
Belum habis penulis menjamah nasi budu, Kak Ya hidangkan pula pulut hitam durian – dua menu istimewa di kedai makannya yang terletak di pinggir bandar Narathiwat, Selatan Thailand.
Tepatnya, kedai makan Kak Ya atau nama sebenarnya Suraya Harun terletak di Khok Khian, Mueang Narathiwat District, Narathiwat 96000 (6°28’08.9″N 101°46’44.0″E) iaitu di pertemuan dua jalan.

Penulis diberitahu mengenai hidangan istimewa di kedai makan Kak Ya daripada anak-anak saudara sepupu yang tinggal di Kampung Lubo Sawo, Bacho, Narathiwat.
Ketika menziarahi sanak saudara di kampung kelahiran bapa penulis baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menikmati bukan sahaja dua menu istimewa itu, tetapi juga mee kampung.
Sebenarnya keistimewaan masakan Thailand sememangnya sudah popular di Malaysia. Banyak kedai makan dan restoran tomyam dibuka di bandar-bandar utama, termasuk di Kuala Lumpur, Shah Alam, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor.

Menurut Kak Ya, kedainya dibuka mulai jam 10 pagi waktu Thailand (11 pagi Malaysia) sehingga jam 6 petang. Enam hari seminggu, dan ditutup pada Ahad.
Namun, keenakan dan keasliannya akan lebih terasa sekiranya peminat masakan Thailand ini berkunjung sendiri ke kedai makan dan restoran yang terletak di bandar-bandar yang bersempadan dengan Malaysia.
Tidak terkejut apabila semakin ramai rakyat Malaysia sekarang ini melintasi sempadan memasuki Thailand, khususnya di sekitar Narathiwat dan Yala (bandar terbesar di Selatan Thailand), semata-mata untuk menikmati masakan Thailand.
Ini diakui Kak Ya yang memaklumkan ramai pelancong Malaysia turut berkunjung ke kedai makannya setelah mengetahui dua menu istimewa yang disediakan.

Nasi Budu
Hidangan nasi ini tidak diletak dalam pinggan biasa, tetapi di dalam nyiru kecil. Terkejut juga penulis apabila dihidangkan sedemikian rupa.
Selain nasi, terdapat sekurang-kurangnya 15 ulam-ulaman dan ikan goreng di dalam nyiru itu.
Pastinya tidak lepas ialah budu yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu Selatan Thailand, selain di Kelantan dan Terengganu.
Dengan harga serendah 69 baht (sekitar RM9) nasi budu ini mengandungi antara lain ialah dua ekor ikan goreng, pucuk paku rebus; terung; bunga kantan; petai; dan kacang bendi
Juga dimasukkan kacang panjang rebus; jagung kecil; buah petola; batang telipuk; dan cili besar.
Tatkala, hidangan nasi budu ini sudah hampir habis dijamah, Kak Ya menghidangkan pula semangkuk pulut hitam bersama seulas durian dan santan.

Pulut hitam durian
Terkejut juga penulis apabila belum pun selesai menjamah nasi budu, dihidangkan pula semangkuk pulut hitam bersama seulas durian dan santan yang diisi dalam teko.
Memang enak rasanya. Kak Ya berkata, kedai beliau adalah satu-satunya di tiga wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Yala dan Pattani) yang menyediakan pulut hitam durian istimewa.
“Ini adalah resipi sendiri, khususnya ketika menyediakan santan,” kata Kak Ya ketika ditanya kenapa rasa santan agak berbeza daripada yang lain.
Ditanya mengenai harga semangkuk pulut hitam durian istimewa itu, Kak Ya berkata: “Sekitar 50 baht (RM6.60) hingga 120 baht (RM15.90).
“Berbaloi dengan hidangan seenak ini,” jawab penulis.
Kak Ya bersedia menerima tempahan. Hanya hubungi 081098270.
Kedai makan Kak Ya bukan satu-satunya yang terdapat di sekitar bandar berhampiran dengan sempadan Malaysia. Ada beberapa lagi kedai makan serta menu istimewa.

Tomyam Noodle @ Hat Yai
Di bandar yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia dan asing – Hat Yai – terdapat sebuah restoran yang menyediakan satu lagi menu istimewa yang jarang dijumpai.
Bihun, kuetiau, atau mi tomyam – dimasukkan sotong, udang, isi ikan, telur rebus serta bebola ikan serta sayuran. Kali pertama merasainya memang enak.
Lokasi kedai yang berada di pinggir bandar membuatkan suasana nyaman, jauh daripada kebisingan bandar yang sentiasa sibuk.
Kedudukannya adalah di daerah 8, melepasi Persimpangan Satjakul, memandu terus dan ke bawah Jambatan Phithak Kumphon, teruskan pemanduan sejauh 150 meter, kedai di sebelah kiri.

Dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali Rabu. Lawati laman Facebook Tomyam Noodle @ Hat Yai di https://web.facebook.com/profile.php?id=100063905178094

Ahlam Grilled & Fried Chicken
Antaranya ialah gerai menjual ayam bakar dalam tempayan. Ianya terletak berhampiran Pekan Channa (Chenak) di laluan utama menuju Narathiwat dari Hatyai.
Menurut seorang pekerjanya, gerai itu mampu menjual sehingga 1,000 ekor ayam bakar sehari. Jumlah itu meningkat sehingga hampir 2,000 sehari pada bulan puasa.






Leave a Reply