Ancient Kedah Heritage Resources (AKHR) menawarkan lima tempat kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari lima wilayah di Selatan Thailand bagi mengikuti program pemindahan ilmu, khususnya dalam bidang arkeologi Islam.

Penasihat AKHR, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin memberitahu Apa Khabar TV bahawa program itu adalah yang julung kali dianjurkan setelah mendapat kerjasama baik daripada Southern Borders Province Administrative Center (SBPAC).

Menurutnya Kedah Tua dan Selatan Thailand berkongsi sejarah yang sama sejak berabad-abad lalu, menerusi Sejarah Kerajaan Langkasuka dan Srivijaya.

Wakil Ancient Kedah Heritage Resources (AKHR) mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Agung Southern Borders Province Administrative Center (SBPAC), Admiral Somkeaert Ponprayoon. – Gambar AKTV

“Cadangan untuk melaksanakan program pelancongan warisan secara bersama antara Ancient Kedah Heritage Resources (AKHR) dengan Southern Borders Province Administrative Center (SBPAC) telah mula memberikan sinar.

“Dalam berapa siri program dan perbincangan bersama Setiausaha Agung SBPAC, Tuan Admiral Somkeaert Ponprayoon, kita telah mencapai beberapa persetujuan.

“Mesyuarat pada pagi tadi (semalam), 1 September 2023 di SBPAC, Yala yang dipengerusikan Admiral Somkeaert telah mencapai persetujuan bersama untuk melaksanakannya,” katanya.

Dr Mokhtar berkata usaha itu telah dimulakan oleh AKHR sejak awal 2023.

AKHR mengusahakan program ini atas dasar utama kerana kedua-dua kawasan mempunyai perkaitan sejarah antara Kedah Tua dan Langkasuka.

“Maka, AKHR merasakan produk pelancongan warisan arkeologi ini sepatutnya dikongsi bersama dan didedahkan kepada generasi muda bahawa dahulunya adalah di bawah satu rumpun yang harmoni tanpa sempadan.

“Selain memberikan tumpuan kepada produk arkeopelancongan, AKHR juga akan memberikan peluang pelancong untuk melawat warisan semulajadi.

“Khasnya produk geopelancongan di geopark di kedua-dua kawasan, Jerai dan Satun Geopark serta produk pelancongan Islam khususnya Muzium Al-Quran di Pattani,” katanya.

Penasihat Ancient Kedah Heritage Resources (AKHR), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin bertukar dokumen dengan Setiausaha Agung Southern Borders Province Administrative Center (SBPAC), Admiral Somkeaert Ponprayoon. Hadir sama perwakilan daripada kedua-dua pihak. – Gambar AKTV

Menurutnya selain membincangkan penganjuran bersama pelancongan warisan semulajadi dan budaya, mesyuarat berkenaan juga bersetuju melaksanakan program pemindahan ilmu melalui bantuan penyeliaan pelajar siswazah dalam kalangan anak tempatan Selatan Thailand, khususnya dalam kajian arkeologi Islam.

“Untuk memulakan kerjasama ini pihak AKHR telah bersetuju menawarkan lima peserta dengan setiap satu mewakili Wilayah Songkhla, Yala, Narathiwat, Pattani dan Satun dalam program Discover Ancient Kedah Heritage Trail yang akan dianjurkan pada 11 hingga 13 September 2023 ini,” kata Dr Mokhtar.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading