihara biodiversiti flora dan fauna.

Namun, apa yang mengecewakan, kesedaran alam sekitar di kalangan penganut agama Islam masih rendah. Sekiranya dilihat kepada indeks-indeks alam sekitar di peringkat global, negara-negara Islam rata-ratanya berada pada kedudukan tercorot. Ketika negara-negara bukan Islam semakin rancak mencipta negara lestari, negara-negara Islam masih tidak dapat menyelesaikan isu alam sekitar yang paling asasi – kebersihan diri.

Integrasi Silibus Pendidikan Islam dan Pendidikan Alam Sekitar

Kesedaran alam sekitar dan perubahan iklim sememangnya perlu dipupuk dari kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesedaran alam sekitar ini perlu disemai dan diajar bukan sahaja melalui pendidikan formal menerusi seperti subjek khusus Pendidikan Alam Sekitar, tetapi juga perlu diajar secara tidak formal di luar bilik darjah melalui pembelajaran melalui pengalaman. Namun, pendidikan alam sekitar lazimnya tidak berasaskan kepada pendidikan agama. Hal ini kerana, hubungan alam sekitar tidak dilihat berkait secara langsung dengan pendidikan agama.

Sebenarnya, kesedaran alam sekitar dan perubahan iklim ini boleh diterapkan dalam silibus pendidikan Islam sedia ada dan boleh digarap dalam elemen merentas kurikulum (EMK). Dalam bab Tauhid misalnya, para guru pendidikan Islam boleh menghuraikan aspek tauhid uluhiyyah dan tauhid rububiyyah dan kaitannya dengan ekosistem alam yang teratur dan seimbang mengikut sunnatullah. Dalam bab fekah, para guru pendidikan Islam boleh menerapkan kesedaran alam sekitar melalui topik Taharah atau kesucian. Para guru bukan sahaja perlu mengajar cara berwuduk dengan betul, tetapi juga menekankan pentingnya penjimatan air ketika berwuduk. Melalui bab akhlak, misalnya kasih sayang dan ihsan, para guru pendidikan Islam bolehlah menekankan bahawa kasih sayang dan ihsan bukan hanya untuk sesama manusia, tetapi kasih sayang kepada Allah dan juga ihsan kepada haiwan.

Peranan guru agama dalam menerapkan kesedaran alam sekitar dan pemanasan global ini memang begitu imperatif. Para guru agama perlulah terlebih dahulu mempunyai kesedaran terhadap peri pentingnya menjaga alam sekitar dari sudut pandang Islam. Pemerkasaan guru agama dalam memamahi isu-isu alam sekitar semasa juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Potensi Sekolah Agama Lestari

Menyedari kepentingan integrasi pendidikan Islam dan pendidikan alam sekitar, dua penyelidik Universiti Malaya telah menjalankan satu kajian kes di Sekolah Menengah Agama Negeri (Tahfiz) Pekan Kunak, Sabah. Program Pemindahan Ilmu Islam dan Alam Sekitar yang dikenali sebagai “Rekayasa Eko-Tahfiz” telah dilaksanakan dengan jayanya.

Para penyelidik dari Universiti Malaya menyerahkan Modul Laskar Alam kepada Pengetua SMAN (Tahfiz) Pekan Kunak. Gambar ihsan Abd Aziz Rekan

Projek ini dikendalikan oleh Dr. Abd. Aziz bin Rekan, Pensyarah Kanan Program Pendidikan Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Dr Mohd Istajib bin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya dengan jaringan kerjasama Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), yang dipimpin oleh Encik Mohd Yusaimi Md Yusof sebagai Pengasas dan Presiden.

Guru dan pelajar SMAN Tahfiz Pekan Kunak sedang membuat banana circle. Gambar ihsan Abd Aziz Rekan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan amalan lestari dalam kalangan warga sekolah antaranya tazkirah laskar alam, pertanian berasaskan hidroponik, pertanian pintar, menceriakan kawasan surau, pertandingan penghasilan video kreatif laskar alam dan mereka bentuk surau lestari.

Penyelidik UM bersama guru-guru pendidikan Islam dan NGO Grass Malaysia. Gambar ihsan Abd Aziz Rekan.

Kajian ini mendapati bahawa sekolah aliran agama mempunyai potensi yang besar dalam mencapai matlamat sekolah lestari dalam erti kata sebenar kerana kesedaran alam sekitar dapat dipupuk dengan lebih mendalam di hati menerusi ayat-ayat al-Quran yang sudah lazim di bibir para pelajar dan guru agama.

Maklumat lanjut mengenai penyelidikan ini boleh didapati melalui Dr. Mohd Istajib Mokhtar (Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya) dan Dr. Abd Aziz Rekan (Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya) melalui emel abdazizrkn@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading