Oleh Ismail Hashim Yahaya
Tuntuhan hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat lain tetapi ia adalah suatu transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup.
Dalam hubungan ini hijrah Rasulullah SAW menandakan titik transformasi dalam kemajuan umat Islam di mana perubahan ke arah transformasi kemanusiaan dan budaya hidup bukan suatu yang mudah kerana berhadapan dengan manusia yang telah lama bertabiat dan bergelumbang dengan sistem yang telah rosak.
Dalam menuju penghijrahan ke arah Malaysia Madani yang posternya terpampang besar di Selangor misalnya memerlukan perubahan dalam tabiat dan budaya seseorang manusia itu.
Ketika konsep Madani telah diuar-uarkan selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini bermakna transformasi kemanusiaan dan budaya telah menjadi agenda utama negara.
Apalah erti penghijrahan ke arah Malaysia Madani sekiranya ia sekadar slogan seorang Perdana Menteri kerana telah banyak slogan dan konsep seperti Malaysia Hadhari, Wasatiyah atau Bersih Cekap dan Amanah tetapi diinternalisasikan ke dalam sanubari rakyat atau membawa kepada suatu transformasi kemanusiaan dan budaya.
Ia sekadar bersalin pakaian dari seorang pemimpin ke seorang pemimpin. Tiada perubahan dalam mind-set, tabiat, nilai hidup, akhlak dan budaya hidup.
Apakah Malaysia Madani akan melalui proses mati apabila diganti dengan pemimpin baharu dan di mana tiada budaya dan transformasi kemanusiaan yang bertakung ditakuk lama seperti amalan rasuah yang bermaharalela sejak kita merdeka.
Dalam gegak gempita di mana hawa nafsu masih bergentayangan dan bercenderungan untuk memaksa hasrat-hasrat dan kehendak-kehendak dalam upaya memuaskan kepuasan yang tidak pernah terpenuhi itu dalam keberhinggaan penuh kegilaan, suatu agenda besar merubah bangsa amat diperlukan.
Dalam Malaysia Madani transformasi kemanusiaan dan kebudayaan harus dimaknai dengan perubahan dalaman yang dapat mengangkat martabat kemuliaan dan daya maju bangsa, terutama nilai agama, akhlak, ilmu dan nilai ekonomi.
Dalam hubungan ini teringat kepada kata-kata Almarhum Prof Dr Siddik Fadhil bahawa antara nilai agama dan nilai akhlak yang perlu ditegakkan ialah nilai malu yang merupakan nilai teras ajaran Islam sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi s.`a.w., “Setiap agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam ialah malu”. Sifat malu adalah kekuatan moral yang dapat mengawal seseorang dari melakukan perbuatan keji.
Menurut beliau sifat malu juga adalah ciri orang bermaruah. Justeru, orang bermaruah malu berperilaku tidak bermoral, malu melakukan korupsi, malu menganggotai organisasi korup, malu diperintah kerajaan korup, malu dipimpin ketua korup, malu ditipu dan diperbodoh, malu menjadi bangsa yang ketinggalan, malu negaranya disebut kleptocracy at its worst.
Selain terkait dengan maruah, nilai malu juga terkait dengan nilai ekonomi yang jujur dan amanah dalam amalan perniagaan dan pengurusan.
Beliau menjelaskan malu adalah nilai teras budaya Melayu, dan kerana itu Melayu sebagai satu bangsa sejatinya adalah bangsa yang pemalu. Dalam perbendaharaan bahasa Melayu tradisional terdapat ungkapan “sehina semalu” yang bererti sama-sama hina dan sama-sama malu.
Oleh itu apabila kita menjadi suatu bangsa yang kehilangan sifat tahu malu ini bererti telah terjadi suatu malapetaka moral dan budaya.
Dalam hubungan dengan nilai malu seorang penyair ternama Indonesia bernama Taufiq Ismail mengungkapkan tragedi moral dan budaya yang menimpa negaranya melalui yang dinyatakan melalui puisinya MALU AKU JADI ORANG INDONESIA. Antara bait-bait puisi tersebut:
Di negeriku budi pekerti mulia di dalam kitab masih ada,
tapi dalam kehidupan sehari-hari bagai jarum hilang
menyelam ditumpukan jerami selepas menuai padi.
Langit akhlak rubuh, di atas negeriku berserak-serak,
Hukum tak tegak, doyong berderak-derak.
Berjalan aku di Roxas Boulevard, Geylang Road, Lebuh Tun Razak.
Berjalan aku di Sixth Avenue, Maydan Tahrir dan Ginza.
Berjalan aku di Dam, Champs Elysees dan Mesopotamia.
Di sela khalayak aku berlindung di belakang hitam kacamata
Dan kubenamkan topi baret di kepala
Malu aku jadi orang Indonesia.
(1998)
Penyair Taufiq Ismail meluahkan rasa malunya dengan malapetaka keruntuhan “langit akhlak” di negaranya. Kedaulatan undang-undang diinjak-injak oleh hakim-hakim korup yang bersahabat dengan penjenayah, para elit penguasa yang leluasa melakukan rasuah, memperkaya diri dan kroni tanpa sedikit pun berasa malu.
Nilai-nilai moral: malu, amanah, kejujuran, keadilan hanya ada dalam kitab-kitab akhlak dan tasawuf, namun tetapi sudah tidak dijadikan bahan bacaan dan rujukan kepada masyarakat Islam hari ini yang sekadar indah dalam ceramah.
Apakah kita malu menjadi rakyat Malaysia apabila kes rasuah terbesar berlaku?
Amalan rasuah yang menebal dalam kalangan masyarakat seolah-olah menjadi budaya dan amalan biasa. Ia telah membarah bagaikan kata-kata dalam peribahasa China jika ikan sudah busuk di kepala lama kelamaan ia akan membusuk sehingga seluruh badannya umpama penyakit barah.
Bahkan lebih parah lagi apabila rasuh berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan. Ia dikaitkan dengan kebanjiran warga asing yang dilihat sebagai peluang besar terhadap segelintir penguat kuasa tidak berintegriti untuk membuat duit menerusi perbuatan rasuah.
Rasuah dalam politik ibarat aur dengan tebing. Sudah meniadi kelaziman dan kebiasaan apabila amalan rasuah seperti meniti di bibir di mana politik dianggap jalan jalan pintas menjadi kaya.
Kalangan elit politik dan elit ekonomi masa kini sedang berhadapan dengan krisis rohaniah, kedangkalan iman yang hanya manis di bibir semasa memberikan ceramah dan pidato pada majlis-majlis politik tetapi tidak menyerap ke pedalaman jiwa.
Oleh itu dalam politik rimba belantara ini di mana agama hanya topeng dan sekadar ritual, gaya hidup dan tabiat politik hanyut oleh badai hasrat yang tidak pernah berhenti demi melanggengkan kuasa sehingga tiada ruang untuk keimanan membenih.
Dalam hal ini, J. F. Lyotard dalam karyanya Libidinal Economy mengatakan dalam wacana kapitalisme akan tercipta…kemajmukan pelepasan kehendak dan hawa nafsu. Dalam ruang politik dan ekonomi boleh dikatakan setiap ahli politik yang bekerjasama dengan elit ekonomi akan mengambil keuntungan dari kekuatan nafsu dan hasrat
Apa yang muncul ialah wajah-wajah kemunafikan di mana-mana ada kepura-puraan talam dua muka di sebalik memberi sumbangan dan bantuan tetapi diam-diam mencuri; seolah-olah bertawaduk alim-alim kucing padahal musang berbulu ayam; perjuangan kepentingan diri yang memperodohkan pengikut.
Dalam kerosakan yang sedang berlangsung ini, Malaysia Madani harus dijayakan sebagai suatu proses penghijrahan dengan membangun semula nilai dan akhlak bangsa. Antara yang utama ialah penegakan moral politik dan ekonomi. Pada masa lalu pencemaran budaya politik memang cukup memprihatinkan.
Apa yang ada adalah politik maki hamun, politik serakah, politik gelojoh dalam survival hutan politik Darwisme di mana agenda utamaya adalah “survival for the fittest”. Mereka yang beradab, sopan santun dan berakhlak dianggap sebagai bendul dan akan diketepikan, dilanggar dan ditindas.
Penghijrahan ke arah Malaysia Madani tidak terbatas hanya dalam kalangan umat Muslim, tetapi meliputi seluruh rakyat negara ini — Islam dan bukan Islam. Untuk merealisasikannya umat Islam harus berperanan aktif memberikan contoh teladan mewujudkan kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Malaysia Madani harus diisi dengan perjuangan menangani segala faktor penyebab rasuah, kemerosotan moral, keserakahan kuasa, membasmi kemikinan tegar dan relatif, meningkat hidup, mengawal ekonomi dan kuasa kepenggunaan di tangan rakyat.
Dalam hubungan suatu pemahaman terhadap isu pembangunan dan kemiskinan harus dikaitkan dengan kerangka politik dan sosial yang lebih luas, jika tidak ia sukar diatasi. Ini kerana gejala kemiskinan sangat terkait dengan pelbagai faktor seperti pendidikan, nilai-nilai budaya, dasar ekonomi dan politik.
Dengan tema Perpaduan Teras Malaysia Madani dalam sambutan Maal Hijrah 1445, ia membuka langit baharu bagi Malaysia untuk berfungsi sepenuhnya sebagai pembebasan dari segala bentuk penjajahan bukan sahaja penjajahan luar tetapi penjajahan ekonomi dan politik oleh bangsa sendiri.
Seluruh rakyat Malaysia harus Bersatu berjuang, perpaduan dalam menentang gejala rasuah, keserakahan politik dan ekonomi, kebejatan moral dan nilai di mana rakyat harus terlibat aktif membebaskan mereka daripada kongkongan politik agama dan kaum yang sempit, memunggah kekayaan negara dan membina empayar ekonomi kepuakan mereka.
Hijrah ke arah Malaysia Madani akan bermakna apabila gejala rasuah, kemerosotan moral dan kebrobokan nilai, keserakahan kuasa, keadilan dan ekonomi sosial terlaksana.
Di sebalik kata Malaysia Madani tersirat makna langit masa depan yang cerah di mana segala harapan hanya akan dapat dinyatakan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya.
Malaysia Madani harus benar-benar menjadi suatu turning point, anjakan paradigma fundamental dari era sebelumnya, era yang sarat rasuah, politik korup, gila kuasa, menjarah ekonomi negara, menzalimi rakyat dan keruntuhan nilai-nilai adab dalam agama, politik, ekonomi, sosial, akhlak dan moral.
Mungkin dilihat ideal namun penghijrahan ke arah Malaysia Madani adalah membina tamadun Malaysia yang baharu.
Ends.
Penulis adalah pemerhati isu-isu semasa negara




Leave a Reply