Oleh Ismail Hashim Yahaya

Tiga rangkaian isu yang berlaku dalam jangka masa dua bulan ini membuat kita berfikir akan peranan Russia dan China yang semakin menyaingi kuasa unipolar Amerika Syarikat (AS) di pentas antarabangsa.

Walaupun dari segi nilai berita, perkembangan yang berlaku ini tidak berkait secara langsung dengan negara kita, tetapi pengaruh dua kuasa besar harus diteliti dari segi kepentingan geopolitiknya di peringkat antarabangsa dan kesannya kepada Malaysia dan Asean dalam masa depan hubungan sama ada ia berkisar di sekitar konflik kuasa besar, atau kerjasama bersifat keamanan yang mendaulatkan sesebuah
negara bangsa.

Pada 26 Julai lepas, Niger, sebuah negara di Afrika Barat bergolak apabila seorang jeneral muda bernama Abdourahamane Tchiani bersama dengan sekumpulan rakan tenteranya telah merampas kuasa.

Alasan Tchiani melakukan kudeta ini ialah bekas penjajah Peranchis telah mencuri sumber alam semulajadi Niger selama berdekad dan membiarkan rakyatnya menderita tidak dapat menikmati hasil galian yang dilombong syarikat Peranchis.

Setelah berdekad-dekad lamanya baharu sekarang tercetus keberanian apabila Russia merupakan kuasa besar di belakang tabir mencetuskan kesedaran para jeneral di Niger supaya merampas kuasa.

Russia dikatakan menggunakan para pengawai tentera Niger yang berkiblat ke Moscow mengepalai kudeta dan mewujudkan majlis tentera yang diketuai Tchiani.

Namun, dalam reaksinya kepada penglibatan Moscow, Menteri Luar Russia Sergey Lavrov berkata kerajaan interim tentera yang menguasai Niger sekarang sedang berusaha menyeimbangkan kepimpinan lepas dalam hubungan dengan Barat yang tidak memihak kepada kebaikan rakyat.

Niger bukanlah negara pertama mengalami kudeta kerana sepanjang tiga tahun kebelakangan ini rantau Afrika Barat telah menyaksikan siri rampasan kuasa yang bermula di Mali (2020 dan 2021); Burkina Faso (2022); Guinea (2021); Chad (2021); dan Sudan (2021), hasil daripada pengaruh Russia yang semakin berkembang.

Selama berdekad lamanya Peranchis mengamalkan dasar penjajahan bentuk baharu iaitu penjajahan ekonomi ke atas negara bekas jajahannya dari Algeria sehingga ke Magribi, terutama dalam perlombongan sumber galian.

Di negaranya sendiri, kerajaan Presiden Emmanuel Macron sedang berhadapan dengan masalah politik dalaman seperti isu rasisme yang menjadikan Paris sebagai sebuah kuasa besar yang lemah di pentas antarabangsa dan tidak lebih daripada negara yang menerima kunjungan pelancong dan taman mainan elit-elit politiknya.

Sebelum ini Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat dikenali sebagai ECOWAS telah mengadakan mesyuarat tergempar dan memberikan amaran campur tangan tentera bagi mengembalikan semula Bazoum sebagai presiden jika para pemimpin kudeta enggan membebaskan beliau. Tarikh akhir amaran pada 6 Ogos telah dilepasi dan tiada tindakan campur tangan tentera.

Kegagalan bertindak disebabkan terdapat dua kumpulan negara dalam ECOWAS yang satu berpihak kepada kuasa besar seperti Peranchis, manakala pihak lain menyokong Russia dan ini melemahkan komuniti ekonomi tersebut mencapai kata sepakat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan rantau Afrika Barat telah bertukar menjadi medan konfrantasi dan persaingan antara kuasa besar lama dan baharu di mana Russia adalah aktor di belakang tabir.

Isu kedua: Tidak lama selepas itu pada 23 Ogos lepas, ketua kumpulan askar upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin disahkan maut dalam nahas udara yang berlaku di wilayah Tver, Russia.

Bersamanya ialah Dmitry Utkin, seorang lagi pengasas Wagner dan pengurus kumpulan itu, turut berada dalam pesawat yang terhempas.

Menurut senarai nama mangsa korban yang diumumkan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Russia pesawat peribadi yang membawa tujuh penumpang dan tiga anak kapal terhempas di wilayah Tver, dekat Moscow, dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg.

Banyak spekulasi mengatakan Presiden Russia, Vladimir Putin adalah perancang kejadian yang berlaku. Bagaimana kalau kuasa Barat merancang pembunuhan Progozhin?

Adalah skrip yang mudah untuk menuduh Putin hanya kerana beliau mengecam pemberontakan Prigozhin. Harus juga disedari Wagner terlibatkan dalam banyak konflik di benua Afrika.

Wagner mempunyai ramai tentera upahan dan rangkaiannya di Timur Tengah dan benua Afrika. Misalnya apa akan terjadi kepada pemimpin separa tentera Sudan, Mohammed Hamdan Dagalo atau dikenali sebagai Hemeti dan ketua hulubalang di timur Libya, Khalifa Haftar yang merupakan rakan akrab Wagner?

Tentera upahan Wagner telah menyediakan bantuan kepada Haftar dan mendukunginya dalam serangan ke atas Tripoli pada 2019-2021 (walaupun gagal) dan sekarang menguasai kawasan prasarana minyak.

Di negara jiran Sudan, operatif Wagner bekerjasama dengan Rapid Support Forces (RSF), pasukan separa tentera pimpinan Hemeti yang terlibat dalam konflik bersenjata dengan Tentera Sudan.

Wagner terlibat dalam perlombongan emas di Republik Afrika Tengah dan di Sudan dan AS menuduh Wagner mencuri emas bernilai berbilion dolar dari Sudan. Wagner juga aktif di Mozambique, Madagascar, Mali dan beberapa negara Afrika lain.

Dengan kematian Prigozhin, kerajaan Russia akan berhadapan dengan kesukaran mengurus Wagner yang mempunyai jaringan dan rangkaian tentera upahan dan operatifnya di banyak negara di Afrika.

Ia mugkin akan menjejaskan operasi peperangan Russia di Ukraine. Adakah ini merupakan strategi kuasa besar Barat melumpuhkan operasi Wagner yang dalam proses pengambalihan operasinya oleh kerajaan Russia di Afrika?

Russia berada di belakang rampasan kuasa oleh Jeneral Abdourahamane Tchiani di Niger.

Dengan kematian Prigozhin satu kelompongan dan kekacauan besar akan berlaku di negara seperti Sudan dan Libya dan beberapa negara di Afrika di mana AS boleh menggunakan kesempatan ini untuk mendominasinya.

Isu ketiga: BRICs yang dibarisi oleh negara pengasas Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan telah menerima keahlian enam negara baharu iaitu Argentina, Ethiopia, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai ahli penuh mulai 1 Januari depan.

Selain daripada penglibatan Russia di benua Afrika, jika dilihat daripada kemasukan ahli baharu, nampaknya BRICs (juga Russia dan China) menumpukan kepada geopolitik ekonomi Timur Tengah.

Apa yang dikenali sebagai BRICS II memiliki kuasa pembelian besar dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 36 peratus lebih besar daripada G6 (Russia bukan lagi ahli G7) dan merangkumi 46 peratus penduduk dunia.

Apabila Tehran, Riyadh dan Abu Dhabi menyertai BRICS II dengan sepantas kilat suatu kuasa geopolitik tenaga (minyak dan gas) telah muncul dan menurut infoTek ia menguasai 39 peratus eksport minyak dan 49.5 peratus simpanan minyak dan 47.6 peratus dalam penghasilan minyak sejagat.

Ia adalah rangkuman simbiosis BRICS 11 dan OPEC (di bawah kepimpinan Russia dan Arab Saudi).

Adakah dengan ini Barat akan kehilangan kuasa mengawal harga minyak dan akan mencetus konflik penentuan harga minyak? Adakah kuasa Barat kehilangan penentuan unilateral dalam menetapkan harga minyak.

Jika diperhatikan kerjasama strategik kepimpinan Russia-China dalam sidang kemuncak di Johannesburg akan menggerakkan orde baharu dalam hubungan antarabangsa yang menekankan kepada multipolar daripada unipolar. Hampir kesemua ahlinya (kecuali Russia) adalah terdiri daripada kumpulan negara Selatan atau bekas jajahan kuasa kolonial Eropah.

Kemunculan BRICS memperlihatkan kekecewaan negara Selatan terhadap dasar-dasar kuasa Barat yang mengutamakan kepentingan mereka dalam dunia globalisasi dan menindas serta menzalimi negara Selatan dalam penguasaan ekonomi, politik, maklumat, teknologi
dan seumpamanya.

Walaupun BRIC II dianggotai oleh negara-negara pengeluar minyak utama di Timur Tengah, tetapi kebanyakan negara sedang membangun atau negara Selatan lain tidak mahu berada dalam situasi berpihak atau situasi binari pertentangan iaitu Barat dengan G6, G20, NATO berlawanan dengan BRICS, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Satu Jajaran, Satu Laluan atau ‘One Belt, One Road’ (OBOR).

Kebanyakan negara ini juga masih mempunyai hubungan dagang dengan Barat. Keberpihakan atau kecondongan kepada sesuatu blok baharu akan membawa tekanan kepada sesebuah negara lemah apabila pertarungan besar di pentas antarabangsa antara kuasa Barat dipimpin AS dan kuasa multipolar yang diketuai Russia dan China.

Amat dibimbangi apabila gajah sama gajah bergaduh rumput akan dpijak mereka Ketiga-tiga peristiwa tersebut memperlihatkan penglibatan Russia sebagai aktor besar dalam realisme kuasa yang sebelum dikuasai AS di peringkat antarabangsa khususnya dalam geopolitik.

Pendekatan Unipolar sudah tidak relevan dalam realiti dunia hari ini. Dunia unipolar yang muncul selepas emapayar Kesatuan Soviet tersungkur di pentas dunia dicirikan oleh dominasi adikuasa dalam hal ehwal antarabangsa.

Negara Selatan yang terdiri daripada Amerika Latin, Afrika dan Asia telah dipinggir sistem antarabangsa yang dikuasai AS dan sekutunya Adakah Russia bertindak sebagai sang penyelamat atau sang penjajah baharu dengan tema pembebasan dan perwujudan dunia multipolar daripada kuasa unipolar AS dan sekutunya?

Semoga Russia tidak menggunakan naratif multipolar dan pembebasan negara Selatan daripada kuasa unipolar AS dan sekutunya sebagai ruang untuk menjadi sang penjajah baharu pula.

Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan kebanyakan negara pengasas BRIC dan negara baharu yang menganggotai BRICS II. Malah Malaysia telah melanggar sekatan ekonomi AS ke atas Iran apabila Menteri luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuat lawatan rasmi ke Iran.

Menteri Luar China baru-baru ini telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah. Ketika menghadiri forum ekonomi Antarabangsa ke-14, ‘Russia – Islamic World: Kazan Forum’, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dengan Russia dalam pertukaran teknologi, terutama yang dibangunkan dengan baik di Russia, termasuk teknologi robotik atau roket.

Malah, hubungan Malaysia dengan Arab Saudi sudah sedia terjalin. Bahkan Asean telah mempunyai hubungan yang lama juga dengan Afrika Selatan.

Oleh itu, Malaysia tidak perlu terburu-buru untuk menganggotai BRICS. Putrajaya yang arif dalam diplomasi antarabangsa tentu akan memainkan peranan diplomasi sang kancil yang bijaksana seperti menarik benang dalam tepung agar tidak berselerak.

Dasar luar Malaysia haruslah bertindak sebagai pengimbang dalam mencari keseimbangan dalam hubungan dengan Barat dan BRICS.

Pada masa sama kita tidak harus memekakkan telinga, membisukan diri atau menjadi seperti burung kasuari yang memasukkan kepalanya ke dalam lubang terhadap ketiga-tiga perkembangan dalam konflik kuasa besar di pentas antarabangsa.

Oleh itu Malaysia perlu peka, sensitif dan proaktif dengan perkembangan semasa yang berlaku.

Pada masa sama dalam mencari keseimbangan dalam hubungan antarabangsa, Malaysia perlu mengorak langkah untuk membebaskan diri daripada bergantung sepenuhnya kepada Barat dalam bidang teknologi, ekonomi, politik, ketenteraan misalnya dan mencari kedaulatan sebenar sebagai sebuah negara yang bebas daripada cengkaman kuasa besar.

Penulis adalah pemerhati kritikal dalam isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading