Oleh: Dr Syed Bahari Ramadzan Syed Adnan

Bidang industri dan akademik merupakan dua bidang yang berbeza. Akademik merupakan bidang
yang berasaskan pengajaran dan pembelajaran yang kebiasaannya merujuk kepada pusat pengajian
tinggi khususnya universiti. Manakala bidang industri merupakan bidang yang berasaskan
perusahaan perniagaan yang menjurus kepada pelbagai bidang. Walau bagaimanapun, kedua dua
bidang ini mempunyai potensi kerjasama yang luas untuk memacu perkembangan inovasi melalui
kolaborasi penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pengalaman untuk mengejar perkembangan
teknologi yang semakin canggih.
Kerajaan telah lama melihat kepentingan perkara ini dengan wujudnya pelbagai program untuk
menghubungkan pihak industri dan akademik. Salah satu program yang di anjurkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak tahun 2015 adalah CEO@Faculty program yang mana
menyasarkan golongan pensyarah muda universiti yang berkelulusan PhD untuk disangkutkan di
industri selama 6 bulan. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform
pendedahan pengoperasian sesebuah industri kepada pensyarah universiti. Selain memperoleh
pengalaman dan pengetahuan secara bimbingan peribadi daripada CEO, peserta juga berperanan
secara inklusif dan komprehensif di dalam memacu jalinan kolaborasi industri dan universiti yang
berimpak tinggi.
Penulis berpeluang untuk mengikuti program ini apabila telah disangkutkan di syarikat Cement
Industries of Malaysia Berhad (CIMA) bermula Disember 2022 sehingga Jun 2023. Pengalaman ini
telah membuka minda dan pandangan penulis dari sudut industri setelah hampir 10 tahun menjadi
seorang pensyarah di Universiti. Bimbingan dan tunjuk ajar industri, khususnya daripada Pengarah
Urusan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan CIMA, En Sharuddin Omar Hashim dan
Ketua Unit Strategi dan Transformasi CIMA, Puan Hannah Lyana Lee Abdullah amat membantu
penulis dalam mendalami pengoperasian syarikat swasta dan secara tidak langsung dapat
meningkatkan kemahiran insaniah penulis untuk menjadi seorang pemimpin/CEO di Universiti kelak.
Kemahiran insaniah seperti kepimpinan, penyelesaian masalah, membuat keputusan, bertoleransi,
membina rangkaian, perundingan dan kerjasama berpasukan dapat dirasai daripada pengalaman ini
dan amat berkesan berbanding dengan pembelajaran secara teori sahaja.
Sesebuah industri akan sentiasa mencari pembaharuan dan penyelesaian terhadap masalah yang
dihadapi demi kelestarian perusahaan terutama industri yang mempunyai unit “Penyelidikan dan
Pembangunan” (R&D). Namun industri kebiasaannya akan mempunyai masalah untuk akses jurnal –
jurnal yang berimpak tinggi untuk dijadikan rujukan dan penilaian sebelum sesuatu pembaharuan
ingin dilaksanakan. Pada peringkat inilah, pihak akademik dapat memberikan sumbangan
memandangkan kemahiran menulis dan mencari rujukan ilmiah sudah sebati dalam diri seseorang
pensyarah yang berkelulusan PhD. Kebiasaannya sesebuah universiti akan melanggan jurnal – jurnal
yang berimpak tinggi ini kerana ianya merupakan keperluan kepada penyelidik universiti dan
kolaborasi dengan akademik akan menjimatkan kos pihak industri kerana tidak perlu lagi melanggan
jurnal-jurnal tersebut. Bagi pihak industri pula, kepakaran dan pengalaman daripada penyelidik
universiti dapat digunakan untuk membangunkan sesuatu inovasi. Pihak industri juga dapat
menjimatkan perbelanjaaan yang besar dengan tidak perlu lagi membeli peralatan penyelidikan
apabila berkolaborasi dengan pihak universiti. Hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan bersama
dimana ianya dapat menyumbang kepada KPI pihak universiti dengan penerbitan yang berimpak
tinggi dan pihak industri pula dapat membangunkan produk yang berinovasi tinggi. Sepanjang di
CIMA, penulis berjaya menjadi penghubung kolaborasi penyelidikan diantara CIMA dan Pusat
Teknologi Pembuatan Inovatif, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya. Kepakaran penyelidik UM
khususnya dalam penyelidikan bahan asas pembuatan simen yang dapat mengurangkan kesan
rumah hijau seperti pengurangan pelepasan gas karbon dioksida ke udara adalah amat bertepatan
dengan dedikasi syarikat kepada inisiatif persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diamalkan di
seluruh dunia.
Program akademik di setiap universiti biasanya akan digubal oleh setiap fakulti yang mana akan
dipantau oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Namun, sejauh mana teori dan ilmu yang
diperolehi di Universiti dalam membantu mahasiswa apabila menyertai sesebuah industri.
Berdasarkan temu bual penulis bersama seorang graduan Universiti Malaya yang baru sahaja
menyertai syarikat ini, yang berkelulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal dan kimia,
ilmu yang diperolehi diperingkat universiti amat membantu dalam memahami skop kerja sebagai
seorang jurutera di syarikat ini. Walaubagaimana pun, maklumat pengoperasian syarikat perlu
dipelajari secara lebih mendalam untuk beliau lebih memahami keperluan dan peranan seorang
jurutera disyarikat ini. Ini membuktikan program akademik yang digubal oleh universiti dapat
membantu mempersiapkan diri seseorang mahasisawa apabila melangkah ke alam pekerjaan. Selain
itu, kemahiran insaniah seperti sikap yang baik, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa inggeris,
kebolehan menyelesaikan masalah, juga amat penting dalam memberikan nilai tambah kepada
seseorang mahassiswa untuk berjaya mendapatkan tempat di sesebuah syarikat.
Kesimpulannya program ini patut diteruskan dengan menyasarkan lebih ramai penyelidik di
universiti untuk disangkutkan di industri. Program ini dapat memantapkan kemahiran memimpin
pada peringkat yang tinggi. Selain itu, program ini dapat mengenal pasti dan mengungkai jurang
diantara akademik dan industri samada dalam aspek kolaborasi penyelidikan, keberkesanan program
akademik dan juga penempatan graduan baru di industri.
……
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya, dan boleh
dihubungi di syed_bahari@um.edu.my






Leave a Reply