Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli
Setiap tahun umat Islam meraikan dua perayaan besar iaitu sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang disyariatkan bagi menggantikan perayaan yang diraikan oleh masyarakat Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam, iaitu raya Nairuz dan Mahrajan yang diwarisi dari tradisi Parsi. Baginda SAW memahami naluri manusia yang sukakan perayaan, sambutan dan keseronokan. Tetapi Baginda mengaitkan sambutan perayaan itu dengan rasa kesyukuran dan pelbagai rantaian ibadat sama ada berpuasa wajib selama sebulan di bulan Ramadhan dan 9 hari puasa Sunat di bulan Zulhijjah di samping amalan sedekah, zikir, dan tilawah al-Qur’an. Ia bukanlah sebuah keseronokan yang kosong dan hampa semata-mata.
Biasanya kehadiran Aidilfitri disambut lebih meriah dengan pelbagai persiapan berbanding dengan persiapan dalam menyambut kedatangan Aidiladha. Tradisi sambutan Aidiladha kurang meriah diraikan oleh sebahagian besar umat Islam di Malaysia kerana ia dikaitkan dengan perayaan bagi mereka yang mengerjakan haji Mekah dan mereka yang pernah mengerjakan haji. Bagi umat Islam yang lain, mereka lebih menfokuskan terhadap ibadah korban pada hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik.
Hakikatnya, bulan Zulhijjah adalah penutup bagi tahun hijrah. Ia dijanjikan dengan balasan pahala yang berganda dan merupakan bulan yang dicintai Allah SWT. Ini kerana di dalamnya terdapat pelbagai amal ibadat sama ada bagi mereka yang mengerjakan ibadah haji ataupun tidak. Sabda Nabi Muhammad SAW: Tiada hari yang lebih besar di sisi Allah dan lebih dicintai oleh Allah daripada amal pada hari-hari tersebut dari sepuluh hari Zulhijjah. Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir dan tahmid. (HR Ahmad)
Bagi mereka yang mengerjakan haji, bulan Zulhijjah dipenuhi dengan amal ibadat seperti berihram, tawaf, saie, wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah, menyembelih korban, bermalam di Mina, berdoa, bertalbiah, berzikir, bercukur atau gunting rambut. Manakala bagi orang yang tidak mengerjakan haji, terdapat juga pakej ibadat yang boleh dilakukan bagi meraikan kehadiran bulan Zulhijjah, iaitu puasa sunat 1-9 Zulhijjah, membaca al-Qur’an, bertakbir dan bertasbih, bersedekah, solat sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban bagi mereka yang mampu. Dalam bulan ini, Allah menjanjikan ganjaran pahala yang lumayan.
Salah satu keistimewaan bulan Zulhijjah juga adalah galakan berpuasa sunat pada hari Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadah haji. Allah SWT telah menjanjikan penghapusan dosa selama dua tahun, iaitu setahun sebelum dan setahun selepas. Sabda Nabi SAW: Puasa Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lepas (HR Muslim).
Bagi meraikan sambutan Aidiladha, terdapat pelbagai amalan sunat yang disyariatkan, umpamanya memakai pakaian yang bersih dan terbaik, mandi sunat hari raya, memakai wangian, mendengar khutbah dan mendirikan solat sunat Aidiladha. Salah satu Sunnah Nabi yang lain adalah Baginda tidak menjamah makanan sebelum selesai pulang solat sunat Aidiladha. Hadis Baginda SAW: Nabi SAW tidaklah keluar pada pagi hari raya Aidilfitri melainkan Baginda telah makan, dan pada hari Raya Aidiladha, Baginda tidak makan melainkan selepas solat. (HR Ibn Majah).
Selain dari amal ibadat yang disyariatkan, Aidiladha juga digalakkan untuk umat Islam saling bermaafan, ziarah menziarahi dan saling mengucap tahniah. Kemuncak kepada sambutan bulan Zulhijjah adalah menyembelih haiwan korban yang menjadi tuntutan dalam kategori Sunat Muakkad bagi orang Islam yang berkemampuan. Ia bermula dari hari raya Aidiladha dan diikuti hari tasyrik 11-13 Zulhijjah. Daging korban kemudiannya diagihkan kepada pelbagai lapisan masyarakat Islam sama ada kepada golongan yang kaya atau fakir miskin.
Menurut Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari, menzahirkan kegembiraan pada hari raya merupakan sebahagian dari syiar agama. Dalam tradisi masyarakat Melayu, Aidiladha diraikan penuh warna warni walaupun tidak semeriah sambutan Aidilfitri. Tradisi mudik kembali mewarnai perjalanan pulang ke kampung dan pesta kesesakan jalan raya kembali berlaku. Kebiasaannya, dalam masyarakat Melayu, Aidiladha disambut dengan pelbagai persediaan sama ada kuih raya, lemang, ketupat, rendang dan pelbagai juadah makanan. Mereka menghidupkan Aidiladha dengan tradisi ziarah menziarahi sanak saudara dan rakan taulan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim dan dilanjutkan dengan tradisi menikmati daging segar yang diraikan selama empat hari raya dan hari tasyrik dengan meriah secara gotong royong.
Sehubungan dengan itu, kehadiran bulan Zulhijjah sebagai bulan penutup bagi tahun Hijriyah wajar diraikan dengan meriah khususnya dalam merebut pahala berlipat ganda yang ditawarkan di dalam ibadat puasa, zikir, bersedekah dan menghidupkan malam di samping menghayati falsafah korban yang menjadi teras dalam sambutan Aidiladha.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di mohdanuar@um.edu.my






Leave a Reply