Oleh Ismail Hashim Yahaya

Nampaknya perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan banyak mengerakkan usaha perpaduan dunia Islam.

Selain daripada ucapan tahniah kemenangan kedua pemimpin dalam pilihan raya, perbualan telefon antara kedua-duanya dapat mengerakkan usaha menangani propaganda media Barat dan negara-negara Barat sendiri yang berusaha memburukkan Islam pada mata dunia.

Dalam hubungan ini, Malaysia bakal menjalin kerjasama untuk membentuk gerakan bagi menangani isu Islamophobia pada peringkat antarabangsa, kata Anwar.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan melalui perbualan telefon bersama baru-baru ini.

Sejak Anwar menjadi Perdana Menteri, isu Islamophobia telah menjadi antara agenda utama beliau yang merupakan sikap permusuhan terhadap Islam, terutama di negara Barat di mana Islam dibenci sehingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

Anwar dan Erdogan akan mengadakan perbincangan dan perjumpaan pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September ini.

Namun, agak sedih, negara Islam lain sekadar mengkritik, mengutuk dan membuat ulasan terhadap isu pembakaran al-Quran yang menjadi-jadi di Sweden atas nama liberalisme, tanpa mengerakkan usaha serius yang bersepadu menangani isu ini di persidangan antarabangsa.

Jika difikirkan yang sepatut ditakuti dan dibenci bukan Islam, tetapi kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang sedang memimpin dunia Barat sekarang ini.

Bayangkan keganasan sejagat yang berlaku sejak 11 September apabila dua pesawat penumpang merempuh dua bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York telah dikaitkan dengan Islam sehingga mencetuskan Islamophobia apabila siri keganasan berlaku di banyak negara Islam, India dan Eropah.

Tetapi ramai yang lupa atau tidak sedar bahawa keganasan itu bermula dengan perkembangan teknologi nuklear, teknologi digital, senjata kimia, dron, senjata biologi, nanoteknologi dan kebanyakan teknologi ini dibangun dan dimajukan di makmal-makmal tentera.

Amerika Syarikat mahu menjadi polis dunia.

Tidakkah AS yang sepatutnya ditakuti dan dibenci. Isunya bukan Islamophobia tetapi Amerikanofobia. Filem Oppenheimer ada mengisahkannya.

Teknologi ketenteraan yang diciptakan AS ini yang harus dibimbangi kerana ia mengancam keamanan sejagat. Namun dengan kekuatan media sejagatnya, AS telah mempengaruhi pandangan awam bahawa ancaman senjata pemusnah besar-besaran datang daripada pengganas Islam dan negara pengganas dikelompokkan sebagai Iraq, Iran , Russia dan Korea Utara – bukannya AS sendiri.

Kita bukannya menyokong keganasan pengganas Islam dan negara yang mengamal keganasan, tetapi di samping itu tidak harus melupakan peranan AS campur tangan secara langsung di beberapa negara di dunia seperti menakluki Iraq dan Afghanistan. Tidakkah AS boleh dianggap sebuah negara pengganas?

Berbanding tindakan-tindakan fizikal AS, lebih mendebar dan membimbangkan apabila AS menguasai dunia dengan kuasa teknologi belakang takbir.

Kegiatan perisikan seperti pengintaian, pengawasan, pemantauan dan penyelinapan banyak dilakukan ke atas seluruh dunia dan negara-negara yang menjadi sasaran mereka.

Dengan perkembangan teknologi digital dan nano yang sensitif dan pantas seperti teknologi pengamatan dron, satelit; teknologi pemantauan radar, media sosial, teknologi interaktif seperti Internet, Kecedasan Buatan atau AI, BioAI, percetakan AI dan teknologi komunikasi dan digital, seperti telefon bimbit contohnya, memberikan kemampuan penglihatan dan pengintaian sejagat dan pengendalian operasi sejagat sehingga secara teoritisnya setiap gerak, perencanaan, tindakan dan detik pengganas umpamanya dapat didengari, dilihat dan dirakam oleh mesin-mesin perisikan ini.

Tidakkah Amerikalah yang sepatut dibenci, dibimbangi dan ditakuti dunia, bukannya takut dan benci kepada Islam sehingga mencetuskan Islamophobia tetapi realitinya adalah Amerikanofobi.

Terdapat pelbagai logika yang merasionalkan Amerikanofobia di sebalik perkembangan teknologi hiper ini.

Menurut pakar semiotika Indonesia, Profesor Yasraf Amir Piliang terdapat lima logika perkembangan teknologi hiper ini.

Pertama logika tidak kelihatan atau kita sifatkan sebagai ghaib; kedua logika kecepatan (logic of speed); ketiga logika miniaturisasi (the logic of miniaturisation); keempat logika citra; dan akhirnya logika nomadisme.

Perkembangan teknologi pengawasan dan pengintaian mutakhir ini seperti satelit pengintai, radar pengawas, sonar, dron, internet termasuk media mempunyai capaian kepada teknologi tersebut menjadikan AS sebagai polis dunia.

Peralatan teknologi sedemikian menurut seorang cendekiawan semiotika Peranchis, Paul Virilio sebagai keterlihatan dan ketidakterlihatan (seen and unseen).

Bagaimanakah penyerangan oleh dua buah kapalterbang yang merempuh bangunan WTC pada 11 September 2001, adakah mereka menggunakan teknologi sedemikian? Penyerangan mereka pada hari tersebut tidak dikesan oleh teknologi pemantauan canggih AS.

Para pengganas WTC nampaknya menguasai medan sasaran iaitu keterlihatan (visible target) dan kedudukan dan posisi diri mereka yang ketidakterlihatan (they are invisible) dan bukankah AS sahaja yang memiliki teknologi pemantauan yang canggih ini dan pada hari tersebut siapakah yang membantu mereka untuk melepasi pengesanan ini?

Bayangkan bagaimana AS mengintai dunia melalui teknologi tersebut?

Kedua, logika kecepatan. Dengan pengetahuan yang mendalam mengenai teknologi pesawat, bahan peledak, tenaga nuklear, teknik kimia, mikroelektronik, bioteknologi, teknologi robotik dan kecepatan digital pada kecepatan warp, keupayaan tentera dan peralatannya dapat bergerak dengan cepat bahkan dengan teliti, tepat dan disiplin dalam kuasa pergerakan dan kepantasan sehingga menjadikan AS sebuah kuasa besar yang amat ditakuti.

Askar AS menuju ke Helmand, Afghanistan pada 6 Mac 2010 setelah Presiden AS George Bush mengisytiharkan serangan pertama. – Gambar AFP

Inilah yang dinamakan Amerikanofobia!

Ketiga, logika miniaturasasi dan di mana teknologi simulasi telah menciptakan sebuah dunia miniaturasi dalam tindakan di mana dengan menggunakan simulasi dengan bantuan dron dan serangga-serangga robotik kecil dengan sasaran tepat ke sesebuah kawasan dapat dilakukan.

Serangan dron-dron kecil tanpa pemandu melalui kendalian jarak jauh atau autopilot memungkinkan penguasaan medan peperangan tidak lagi dibatasi ruang.

Ruang-ruang miniaturisasi ini lah yang digunakan AS dalam serangan ke atas pengganas sejagat.

Keempat, logika citra atau pengwajahan. Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat khususnya dalam penyiaran, satelit, digital dan multimedia telah menciptakan sebuah dunia yang di dalamnya pencitraan atau tontonan memainkan peranan besar dalam mentakrifkan realiti serta mengemukakan persepsi atau tanggapan kepada masyarakat sejagat.

Misalnya, bagaimana media Barat, terutamanya media AS melalui propaganda telah berjaya memanipulasikan dunia dengan memomokkan Islam sehingga membawa kepada fobia Islam susulan serangan pengganas ke atas bangunan WTC.

Media Barat dan kerajaan AS telah membawa seluruh dunia terjebak ke dalam perang menentang keganasan dan Islam telah dilihat sebagai agama keganasan dan di sinilah episod pembakaran al-Quran bermula oleh kebencian kepada pengganas Islam.

Bagaimana media Barat telah mengaitkan Saddam Hussein dan Muaamar Gadafi dengan Hitler dan sekarang skrip yang sama juga digunakan ke atas Presiden Russia, Vladimir Putin.

Melalui pencitraan media Iraq ditakluki atas alasan Saddam menyimpan Senjata Pemusnah Besar-Besaran (WMD) tetapi selepas penaklukan, alasan WMD telah dilupakan. Atas alasan mencari Osama bin Laden, maka Afganistan ditakluki.

AS telah memporakperanda Timur Tengah dan membiarkan Palestin diserang regim pengganas Israel. Pencitraan media Barat merealitikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas pada hal mereka berjuang mempertahankan tanah air daripada penjajahan regim Zionis Israel.

AS telah menggunakan isu-isu di dunia Islam sebagai modal penerbitan melalui media utama yang mereka kuasai di serata dunia.

Kelima, Yasraf mengatakan ia berkaitan dengan logika nomadisme. Nomadisme ialah sebuah konsep yang digunakan pemikir semiotika Peranchis, Gilles Deleuze dan Feliz Guaattari bagi menjelaskan sebuah proses apabila seseorang atau kelompok sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat.

Menurut kedua tokoh tersebut perpindahan atau transformasi sebagai proses nyahwilayah atau deterritorialization. Dari perspektif kenegaraan dan kuasa besar, AS sering menggunakan konsep nomadisme dalam mentakrifkan musuhnya.

Bayangkan semasa Perang Dingin, komunisme dan sosialisme iaitu Kesatuan Soviet dan China dan negara-negara sokongan mereka adalah musuh AS dan Barat.

Selepas kejatuhan empayar Kesatuan Soviet di pentas dunia terbitlah buku karya Francis Fukuyama bertajuk ‘The End of History’ yang ringkasannya memaklumkan kemenangan Barat dan Kapitalisme ke atas Sosialisme dan Kesatuan Soviet, namun musuh AS telah berpindah kepada Islam.

Islam, negara Islam dan umatnya seolah-olah menjadi musuh Barat terbaharu menggantikan Kesatuan Soviet dalam perang menentang keganasan. Tiada negara Islam yang boleh bersikap kritikal terhadap AS semuanya harus tunduk kepada AS walaupun hanya segelintir umat Islam sahaja yang menjadi pengganas.

Sekarang konsep nomadisme berlaku lagi dengan perpindahan musuh AS iaitu Russia, terutamanya selepas negara beruang itu menakluki wilayah Ukraine dan China adalah musuh AS dari segi teknologi dan perdagangan.

Selepas AS mengundurkan diri daripada Afghanistan, mereka menubuhkan AUKUS, pakatan ketenteraan yang terdiri daripada Australia, Britain dan AS sendiri. Mereka memindahkan medan ketegangan ke rantau Laut China Selatan dan Asia Timur di mana China merupakan saingannya.

Dalam hubungan ini peranan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara atau NATO nampak tidak terbatas kepada Eropah, tetapi melepasi sempadannya sehingga ke Asia Timur.

Dunia sebenarnya harus membenci dan takut kepada AS yang cenderung kepada peperangan daripada keamanan dan konsep Amerikanofobia ialah yang harus dibincangkan menggantikan Islamophobia di PBB nanti.

  • Penulis adalah pensyarah program Pusat Pendidikan Profesional Lanjutan, PACE, Universiti Utara Malaysia.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading