Oleh Ismail Hashim Yahaya
“Seni lebih tahu daripada apa yang kita ketahui” kalimat Theodore Adorno, seorang pemikir sekolah aliran Frankfurt membuatkan kita perlu mengetahui lebih dalam terhadap wacana apa yang tersembunyi di balik sesebuah karya seni.
Filem adalah salah satu karya seni yang mampu merentasi sempadan waktu dan generasi.
Namun bagi menjayakan objektif propaganda, filem adalah senjata yang paling bermanfaat.
Antara beberapa film perang terkenal yang dijadikan alat propaganda Amerika Syarikat (AS) dan mampu mempengaruhi tanggapan penonton di peringkat antarabangsa adalah filem lakonan Chuck Noris antaranya Missing Action 1, 11, dan 11 yang menyaksikan keperwiraan kolonel James Braddock, sang adiwira yang dapat mengalahkan ribuan tentera Vietnam demi menyelamatkan rakan POW-nya.
Filem-filem propaganda perang lain misalnya lakonan Slyvester Stallone dengan siri Rambonya. Malah, pejuang Mujahideen pernah mencabar Stallone untuk datang ke Afghanistan berperang dengan mereka.
Ini berikutan keperwiraan solo atau adiwira yang ditunjukkannya dalam mengalahkan tentera Kesatuan Soviet seolah-olah memperkecilkan kehebatan keperjuangan pejuang Mujahideen dalam menentang tentera Kesatuan Soviet.
Padahal perkara sebaliknya berlaku.

AS sebagai kuasa besar telah dihinakan apabila kalah di medan perang Vietnam kepada Viet Cong. Maka susulannya adalah penerbitan filem.
AS akan sentiasa menang di medan pertempuran skrin walaupun kalah di medan perang sebenar.
Dalam hubungan ini propaganda cenderung memukau khalayak hingga membawa mereka lupa fakta sejarah sebenar walhal ia adalah diayah yang memaparkan teks, dialog dan visual antaranya mengandungi ciri pembohongan, penipuan, manipulasi, mind control (pengendalian atau kawalan fikiran), perang psikologi, brainwashing (pembasuhan orak dan keriuhan.
Oleh itu segala pembohongan, manipulasi, dan kawalan ke atas fikiran dilakukan dengan hasrat pencapaian sebuah tujuan yang lebih besar iaitu penyataan sebuah kekuasaan.
Ia merupakan usaha dalam mempertahankan unipolar kekuasaan yang menguntungkan bagi pelaku propaganda atau si pendiayah itu dalam geopolitik pengaruh dan ideologi di peringkat antarabangsa.
Terdapat dua jenis propaganda iaitu propaganda putih dan hitam.
Propaganda putih bertujuan merubah pemikiran masyarakat yang dipenuhi anasir negatif misalnya ketika berhadapan dengan diayah komunis atau mungkin pada waktu sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme lunak dan ini amat diperlukan dalam memulihkan imej agama, bangsa dan negara supaya rakyat memahami akan realiti sebenar di sebalik segala kepalsuan.
Sebaliknya propaganda hitam dilakukan bagi mengembang kekuasaan dan pengaruh dengan cara membohongi, menipu, memanipulasi dan menciptakan realiti palsu.
Amerika dalam sejarahnya sering menggunakan filem sebagai alat propaganda ketika Perang Dingin dan perang menentang pejuang Islam dengan diayah Islamofobianya.
Filem-filem yang mereka buat bertujuan untuk membentuk suatu kebenaran yang mereka susun meskipun hal tersebut jauh dari fakta sebenarnya dalam isu-isu perhubungan antarabangsa.
Inilah yang terjadi kepada filem Black Hawk Down yang disiarkan pada 2001. Filemtersebut berdasarkan kisah benar mengenai operasi tentera AS pada 3 Oktober 1993 bagi menangkap dan menawan ketua pemisah, Jeneral Mohamad Farah Aidid dan dua orang kanannya dari sebuah lokasi di Pasar Bakara, Mogadishu, ibu negara, Somalia.
Black Hawk Down menceritakan kegagalan operasi gabungan antara anggota pasukan elit tentera darat AS, Rangers (US. Army Rangers) dan pasukan Delta (Delta Force) yang berlaku pada Oktober 1993.
Maka operasi penangkapan berhadapan dengan aksi tembak-menembak yang mengerikan selama 19 jam, pertempuran darat terlama yang melibatkan tentera Amerika semenjak perang Vietnam.
Keadaan diburukkan dengan ditembak jatuhnya dua helikopter Black Hawk milik tentera Amerika.
Bagaimanapun, filem itu tidak memaparkan pengorbanan 100 tentera Malaysia yang turut membantu menyelamatkan 70 orang tentera AS yang terkepung dantercedera, di mana seorang anggota tentera Malaysia terkorban (Korporal Mat Aznan Awang) dan 19 orang tercedera.
Filem yang memenangi dua anugerah Academy Awards itu sebaliknya hanya memaparkan tentera Pakistan menggunakan kereta perisai dalam melakukan misi menyelamat
Apa yang penting dari filem ini bagi para jeneral tentera AS dan ahli politiknya adalah nilai ideologi. Black Hawk Down adalah usaha untuk memanipulasi fikiran khalayak massa.
Pengarahnya Ridley Scott berusaha untuk merubah persepsi khalayak terhadap apa yang terjadi di Mogadishu pada 3 Oktober 1993.
Pada saat itu dapat difahami bahawa kekalahan tentera Amerika adalah sesuatu sangat memalukan para pemimpin AS. Filem ini dibuat dan diatur sedemikian rupa sehingga dapat membentuk imej politik Amerika positif di mata warganya dan di mata seluruh dunia.
Filem ini ingin menggambarkan tentang keberanian dan kegagahan pasukan Amerika dalam pertempuran melawan kumpulan tentera pemisah di Somalia.

Namun Black Hawk Down mengabaikan keseluruhan kejadian yang terjadi yang dapat menjelaskan mengapa pasukan tentara Amerika berhadapan serangan dan mengalami kepungan di pasar Bakara, Mogadishu.
Penyerangan hendap Farah Adid dan kumpulan berikutan serbuan tentera AS pada 12 Julai 1993 ke sebuah rumah yang didakwa milik Aidid yang sedang merundingi usaha damai dengan PBB. Ia mengundang serangan balas.
Filem itu bagaimanapun tidak memberikan gambaran yang tepat tentang sumbangan tentera Malaysia dan apa yang sebenarnya berlaku di negara bergolak itu 20 tahun lalu.
Biarpun begitu, keberanian pasukan Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja itu hampir tidak dipedulikan dan diremehkan dalam filem itu seolah-olah tentera Malaysia tidak memainkan peranan penting atau bukan sebahagian daripada misi tersebut.
Hal itu mengecewakan hati tentera Malaysia.
Namun filem Malbatt: Misi Bakara ingin membetulkan faktanya, mengangkat naratif Malaysia di mata dunia, memperbetulkan segala manipulasi dan propaganda iaitu operasi anggota BatalionMalaysia (Malbatt) membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.
Seramai 114 RAMD Malbatt 1 terlibat dalam misi pengaman di sana (pada 1992 hingga 1995).
Menerusi filem itu juga, penonton berpeluang mengetahui naratif malam kejadian tersebut dan mengenali wira yang sebenar.
Filem ini tepat pada masanya di tengah AS berhadapan dengan saingan kuasa multipolariti di peringkat antarabangsa. Ia memberikan kuasa kedaulatan multipolariti seni dalam geopolitik filem perang di peringkat antarabangsa.
Malaysia juga menang di medan perang skrin dan menang di medan perang sebenar!
Penulis adalah pembaca Apa Khabar TV






Leave a Reply