Oleh Abdul Jalil Abdullah
Dengan ketinggian 3,143 meter dari aras laut, naik dan turun puncak Fansipan boleh mencabar minda, sekali gus memberi satu pengalaman hebat yang boleh saya cadangkan kepada sesiapa sahaja yang melawat Sapa di Vietnam.
Dianjurkan oleh Ohana, kami memulakan misi untuk menawan puncak yang menjadi ‘atap Indochina’ atau ‘Roof of Indochina’ kelmarin dan semalam (4 dan 5 Jun 2023).
Kos bagi keseluruhan misi itu adalah kira-kira RM1,550 seorang yang melibatkan RM850 bagi penerbangan menggunakan Batik Air, dan RM700 untuk penginapan, makan minum serta pengangkutan darat.

Ketua malim orang Malaysia. Syafikah muda lagi dan masih single. Kami seramai 18 peserta dibantu oleh beberapa orang malim gunung terdiri dari penduduk asli Vietnam daripada ethnic Mou.
Jarak pendakian yang perlu ditempuh adalah sejauh 12 kilometer, dengan pendakian bermula di starting point Sapa pada jam 9.30 pagi. Tempat yang dituju adalah base camp 1.
Saya boleh katakan bahawa tahap kepayahan pendakian ialah 3 dengan tempoh pendakian kira-kira tiga jam melalui denai yang landai.
Semua peserta tiba di base camp 1 pada jam 12.15 tengah hari.
Kami bersolat jamak takdim Zohor dan Asar sebelum menikmati makan tengah hari iaitu nasi pulut, telur rebus berulamkan timun
Selepas segalanya selesai dalam masa kira-kira 30 minit, kami menyambung semula pendakian mencabar dengan melalui cerun yang semakin curam pada jam 12.45 tengah hari menuju ke base camp 2.
Daripada mendaki ia menjadi lebih seperti memanjat batu apabila perlu melalui banyak anak tangga. Saya tidak menjangkakan ini sama sekali, tetapi ia menyeronokkan, namun memeritkan buat mereka yang sakit lutut seperti saya.
(Saya beri tahap kepayahan pendakian kali ini iaitu 10)

Di sesetengah tempat, kami perlu mendaki pada cerun 80 darjah.
Alhamdulillah, setelah menempuh cabaran pendakian lebih enam jam kami tiba di base camp 2 dengan ketinggian 2,800 meter dari aras laut pada jam 7 malam.
Berehat, makan malam dan solat jamak takdim Maghrib Isyak. Agenda seterusnya, tidor kerana pada jam 3 pagi perlu bangun bersiap untuk menawan puncak Fansipan.
Selepas sarapan pagi dan solat subuh (subuh masuk awal, jam 3.45 pagi), pendakian diteruskan. Dan keadaan masih gelap kerana matahari belum muncul.
Pendakian lebih mencabar. Suhu bawah paras 10°C, melalui denai berbatu dan licin. Perlu lebih berhati-hati. Pada jam 7.30 pagi kami sampai di stesen cable car.
Dari situ pendaki mempunyai dua pilihan untuk ke puncak Fansipan. Ikut tangga atau menaiki kereta api bukit. Seperti di Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Jika ikut tangga ambil masa lebih kurang 45 minit, tetapi dengan menaiki kereta api hanya mengambil masa dua minit. Tambang dikenakan ialah 270,000 dong naik dan turun.

Memandangkan saya dah penat, maka kereta api menjadi pilihan. Cuaca berkabus maka tiada banyak view dapat dilihat.
Di puncak, selepas merakam gambar kenangan saya pun bergerak turun ke stesen cable car. Kami menggunakan cable car untuk turun ke starting point di bandar Sapa. Tambang dikenakan ialah 800,000 dong.
Perlu dinyatakan juga bahawa pendaki yang paling muda dalam rombongan kami adalah Abdul Wafi (anak saya) berusia 29 tahun, dan yang paling tua, Tok Mek – wanita berusia 68 tahun.
Begitulah serba sedikit pengalaman ekspedisi menawan Gunung Fansipan di Vietnam.








Leave a Reply