Kempen Pilihan Raya enam negeri (PRN) telah bermula secara rasmi apabila proses penamaan calon selesai pada 29 Julai lalu.

Kempen dalam bentuk ceramah, sesi bertemu pengundi, berjalan di tempat-tempat awam (‘walk-about’) dan lain-lain akan berjalan sehingga jam 12 tengah malam Jumaat ini iaitu lapan jam sebelum pembuangan undi.

Bagi parti-parti politik dan calon-calon, kempen adalah kemuncak kepada aktiviti untuk memperkenalkan diri masing-masing dan menyebarluaskan ideologi dan fahaman politik bagi tujuan mendapatkan sokongan daripada pengundi setempat.

Setiap calon dan parti politik yang terlibat akan mengemukakan manifesto atau pelan atau aku janji apa yang mereka akan lakukan sekiranya mereka dipilih oleh pengundi sebagai wakil rakyat. Pengundi akan menilai janji-janji tersebut dan juga latar belakang calon serta pencapaian parti bagi membuat keputusan calon manakah yang akan dipilih.

Rakyat Malaysia telah melalui 15 Pilihan Raya Umum (PRU) semenjak merdeka dan corak kempen adalah hampir serupa semenjak PRU1.

Sejajar dengan latar belakang politik Malaysia yang mana parti-parti politik adalah berteraskan perkauman dan secara tidak langsung agama, isu-isu perkauman dan agama menjadi topik utama bagi kebanyakan parti politik untuk meraih undi.

Namun, kempen PRN kali ini, parti-parti politik dan calon dilarang menimbulkan isu-isu berkaitan agama, perkauman dan raja-raja Melayu (Race, Religion, Royalty, 3R).

Hari mengundi akan tiba dalam beberapa hari sahaja lagi. Ramai pengundi masih ternanti-nanti manifesto calon untuk mengetahui apakah perancangan calon seandainya mereka dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Bahan-bahan kempen yang digunakan sekarang lebih berkisar kepada serangan peribadi terhadap calon atau parti politik yang bertanding.

Amat jarang kedengaran parti politik atau calon menerangkan mengenai kelebihan atau kekuatan diri mereka yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dipilih. Hampir setiap ceramah atau muatan di platfom media sosial, parti politik atau calon akan mengecam lawan masing-masing sama ada dengan fakta atau dakwaan-dakwaan yang tidak disokong oleh bukti yang sahih.

Pengundi dilambakkan dengan pelbagai ‘pendedahan’ yang kononnya dilakukan oleh parti atau individu yang bertanding. Hakikatnya sekiranya pendedahan ini bersangkutan dengan perkara yang melanggar undang-undang, pihak penguatkuasaan harus mengambil tindakan segera.

Agak lucu kerana banyak dakwaan yang dibuat semasa kempen dibuat oleh pihak-pihak yang boleh mengambil tindakan yang sewajarnya semasa mereka berada di tampuk pemerintahan.

Laungan mengenai pelanggaran tatakelola pentadbiran, salah guna kuasa, rasuah dan perlanggaran etika menjadi kuat hanya ketika kempen pilihan raya. Biasanya seusai pilihan raya, semuanya akan kembali ke keadaan asal seolah-olah laungan tersebut tidak pernah didengari.

Telah menjadi lumrah bagi parti politik menjanjikan ganjaran kepada pengundi semasa kempen pilihan raya walaupun janji-janji ini boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Di samping ganjaran yang dijanjikan, banyak juga aktiviti yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang seperti ‘jamuan rakyat’, ‘bantuan kasih’ dan lain-lain, namun jarang kita melihat sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak.

Agak malang kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai badan utama menguruskan pilihan raya, tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebarang dakwaan yang dilaporkan semasa kempen pilihan raya.

Setelah hampir 66 tahun merdeka, telah sampai masanya badan pengurusan pilihan raya diberi kuasa yang sewajarnya dan badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas agar pilihan raya di negara ini benar-benar demokratik dan mempunyai nilai integriti yang tinggi.

Pilihan raya bukan sekadar pesta bendera, ceramah dan perjumpaan untuk bersalaman dengan pengundi, tapi adalah suatu proses demokrasi yang harus dipandang serius oleh semua pihak kerana masa depan negeri dan negara bergantung kepada hasil dari pilihan yang diambil oleh pengundi.

Walaupun kita telah melalui 14 atau 15 pilihan negeri (enam negeri hanya mengadakan pilihan raya kali ini), namun setiap pilihan raya memberi peluang kepada pengundi untuk memilih siapakah calon yang terbaik untuk membawa negeri masing-masing ke tahap yang lebih baik.

Pengundi harus mempunyai pengetahuan, ilmu dan maklumat yang jelas untuk menentukan pilihan yang baik. Terlajak perahu boleh diundurkan, tersalah sengsara lima tahun di hadapan.

Sebab itu Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya mencadangkan agar kempen pilihan raya di kawal selia dengan lebih sempurna dan pendidikan pengundi diperkenalkan.

Amerul Muner Mohammad
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM
Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia.

One response to “PRU, PRN: Kawal selia lebih sempurna diperlukan”

  1. Keow Hock Sneah, Jeff Avatar
    Keow Hock Sneah, Jeff

    Apakhabartv fulfills a need to screen out important and strategic issues for Malaysians to read, study and understand for their literacy of current affairs and key issues and problems affecting the growth and development of Malaysia. I wish the apakhabartv news site every success and hope that they truly succeed in fulfilling the needs of Malaysians to be informed , educated and productive via their highlighting of key news items for attention of its readers.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading