Oleh Razali Zakaria
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu bahawa statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 30 peratus daripada kenderaan persendirian telah menggunakan lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan digital.
Pada Februari lalu, Loke mengumumkan bahawa pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan pada cermin depan kenderaan mereka mulai 10 Februari 2023, dan boleh memilih versi digital.
Beliau berkata peralihan kepada digital akan mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus dan menjimatkan kos percetakan kerajaan sekitar RM96 juta setahun.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa cukai jalan fizikal masih lagi dikeluarkan. Katanya, kementerian masih belum menetapkan tarikh akhir peralihan penuh kepada cukai jalan digital (e-LKM), dan pemilik kenderaan masih mempunyai pilihan untuk terus menggunakan pelekat cukai jalan fizikal.
Pelaksanaan e-LKM menunjukkan negara kini semakin bergerak ke arah penggunaan dalam teknologi web 4.0 (Internet of Things – IoT) di mana ia mengubah cara hidup masyarakat sama ada dari segi pergaulan sosial, komunikasi dan maklumat.
Jangkaan sambungan yang berterusan menerusi Web 4.0 akan membabitkan kehidupan harian kita.
Penggunaan Web 4.0, IoT, kecerdasan buatan, robot dan Internet akan membantu hubungan antara manusia dan mesin. Dengan penggunaan data pintar, realiti maya akan menjadi lebih biasa.
Dengan langkah Kementerian Pengangkutan memperkenalkan e-LKM, anda kini tidak lagi perlu berurusan dengan cukai jalan fizikal yang kadang kala menjengkelkan ketika kita hendak membuangnya dari cermin kereta.
Banyak aduan sebelum ini mengatakan perekat cukai jalan fizikal terlalu kuat hingga gagal ditanggal daripada cermin kereta.
Berikut ialah panduan langkah demi langkah untuk beralih kepada cukai jalan digital atau e-LKM.
Langkah pertama: Untuk bertukar kepada format digital, anda perlu memuat turun aplikasi MyJPJ pada telefon anda ketika pembaharuan cukai jalan anda yang seterusnya.

Langkah kedua: Selepas anda memuat turun aplikasi MyJPJ, cipta akaun dan daftar masuk. Kemudian, perbaharui cukai jalan anda dalam talian atau di pejabat JPJ.
Langkah ketiga: Setelah anda melog masuk dan memperbaharui cukai jalan anda, profil anda pada aplikasi akan menunjukkan butiran cukai jalan dan lesen memandu anda yang dikemas kini.

Langkah keempat: Aplikasi juga harus menunjukkan bahawa cukai jalan anda kini aktif.

Itu sahaja! Anda tidak perlu lagi berurusan dengan pelekat cukai jalan fizikal yang menjengkelkan.
Ini pula adalah langkah demi langkah untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan anda secara dalam talian (online).
Jika cukai jalan anda akan tamat tempoh tidak lama lagi, anda boleh memperbaharuinya dengan hanya beberapa klik dari rumah anda
Tanpa perlu bersusah payah memandu keluar keJPJ atau pejabat MyEG. Ini adalah kaedah yang lebih mudah yang tidak memerlukan anda berurusan dengan kesesakan lalu lintas atau tempat letak kereta.
Berikut ialah cara anda boleh memperbaharui cukai jalan dalam talian:
Langkah pertama: Lawati laman web MyEG. Klik pada ‘Semak & Bayar Cukai Jalan’.
Langkah kedua: Anda akan diarahkan ke halaman di bawah. Klik pada ‘Perbaharui Cukai Jalan’.
Langkah ketiga: Jika anda mempunyai akaun, log masuk. Jika tidak, daftar untuk akaun dan log masuk.
Langkah empat: Pilih jenis kenderaan untuk perbaharui cukai jalan – kereta atau motosikal
Langkah lima: Isikan butiran anda dan klik ‘Teruskan’



Pastikan semua butiran anda adalah betul sebelum mengklik ‘Teruskan’.
Itu saja. Mudah kan!





Leave a Reply