XPDC GUNUNG IRAU
Tarikh 3 Sept 2023 (Ahad)
Organiser: OTIM (out door team Malaysia)
Latar belakang Gunung Irau
Puncak tertinggi di Cameron Highlands (2,110 meter).
Tarikan utama: Hutan lumut (mossy forest).

Intipati XPDC:
Peserta berkumpul Terminal LRT Putra Gombak pada jam 12.30 pagi.
Bas bergerak ke Cameron Highland pada jam 1 pagi. Melalui lebuhraya PLUS dan keluar ikut tol Simpang Pulai untuk ke Lojing. Berhenti di masjid Lojing dan bersiap untuk solat subuh.
Sarapan pagi di Brincang.
Dalam masa satu jam kami berada di tiga buah negeri – Perak, Kelantan dan Pahang.
Jam 8.30 pagi, bertolak ke CP1 menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Di CP1, kami diberi penerangan berkaitan keselamatan dan ‘cut off time’ oleh ketua juru malim.
Pendakian perlu tamat pada jam 6 petang. Oleh itu beliau mengingatkan jangan banyak bergambar sepanjang pendakian. Takut melepasi ‘cut of time’.

Pendakian bermula pada jam 9.30 pagi.
Perlu dinyatakan di sini bahawa pendaki perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Hutan dengan bayaran RM30.
Di awal pendakian, pendaki disajikan dengan pemandangan alam semula jadi yang indah.
Lama kelamaan cabaran semakin meningkat. Denai seolah-olah tidak mahu berkawan. Lumpur ke paras buku lali, akar dan batang kayu yang licin merintangi denai, mencabar minda.
Melangkah perlu berhati-hati. Silap langkah boleh tergolek. Begitu juga batu batan yang menyukarkan pendakian. Di sesetengah tempat, tangga aluminium dipasang bagi memudahkan pendakian.
Jam 11.30 pagi saya dan beberapa pendaki tiba di anak Irau. Berehat sekejap, mengumpul kudrat sebelum meneruskan pendakian. Ada beberapa pendaki yang sudah kepenatan – enggan meneruskan cabaran lalu mengambil keputusan berpatah balik.
Selepas anak Irau, ada satu tempat yang dinamakan ‘lord of the ring’. Sungguh cantik, mengagumkan. Subhanallah. Maka saya tak lupa untuk bergambar kenangan.
Kemudian meneruskan pendakian ke puncak. Tiba di puncak pada jam 1.30 petang.

Berehat, makan dan bergambar kenangan.
Jam 2.30 petang semua pendaki bergerak turun. Mengikut laluan yang sama. Menempuh kesukaran yang sama.
Perlu dinyatakan di sini, semasa naik tadi, seorang pendaki telah cedera. Kakinya tersangkut pada anak tangga. Kerana tergelincir. Kaki ke atas kepala ke bawah. Lutut terseliuh.
Akibatnya perjalanan turunnya terjejas. Saya dan malim sweeper menemaninya di kelompok paling belakang.
Dengan keadaan denai yang makin teruk, tenaga pun makin kurang, mental mesti kuat. Jangan koyak.

Sedikit maklumat tentang malim ini.
Namanya Rashidi. Umur 23 tahun. Keturunan Orang Asli. Tinggal di Post Telanok. Sebelum menjadi malim gunung, beliau buat kerja kampung. Bertani dan memburu.
Bertukar menjadi malim gunung setelah jarinya tertusuk anak panah sumpit beracun.
“Dah nak mati dah” katanya. Atas kepandaian bomoh Orang Asli dan belum sampai masa, maka umurnya panjang.
Menurutnya tugas sebagai malim gunung, upahnya lumayan juga. Boleh dapat RM250 sehari. Kalau jadi porter lagi lumayan. Boleh cecah RM1k.
Setelah lebih 3 jam perjalanan kami tiba di CP1. Masih ‘within cut of time’.
Apa apa pun untuk ke Irau keadaan fizikal dan mental kena kuat.
Seorang malim berkata, “sekiranya kita dapat menawan Irau, lain-lain gunung di Semenanjung tiada masalah “.
Abd Jalil bin Abdullah
Sweeper sepanjang masa.





Leave a Reply