
Sekadar melawat tempat-tempat menarik atau bersejarah, tidak cukup bagi anda untuk benar-benar mengenali masyarakat Melayu yang tinggal di Selatan Thailand, khususnya di sekitar kawasan yang bersempadan dengan Malaysia.
Memang diakui sektor pelancongan di wilayah Selatan Thailand, terutama di Narathiwat, Pattani dan Yala, semakin berkembang, khususnya bagi penggemar makanan yang sedap dan murah.
Namun, tidak ramai yang mengetahui kehidupan harian masyarakat Melayu Selatan Thailand yang semakin hari semakin terkeluar daripada garis kemiskinan tegar.
Kemudahan asas seperti jalan raya yang luas (empat lorong bagi jalan utama) dan jalan tar di dalam kampung, dan bekalan elektrik telah disediakan.
Bagaimanapun, ada satu lagi kemudahan asas yang masih diperlukan oleh rata-rata penduduk kampung di Selatan Thailand – bekalan air paip.
Menurut beberapa penduduk, bekalan air paip disalurkan hanya di pekan-pekan besar, seperti bandar Yala, Narathiwat dan Pattani, sementara di kampung masih mengharapkan air perigi.
“Jika guna air paip yang disalurkan kerajaan kena bayar. Air perigi percuma. Kita bayar elektrik saja untuk pam air dari perigi ke takungan,” kata seorang penduduk sebuah kampung di daerah Bacho, Naratiwat, yang penulis ditemui baru-baru ini.

Dalam tinjauan penulis terdapat tiga cara yang digunakan oleh penduduk kampung di Selatan Thailand bagi mendapatkan air perigi untuk kegunaan harian.
- Perigi untuk menakung air hujan;
- Perigi dari sumber mata air; dan
- Air bumi (telaga tiub).
1. Perigi menakung air hujan
Ia dikorek pada kedalaman tertentu berhampiran rumah dan akan menakung air hujan untuk tujuan mandi dan mencuci pakaian.
Kebiasannya perigi ini akan kering pada musim kemarau. Air yang ditakung pula tidak jernih.
Penduduk akan menggunakan pam elektrik untuk menyedut air yang disalurkan ke dalam takungan di rumah melalui paip PVC.
- Perigi dari sumber mata air

Dalam bidang geologi, sumber air bawah tanah boleh dieksploitasi menggunakan sistem perigi yang digali sehingga satu lapisan yang dinamakan akuifer (ruang di mana air berkumpul dan boleh mengalir).
Ia tidak terlalu dalam dan dipenuhi dengan air daripada lapisan yang cetek namun mampu membekal air yang diperlukan pada musim kemarau. Biasanya kedudukannya jauh dari rumah.
Sama seperti perigi takungan air hujan, penduduk juga menggunakan pam elektrik untuk menyalurkan air ke dalam takungan di rumah melalui paip PVC.
Namun, kepanjangan paip PVC yang ditanam dalam tanah bergantung kepada jarak perigi ini dan rumah, yang kadang kala mencecah ratusan meter.
Bagi menjimatkan kos membeli paip PVC, penduduk biasanya mengangkut sendiri air perigi itu diisi dalam takungan.
- Air Bumi
Perigi akan digali ada kedalaman sehingga 70 kaki yang kadang kala melepasi pasir dan batuan lain sebelum sebatang paip PVC ditanam bagi menyedut air yang terperangkap di antara batuan keras.
Penduduk turut menggunakan pam elektrik untuk mengepam air bumi ini.
Bagaimanapun, dalam tinjauan penulis didapati tidak ramai penduduk yang menggunakan sistem ini kerana dikatakan melibatkan kos yang tinggi.
Pada kesempatan berada di sekitar kampung di Narathiwat juga, penulis turut mandi daripada air perigi daripada mata air. Airnya jernih dan sejuk.
Menariknya di sekitar perigi tempat penulis mandi terdapat juga beberapa pohon ganja.
Untuk rekod, Thailand menghalalkan penggunaan ganja untuk perubatan menyebabkan ramai penduduk yang menanamnya, sama ada di kebun atau di tepi rumah.
Ada dua jenis pokok ganja iaitu jantan (kurang bernilai) dan betina (berbunga dan bernilai tinggi).







Leave a Reply