Pilihan raya bagi enam negeri akan dijalankan pada 12 Ogos ini. Walaupun kempen secara rasmi belum bermula, namun pelbagai perjumpaan rakyat dan perhimpunan ahli masyarakat telah diadakan oleh parti-parti politik bagi meraih sokongan pengundi. Kempen secara terbuka ataupun dalam atas talian merupakan platform utama bagi parti politik dan calon-calon membentangkan hala tuju dan kelebihan masing-masing untuk dinilai oleh pengundi.
Bagi ahli-ahli parti dan penyokong tegar, bahan dan isi kandungan kempen akan diterima tanpa banyak persoalan. Manakala bagi pengundi-pengundi atas pagar, setiap kenyataan yang dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin parti dan calon-calon akan dinilai bagi menentukan sokongan mereka. Bahan dan penyampaian kempen yang bernas boleh memujuk pengundi. Sebaliknya isu-isu negatif yang ditimbulkan semasa kempen boleh menyebabkan pengundi hilang kepercayaan terhadap parti atau calon yang berkaitan. Adalah amat wajar bagi pihak keselamatan menekankan supaya perkara-perkara berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan sistem beraja tidak disentuh di dalam kempen pilihan raya.
Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas ketegasan mereka mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan orang yang melanggar undang-undang hanya kerana ingin meraih sokongan pengundi.
Kempen yang keterlaluan dan tohmahan-tohmahan dalam kalangan ahli politik juga menyebabkan sebahagian pengundi yang merasa jijik terhadap kegiatan politik dan tidak mahu mengundi dalam pilihan raya. Ada pengundi yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu terpalit dengan sistem politik yang terlalu taksub dengan pengawalan kuasa tanpa mengira kepentingan rakyat. Parti-parti politik menjanjikan bulan dan bintang semasa kempen, namun rakyat masih lagi bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan pelbagai masalah sosial yang membelenggu pelbagai lapisan masyarakat.
Semenjak 2018 kerajaan telah berubah tiga kali tanpa pilihan raya. Perubahan ‘rakan kongsi’ di dalam gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan, menjadikan seolah-olah pilihan yang dilakukan oleh pengundi di dalam pilihan raya tidak mempunyai nilai di dalam pembentukan kerajaan. Hak rakyat sebagai pengundi bagaikan hilang setelah tamat hari mengundi. Wakil rakyat membuat keputusan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlandaskan kepada kepentingan parti politik masing-masing bagi memastikan kedudukan dan penguasaan politik di dalam pentadbiran negara. Pengundi tidak mempunyai ruang untuk menentukan wakil-wakil rakyat membawa isu-isu kepentingan rakyat. Kekecewaan ini menyebabkan ramai pengundi merasakan undi mereka adalah sia-sia dan tidak mengundi mungkin menjadi suatu opsyen bagi rakyat.
Mengundi bukanlah sesuatu yang wajib bagi rakyat Malaysia walaupun hak mengundi merupakan perkara asas yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Negara seperti Singapura dan Australia mewajibkan rakyat mereka keluar mengundi dan denda akan dikenakan terhadap pengundi yang tidak gagal untuk keluar mengundi tanpa alasan yang dibenarkan.
Mengundi adalah tanggungjawab dan bukannya sekadar hak yang boleh diabaikan mengikut perasaan secara individual. Walaupun tidak semua hasrat rakyat dapat dicapai melalui pilihan raya, namun sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia menjadikan pilihan raya suatu agenda negara yang harus didukung oleh semua rakyat.
Memilih untuk tidak mengundi sebenarnya memilih untuk memberi laluan mudah kepada calon-calon yang kita tidak inginkan. Di dalam sistem ‘Fisrt-Past-the-Post’ yang diamalkan di negara ini, setiap undi diambil kira untuk menentukan pemilhan wakil rakyat. Sekiranya calon yang dipilih gagal untuk menjadi wakil rakyat, sekurang-kurangnya kita menyatakan isi hati melalui satu undi yang diberikan. Kemenangan kepada calon yang dipilih menjadikan suara satu undi itu lebih bermakna.
Pilihan raya yang berintregriti akan diperoleh melalui amalan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan peserta pilihan raya yang terdiri daripada ahli-ahli politik, pihak pengurusan pilihan raya, badan-badan penguatkuasaan, pemerhati dan pemantau pilihan raya, media dan lain-lain pihak berkepentingan.
Pilihan raya di negara ini bukanlah satu sistem yang sempurna.
Namun sistem ini jugalah yang membawa kita melalui 15 pilihan raya umum dengan aman dan membentuk kerajaan yang membawa kepada pembangunan yang mampan semenjak merdeka. Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dalam laporannya yang diserahkan kepada kerajaan pada tahun 2020 telah mencadangkan 49 pembaharuan bagi menambaik sistem dan undang-undang pilihan raya di Malaysia.Â

Amerul Muner Mohammad
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM
Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia





Leave a Reply