
Oleh V. Ashok
KEPERKASAAN ditunjuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bola sepak di era moden ini sekadar mengingatkan kita kepada dominasi Selangor pada tahun 70 dan 80an.
Singapura dan Kuala Lumpur juga tidak jauh daripada persamaan ini selaku sang juara yang konsisten, namun dua pasukan di atas jelas lebih gah dari segi koleksi trofi masing-masing serta nilai komersial tinggi milik mereka.
JDT dengan pengurusan bola sepak profesional yang amat dicemburui ketika ini turut memiliki jumlah penyokong terbesar yang mewarnai pentas saingan – baik di laman sendiri mahu pun di gelanggang lawan.
Selangor turut merasai detik sama pada era gemilang mereka selaku barisan paling digeruni.
Jadi, siapa lebih hebat secara keseluruhan? Perbandingan ini adalah sesuatu yang sukar kerana JDT dan Selangor masing-masing memperagakan kelibat sensasi mereka pada dua era berbeza. Tidak adil rasanya untuk membuat satu kesimpulan mencari juara mutlak.
Ini seperti menyoal siapa lebih hebat – Pele atau Lionel Messi, umpamanya. Kita juga tidak dapat memilih siapa lebih berbisa selaku penyerang tersohor – Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau Fandi Ahmad daripada perspektif saingan dalam kejohanan tempatan.
Ringkasnya, detik kemasyhuran yang pernah dikecapi oleh Selangor kini disambung oleh JDT. Hanya masa bakal menentukan nama siapa akan terpahat dalam sejarah bola sepak tanah air. Ketika ini tiada garis pemisah antara kedua-dua gergasi ini.
Cuma, barisan pemain bintang dimilki Selangor satu ketika dulu amat mempesonakan tontonan – bukan sahaja di kalangan penyokong sendiri malah mereka turut menjadi idola kepada peminat dari seluruh negara.

Mokhtar Dahari (berdiri dua dari kiri) bersama rakan sepasukan Selangor amat digeruni pihak lawan di liga tempatan kerana memiliki barisan yang berstatus bintang pada era 70 dan 80an.
Setiap gelanggang akan dibanjiri penonton jika Selangor turun padang. Bagi penyokong lawan pula, mereka akan hadir di laman sendiri semata-mata mahu melihat kelibat bintang pujaan depan mata.
Begitu kuat aura pasukan bola sepak Selangor ke mana saja mereka pergi ketika itu. Sudah pasti pihak yang akan ketawa besar setiap kali skuad dari Lembah Klang itu beraksi adalah pengurusan perbadanan stadium yang dapat mengaut untung besar hasil jualan tiket pada hari perlawanan.
Kelibat penjaga gol, R Arumugam, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh adalah antara faktor utama tarikan tontonan. Mereka memiliki perwatakan dan personaliti besar – baik di dalam mahu pun di luar padang.
Pihak penaja akan memburu mereka bagi tujuan jenama dan kantung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sentiasa kembung pada era emas itu.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah mengesahkan Mokhtar selaku penjaring terbanyak di dunia dalam rekod jaringan di peringkat antarabangsa di belakang Ali Daei dari Iran dan Cristiano Ronaldo (Portugal).
Begitu tersohor nama Selangor, gara-gara kelibat seorang penyerang prolifik sepanjang zaman pada ketika itu.
Kini, JDT turut bersifat sama – barisan amat dicemburui oleh pihak lawan ketika mereka sukar untuk mencari ilham terbaik mengekang sang juara era moden ini, sebaliknya akur untuk menjadi pasukan kedua terbaik saja.

Gelagat pemain JDT ketika gah menjulang trofi Piala Malaysia, musim lalu. Tidak ada pencabar terdekat, termasuk Selangor yang mampu menyekat kemaraan Harimau Selatan ketika ini.
Cuma yang bezanya, mereka melakar kejayaan meraih trofi dengan bantuan tenaga import, sebaliknya Selangor menggunakan khidmat pemain tempatan dari seluruh negara.
Ini menjadikan mereka sebagai pembekal pemain terbaik kepada pasukan negara pada masa itu. Kini, JDT juga sama, kerana ramai pemain kebangsaan hadir daripada skuad ini.
Secara kolektif, The Southern Tigers yang gemar memakai jersi serba gelap dengan logo harimau itu bermain secara satu unit yang padu. Ramai pemain mereka sudah mencipta nama sehingga sukar disebut siapa yang terbaik.
Daripada penjaga gol sehingga ke benteng pertahanan serta kawalan padu bahagian tengah dan sengat jentera penggempur, JDT hampir sempurna dalam permainan konsisten mereka pada setiap perlawanan setakat ini.
Esok (22 Julai, 2023), barisan kaya ini akan beraksi dalam final Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Jika dulu, perlawanan akhir lazimnya sukar diramal, kebelakangan ini ia sudah menjadi mudah untuk dibuat andaian. Tidak dinafikan JDT adalah pilihan untuk mempertahankan mahkota kejuaraan itu sekali lagi.
Tidak keterlaluan disebut, apa disajikan oleh mereka ketika ini adalah satu pencapaian amat menakjubkan sehingga meninggalkan pencabar lain jauh di belakang – seolah-olah mereka hadir dari planet berbeza.
Agak menakutkan melihat statistik kelab ini yang memenangi kejuaraan Liga Super sembilan kali berturut-turut sejak 2014 sehingga 2022.
Musim ini, gelaran itu dijangka akan kekal milik mereka berpandu kepada kedudukan amat selesa dipersada liga tanpa sebarang kekalahan dengan 17 kemenangan daripada jumlah perlawanan sama.
Tambahan, jentera penggempur barisan didik Estaban Solari hampir sempurna – meledakkan 67 gol dan hanya dibocori tiga kali sahaja setakat ini.
Selangor, pencabar terdekat mereka hanya mampu mengutip 37 mata dan perlu menang semua baki perlawanan dan mengharapkan JDT bakal mencicirkan mata.
Agak mustahil ia akan berlaku kecuali prestasi pendahulu liga itu merosot secara mendadak selepas ini.
Situasi ini amat berbeza untuk skuad Merah Kuning kerana pada zaman kegemilangan mereka, Singapura kerap menjadi pengacau yang boleh menghalang impian melihat trofi kekal di Lembah Klang.
Namun, secara keseluruhan, pungutan mata maksimum dan ledakan jaringan menjadi satu rutin kepada Selangor dalam setiap perlawanan sekitar tahun 70/80an.
Pada musim ini, anak didik Tan Cheng Hoe macam terpaksa berhempas pulas mencari mata dengan barisan terbaik yang dicanang. Usaha mengejar dan merapatkan jurang dengan JDT nampak makin tipis – sesuatu yang sama pernah dirasai skuad dari Johor itu pada era berkenaan.
Apa yang mahu diutarakan di sini adalah kejayaan dinikmati oleh JDT kini dan kekurangan ramuan pada Selangor mengatasi lawan di tangga teratas liga ada kaitan dengan pengurusan pasukan yang lebih profesional dan sistematik.
JDT jelas berada di hadapan kerana mendapat sokongan padu seorang supremo bagi menyemarakkan api perjuangan pasukan pada setiap musim. Beliau adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemimpin berkarisma itu tidak hanya membina pasukan mengejar kejayaan secara konsisten dalam liga domestik, malah memiliki visi besar untuk menakluki pentas bola sepak Asia satu hari nanti.
Keringat dan kesungguhan beliau mencari formula terbaik sejak sedekad lalu, kini membuahkan hasil lumayan. Percayalah, ia tidak menyusul dengan mudah melainkan perancangan pembangunan bola sepak yang jitu dan padu serta sifat gigih tanpa mudah mengalah kepada segala halangan dan cabaran.
Secara realitinya, pencabar lain dalam Liga Malaysia harus ada supremo seperti TMJ yang membimbing JDT menjadi pasukan kelab nombor satu di Malaysia dan kini nampak sudah bersedia menyaingi kelab handalan dari Liga Jepun, Korea Selatan, China dan lawan dari liga negara Arab.
Selangor, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Sarawak, umpamanya pernah memiliki watak penting seperti ini pada era masing-masing dan hasilnya mereka berjaya memenangi gelaran terbesar.
Antara pentadbir bola sepak popular yang pernah memegang watak supremo dengan baik adalah pengurus Kedah, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang mengubah dimensi bola sepak pasukan dari utara itu sehingga menjadi sang penakluk bermula tahun 90-an.
Slogan ‘Menjelang 1990’ ciptaan beliau menjadi printis ke arah kegemilangan itu. Objektif slogan itu adalah untuk melihat Kedah melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun itu.
Tetapi, pemain negeri pimpinan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail, Radhi Mat Din, Lee Kin Hong, K Ravichandran, Norazam Ishak, Husin Jaafar dan Mohammad Ramli, umpamanya membuat kejutan layak ke pentas final lebih awal pada 1987, 1988 dan 1989 sebelum menjulang trofi prestij itu pada 1990.
Supremo lain yang turut mewarnai kancah bola sepak tanah air adalah Allahyarham Tan Sri Elyas Omar (Kuala Lumpur), Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud (Terengganu), Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor (Johor) dan Awang Mahyan (Sarawak), umpamanya.
Namun, pasukan disebut ini nampaknya lebih terjebak dalam isu atau pun krisis sejak beberapa tahun lalu. Ini termasuk soal melunaskan gaji pemain atau pun pengurusan yang kurang cekap mencari pemain terbaik – termasuk pemain import.
Begitu juga jumlah penyokong yang makin susut.
Kini, jelas pemimpin berkarisme seperti ini sudah pupus dan mungkin akan mengambil masa panjang mencari penggantinya. Mereka ini cukup komited dalam soal pembangunan bola sepak dan ketika sama mengutamakan kebajikan setiap pemain – intipati yang membutirkan kejayaan pasukan mereka.
Tidak salah jika pasukan seperti ini kembali menyusun semula program dan visi dengan mengambil iktibar daripada kejayaan JDT pimpinan TMJ demi memulihkan imej dan maruah bola sepak masing-masing.
Segalanya bermula daripada pucuk kepimpinan pasukan negeri yang menjiwai bola sepak.
Majulah sukan untuk negara!




Leave a Reply