Kampung Baru wajar dijadikan Pusat Pelancongan Negara sehebat Little India Brickfields dan Petaling Street, betul? Atau Indah Khabar dari Rupa…

Minggu ini, kami sekeluarga makan tengah hari di Restoran Gerak 23, Kampung Baru. Restoran sesak dengan warga kota yang ingin hidangan makanan warisan Melayu Kampung Baru kaya dengan sejarah, seni dan budaya.

Ikan bakar, masak lemak siput, masak lemak pucuk ubi, pajeri nanas dan terung, sambal terung, sambal, ulam-ulaman semuanya ada.

Memang banyak tempat-tempat menarik seperti Restoran Gerak 23, Warung Cik Senah, yang mempunyai pemandangan indah Menara Berkembar Petronas pada waktu malam yang mengkagumkan, dan juga restoran seolah-olah tersembunyi dari pandangan seperti Restoran Samudera Patin – permata kota semuanya.

Namun, Kampung Baru seolah-olah bergerak secara auto, ada beberapa sudut kian malap, ada yang kembali ceria hanya untuk segelintir mereka yang benar-benar mengenali Kampung Baru – tidak diendahkan mereka yang lalu lalang.

Tidak seperti kawasan Sentul, Masjid Jamek di tepi sungai dan Bukit Bintang serta kawasan lain yang mendapat suntikan modal untuk dinaiktaraf.

Pastinya diharap pihak berkuasa dan masyarakat dapat bersama-sama menjadikan kampung ’terakhir’ di kota raya ini menjadi jaguh urbanisasi Kuala Lumpur yang mementingkan seni dan warisan. Sah tiba masanya

Cadangan pusat pelancongan negara

Pelancongan bertanggungjawab atau ‘Responsible Tourism’ memastikan sesebuah komuniti dapat membangunkan kawasan masing-masing dengan baik sebagai komuniti yang lestari dan sejahtera.

Pada masa sama, ia dapat menjadi destinasi unik untuk pelancong dan pelawat, yang mengambil berat tentang alam sekitar dan tempat yang mereka lawati.

Kelestarian alam sekitar, seni dan budaya, warisan dan sumber alam mesti dipulihara dan menjadi faktor utama apabila ingin menggalakkan aktiviti pelancongan yang dipacu komuniti.

Kampung Baru sejujurnya tentu dapat memenuhi segala trend pelancongan ini dan mencerminkan kewibaan dan keunikan seni warisan budaya Melayu.

Inovasi buat Kampung Baru

  1. Kampung Baru sebagai pusat tarikan pelancong utama bertemakan Warisan Budaya Melayu satu impian yang sudah disebut-sebut sekian lama.

Kita boleh mementingkan amalan Pelancongan Bertanggungjawab yang mengawal amalan kelestarian seperti tiada penggunaan plastik pakai buang, pengurusan sisa yang betul, kawasan utama hanya membenarkankan pejalan kaki – ‘no cars zone 24/7’ (jadikan bangunan dan ruang lama sebagai kawasan tempat letak kereta di pinggir Kampung Baru).

  1. Wujudkan ‘homestay’ yang cantik – dengan penambahbaikan cat, naik taraf pencahayaan, landskap dan pelindungan pokok-pokok asal serta laluan pejalan kaki dan basikal serta gazebo istirahat.

Pelaburan terbaik adalah melalui bantuan ‘rumah kampung’ terpilih sebagai homestay dengan latihan peningkatan kemahiran dalam hospitaliti dan kursus digitalisasi agar komuniti setempat mahir untuk menjalankan aktiviti ekonomi.

  1. Menubuhkan HUB Dunia Melayu dengan pusat aktiviti tradisional, bengkel pembuatan batik, anyaman, pembuatan kueh, tembikar tradisional dan seni lain.
  2. Menubuhkan muzium sejarah Kampung Baru.
  3. Menubuhkan pusat pembelajaran seni persembahan Melayu termasuk tarian, gamelan, angklung dan teater kerana di sinilah artis bertemu pada tahun 50-an, 60-an dan 70-an seperti Ismail Bakti dan anaknya Pak Tharuwat Ismail Bakti mewujudkan pasukan tarian pertama pada zaman awal Kuala Lumpur.

Inilah tokoh yang membawa kumpulan tarian Asyik dari Kelantan ke Kampung Baru terlebih dahulu sebelum Kompleks Budaya ditubuhkan.

  1. Memulakan permohonan pengiktirafan UNESCO terhadap Kampung Baru sebagai tapak warisan seperti Melaka dan Georgetown.
Bangunan mencakar langit, termasuk Menara Berkembar Petronas dapat dilihat dari Kampung Baru. – Gambar Malay Mail

Impak kepada industri pelancongan

  1. Destinasi pelancongan yang dipacu komuniti (contoh di Lenggong) dengan homestay menawan yang disokong oleh kerajaan (contohnya di Kg Boyan, Kg Gersik dan Kg Surabaya, Kuching) dapat memperkasa aktiviti pelancongan setempat.
  2. Aktiviti ekonomi yang berkembang pesat untuk penduduk tempatan dalam seni, kraf, makanan & minuman, perhotelan serta ‘homestay’.
  3. Raikan kehidupan tidak terkejar-kejar di Kampung Baru – muzik, tarian dan hidangan makan malam mencipta suasana.
  4. Ruang seni buat khayalak awam.
  5. Kebanggaan masyarakat yang kukuh dalam menjaga alam sekitar Kampung Baru dan status benteng seni dan budaya Melayu.

Cadangan pelaksanaan

  1. Dapatkan semua pemegangtaruh duduk semeja contohnya: a. DBKL;
    b. MOTAC;
    c. Komuniti;
    d. Pemilik rumah rumah warisan;
    e. Pemilik bisnes budaya kreatif; dan
    f. Artisan Seni dan Budaya.
  2. Bersetuju garis masa utama dan faktor kejayaan kritikal perancangan, contohnya Perancangan, Townhall bagi semua pemegangtaruh.
  3. Wujudkan Bajet 2024, 2025, 2026 untuk projek ini.
  4. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai penaung dan Majlis Raja Raja Melayu memantau pemuliharaan seni dan budaya Melayu.

Buat masa ini, segala perbincangan dari pemilik, kerajaan dan pihak yang ingin mengaut keuntungan dari Kampung Baru terus mengangkat berpuluh kertas kerja Perancangan Kampung Baru yang terbengkalai.

Cadangan di atas tidak memerlukan pindah milik atau lain lain masalah teknikal yang menghantui Kampung Baru selama ini.

Mari kita mulakan dengan langkah kecil dahulu untuk bergerak terus ke hadapan. Untuk memastikan komuniti di sini dapat terus maju dan menjadi kebanggaan kita semua.

Bukankah ini cadangan bernas dan impian murni memulihara, memelihara dan memperkasa Seni, Budaya dan Warisan Alam Melayu? Dan melestarikan Kampung Baru supaya menjadi ‘indah rupa dari khabar’…

Leave a Reply

Trending