Oleh Ismail Hashim Yahaya
Menjelang sambutan hari kemerdekaan pada hujung bulan ini teringat saya akan kata-kata Presiden pertama Indonesia Soekarno. Dalam sebuah pidato, Soekarno berkata, “Perjuanganku lebih mudah kerana melawan penjajah, namun perjuangan kalian akan lebih sulit kerana melawan bangsa sendiri”.
Apa yang dimaksudkan daripada ucapan Presiden pertama Indonesia itu adalah mengingatkan rakyat tentang ancaman yang akan mereka hadapi setelah mencapai kemerdekaan.
Ancaman yang dimaksudkan adalah perebutan kuasa dalam politik dan ekonomi oleh elit berkuasa yang akan membawa kepada pepecahan dalam kalangan rakyat yang akhirnya membelenggu rakyat kepada jiwa hamba.
Malaysia walaupun sudah merdeka daripada penjajahan selama 66 tahun dan 60 tahun pembentukan Malaysia kini berhadapan dengan masalah ekonomi, kenaikan harga barang, bergelut keluar daripada era pasca Covid-19 dan antara cabaran besar ialah rasuah ekonomi dan politik, oligarki, politik kelompok dan kartel.
Dan satu ancaman yang sedang viral sehingga dapat menggugat keharmonian, kestabilan, perpaduan dan penyatuan rakyat ialah ancaman ekstremisme yang semakin berpengaruh sekarang.
Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, ancaman daripada gelombang Melayu hijau semakin rakus dan sedang mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.

Tidak keterlaluan jika dikatakan perebakan viral ekstremisme memperlihatkan pengwajahan atau imej retorik akan Islam yang terancam dan kehilangan kuasa Melayu yang akan membawa kepada desosialisasi geopolitik besar ke atas tubuh bangsa ini.
Ekstremisme yang dimaksud di sini tidak bersifat kekerasan fizikal (senjata atau kekerasan seperti ISIS ) atau ‘hard extremism’ tetapi ia lebih kepada ‘soft extremism’ atau ekstremisme lunak yang merangkumi penggunaan perkataan-perkataan berlawan atau oposisi binari seperti Islam-kafir, Melayu-bukan Melayu dan syurga-neraka umpamanya sehingga menciptakan kesedaran palsu dalam kalangan mereka yang menyakininya.
Setiap tindakan pihak pelampau dianggap sebagai penyelamat agama dan bangsa, keadilan dan munasabah.
Jika diteliti sikap ekstremisme yang dilaksanakan itu menciptakan tanda-tanda menipu dan palsu semasa situasi atau isu tertentu dalam mewujudkan suatu pencitraan, ilusi atau pengwajahan kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan sebagai musuh kepada agama dan bangsa.
Ekstremisme lunak adalah penciptaan pelbagai citra, imej, imaginasi dan pengawajahan tentang Kerajaan Perpaduan dalam hubungannya dengan agama, bangsa dan negara.
Orang Melayu harus menyedari bahawa pengaruh ekstremisme dalam masyarakat maklumat dewasa ini telah menjadi sebahagian daripada maklumat itu sendiri. Apa yang dimaksud di sini dakyah ekstremisme adalah maklumat melalui ceramah seumpamanya, dan media maklumat (seperti media sosial) adalah medium ekstermisme yang menjadi pentas komunikasi utama mereka.
Oleh yang demikian, gejala ekstremisme di negara ini tidak dapat dipisahkan daripada media maklumat seperti laman sesawang, media sosial, blog dan podcast umpamanya yang merupakan jaringan dalam internet.
Ini kerana di dalamnya beroperasi mekanisme pemaksaaan lunak (seolah-olah tiada pilihan seperti syurga atau neraka) dan licik yang melaluinya rakyat dan masyarakat Islam, khususnya akan dibawa ke arah jebakan keharusan dalam mempercayai wacana citra dan ilusi yang diciptakan dan seterusnya akan mematuhinya pada peringkat hubungan sosial.
Ekstremisme lunak akan melebarkan jurang perbezaan kaum kononnya membentuk kaolisi ‘Bangsa Melayu’ dan menjarakkan diri mereka daripada kaum lain melalui kempen meniup sentimen api perkauman dan agama yang ekstrem.
Amat dibimbangi permainan ektremisme lunak akan menyasarkan ke jantung bangsa dalam menzahirkan pemaknaan tentang mana yang lebih Islam dan mana yang lebih Melayu secara sempitnya.
Apa yang berkembang dalam masyarakat maklumat adalah tanda-tanda dan tontonan melalui media sosial umpamanya seperti tanda kekalahan kerajaan perpaduan pada masa akan datang ekoran kemenangan di kawasan Melayu utara Selangor contohnya.
Melalui tontonan di media maklumat, suatu rangka citra, makna atau bayangan tentang kemenangan oleh parti dan gabungan parti pada PRN atau PRU akan datang, sesuatu yang akan diukur dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pahang dan Johor.
Oleh itu, dari semasa ke semasa apabila adanya PRN, PRU, atau PRK oleh kematian ADUN dan Ahli Parlimen dan isu-isu semasa mesin-mesin fikiran melalui media sosial akan digunakan dalam menjayakan projek ekstremisme lunak ini.
Perbezaan kaum dan agama akan dijadikan senjata memperoleh sokongan dan tontonan besar penonton dengan menaikkan rasa cemburu, syak wasangka dan rasa takut dalam jiwa masyarakat Melayu terhadap kewujudan dan penguasaan kaum lain melalui dalil agama.
Jika orang Melayu menyokong mereka dianggap mendukungi Islam dan bersama bangsa. Sebaliknya jika tidak bersama mereka dianggap menentang Islam dan bersama kafir harbi. Melalui ekstremisme lunak ini kaum Melayu diharap berada di belakang mereka dan mengundi mereka.
Ekstremisme lunak melalui proses indoktrinasi takfiri dan ideologi ghuluw atau pelampau yang berbahaya ini boleh merentakkan hubungan kaum dan keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini dan membawa pemisahan sosial antara negeri-negeri di Semenanjung apalagi konflik sosial di Sabah dan Sarawak.
Kelunakan ekstremisme ini berjaya mempengaruhi mereka yang jahil dan tidak literasi media dilakukan melalui pengaburan maklumat dan pengkelabuan realiti sehingga dengan sengaja mencetuskan kepanikan dalam kalangan anak bangsa bahawa ketuanan dan kedaulatan Melayu diancam oleh bukan Melayu dan pemerintah tidak memperjuangkan Islam.
Melalui media sosial ia telah membawa kepada fitnah terbuka yang menimbulkan konotasi Islam diancam, kecurigaan akan mereka yang bukan Melayu dan tuduhan segera kepada yang tidak bersama mereka sebagai musuh Islam misalnya.
Fitnah berbentuk teks terbuka di alam maya dikenali sebagai ‘virtual extremism’ dan pelakunya dikenali ‘virtual extremist’ kerana mereka telah menghasilkan suatu jenayah sempurna atau ‘prefect crime’ iaitu penggelapan dan pemerkosaan realiti di alam maya.
Suatu realiti kejahatan yang menyembunyikan dirinya secara sempurna di sebalik pengwajahan dan menuding kejahatan pihak lain kononnya dilakukan di dunia virtual sehingga kejahatan yang mereka lakukan tidak kelihatan kerana tenggelam dalam gemerlapan visual dan seolah-olah sukar dibuktikan dan dibongkarkannya.
Dua orang cendekiawan komunikasi iaitu Herber Schiller menyebutnya sebagai mesin manipulasi hati (manipulate hearts) dan Baudrillard menyebutnya sebagai mesin perkosaan maklumat (information rape).

Ini kerana banyak fakta sudah diputar belit dan dimanipulasikan sehingga mengaburkan antara yang hak dan batil sehingga menciptakan yang palsu atau realiti tiruan yang melampau.
Dalam hubungan ini jika dibiarkan ekstremisme lunak bermaharajalela terdapat tiga perkara penting yang harus direnungi bagi mengekalkan perpaduan kepada tubuh negara ini.
Pertama, pepecahan geopolitik sosial dalam kalangan bangsa sendiri dan kebimbangan kaum lain di negara ini contohnya merebaknya fahaman kemerdekaan sempit fahaman Islam sehala dan ketuanan kuasa Melayu.
Tindakan negeri-negeri di bawah PN yang mahu menggunakan tema mereka sendiri bagi sambutan Hari Kebangsaan/Merdeka pada tahun ini memperlihatkan pepecahan geopolitik negeri bersandarkan fahaman politik pelampau.
Sebenarnya politik tiada kaitan langsung dengan sambutan Hari Kebangsaan dan acara sambutannya yang diadakan pada setiap tahun (kecuali ketika pandemik Covid-19) dihadiri oleh Yang diPertuan Agong selaku ketua negara di mana semua rakyat tanpa mengira politik, bangsa atau parti bersatu hati meraikannya.
Ia akan membawa pepecahan kalangan orang Melayu tentang erti merdeka itu sendiri yang merupakan suatu gangguan ke atas kesejahteraan penghidupan bangsa dan negara.
Kedua, terputusnya hubungan sosial iaitu rantai-rantai hubungan sosial antara agama, kaum, suku dan ras yang sebelum ini menyatukan komponen-komponen hubungan masyarakat yang majmuk melalui hubungan kekerabatan, kekeluargaan, persabahatan dan saling toleransi. Ekstremisme lunak akan melonggar dan merungkaikannya.
Akhir sekali ialah nyah wilayah atau ‘deterritorialism’ iaitu sebuah proses sosial pemecahan wilayah yang dipersaksikan melalui PRU14 dan PRN baru-baru ini dalam peta geopoliti sosial Semenanjung.
Kemenangan tiga negeri, dua di Pantai Timur dan sebuah di Utara yang mengukuhkan geopolitik Melayu konservatif. Ia membentuk geopolitik mereka sendiri sehingga tafsiran kemerdekaan dibuat bersandarkan kaca mata mereka. Ia menyaksikan nyah wilayah dengan sempadan kelompok keras dan sederhana.
Ia menandakan kelompok-kelompok masyarakat dalam lingkungan geopolitik keras ini yang akan mengembangkan pengaruh ke kawasan geopolitik sosial lain dengan menggugat dan mengecilkan peta wilayah politik, ekonomi dan sosial dalam merebut penguasaan ruang sosial yang lebih besar yang melibatkan minda, jiwa dan fikiran.
Apa yang sedang berlaku di tengah masyarakat Melayu sekarang ialah bentuk Islamofobia dalaman oleh melalui dakyah Islam dan Melayu ekstrem yang ingin menguasai wilayah pemikiran, jiwa dan hati dalam memperluas dan mengembangkan daerah kekuasaan geopolitik sosial.
Di samping perjuangan Islamofobia di luar negara, cabaran Islamofobia dalaman ke atas kalangan orang bukan Islam dan Melayu yang berfikiran sederhana di negara ini harus ditangani.
Ini cabaran besar kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengekalkan kemerdekaan negara.






Leave a Reply