Bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muuizuddin Shah menitahkan Khutbah Jumaat di Perak pada 26hb Mei, 2023 bertemakan “Kewartawanan: Meneympurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam”.
Baginda turut memperkenankan tiga orang wartawan untuk menyampaikan khutbah di masjid-masjid di Perak.
Mohd Nazmi Yaacob, editor, Rencana Agama dan Sastera Berita Harian menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak Ipoh) II, sementara wartawan Sinar Harian Saifullah Ahmad pula melengkapkan tugas di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh
Penerbit Rancangan Mohd Fahmi bin Mohd Nor pula diberi tugas menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah.
Berikut adalah khutbah yang disampaikan untuk manfaat pembaca.
Para tetamu rumah Allah yang dimuliakan,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan ke hadrat Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan semua larangan Nya, mengikhlaskan setiap amal, semoga kita dilimpahi taufik – dilimpahi hidayah, serta diperkukuhkan iman mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Menjelang sambutan ‘Hari Wartawan Nasional’ pada 29 Mei, mimbar akan memperdengarkan khutbah bertajuk: “KEWARTAWANAN: MENYEMPURNAKAN TUGAS BERLANDASKAN NILAI-NILAI ISLAM”
Firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat ke 22:
Bermaksud: …(datanglah Hud-hud) lalu berkata, “Aku mengetahui sesuatu yang belum kamu ketahui. Aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa satu berita yang diyakini kebenarannya.”
Jemaah yang dirahmati Allah,
Tarikh 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional, kerana pada tarikh tersebut pada tahun 1939, akhbar sulung Utusan Melayu diterbitkan
.
Wartawan ialah petugas media yang berperanan menyampaikan maklumat dan menyebarkan berita. Maklumat yang disampaikan dan cara berita diolah akan mencanai pemikiran dan mempengaruhi tindakan pembaca. Lazimnya wartawan memenuhi tiga peranan utama:
Pertama: mendapat dan mengumpul maklumat.
Kedua: mengolah berita secara yang mudah difahami oleh pembaca, pendengar dan penonton.
Ketiga: menyampai dan menyebar maklumat secepat mungkin kepada masyarakat.
Tugas wartawan dipenuhi pelbagai cabaran. Ketika mengumpulkan maklumat, mereka berhadapan pelbagai kesulitan dan keadaan bahaya. Ada kalanya mereka terpaksa berjaga sepanjang malam, terdedah kepada perubahan cuaca, juga persekitaran yang tidak menentu; apatah lagi apabila mereka ditugaskan membuat liputan berita di kawasan yang dilanda bencana alam atau di kawasan yang terlibat dengan konflik dan peperangan. Ada dalam kalangan mereka yang menghadapi kecederaan malah ada yang kehilangan nyawa. Dilaporkan dalam tahun 2022, lebih daripada 67 orang pengamal media di seluruh dunia terkorban semasa menjalankan tugas, catatan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Mukmin yang dilimpahi bimbingan Ilahi,
Kewartawanan terawal yang dikesan, berbentuk lembaran berita mengandungi peristiwa harian penting, merangkumi ucapan awam semasa tamadun Rom Kuno; manakala akhbar harian pertama secara berkala diterbitkan di kota-kota Jerman pada awal abad ke-17; kerana itu kewartawanan, lazim disoroti berdasarkan sudut pandangan Barat. Oleh itu persoalan hak asasi dan kebebasan bersuara, serta adab kewartawanan secara umumnya, lebih berpandukan pandangan dunia Barat.
Hakikatnya Islam yang bersifat syumul, meliputi semua sudut kehidupan manusia, menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada semua persoalan. Justeru itu kewartawanan memiliki kedudukan tersendiri menurut pandangan Islam. Melalui ayat 22 surah al-Naml yang khatib bacakan pada awal khutbah, Allah SWT menceritakan sikap benar yang ada pada burung Hud-hud ketika menyampaikan berita penting kepada Nabi Sulaiman AS, mengenai perihal sebuah kerajaan yang tidak beriman dengan Allah SWT, lalu bertindak atas berita yang sahih, Nabi Sulaiman AS mengutus perutusan dakwah
kepada Ratu Balqis. Sesungguhnya dalam bahasa mudah, perbuatan menyampaikan berita yang dilakukan oleh burung Hud-hud, menyamai peranan wartawan pada hari ini.
Berdasarkan peristiwa Burung Hud-hud dengan Nabi Sulaiman AS, tugas mencari, mendapatkan dan menghasilkan berita dalam apa juga saluran, baik secara tulisan, pendengaran dan penglihatan, sama ada melalui akhbar, radio dan televisyen, mahupun melalui saluran media sosial yang semakin popular dan semakin berpengaruh, hendaklah berlandaskan kebenaran.
Sifat benar dan sifat jujur wajib diamalkan oleh para wartawan. Rasulullah SAW menekankan pentingnya diutamakan sifat jujur dan sifat benar melalui hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Hendaklah kamu selalu berlaku jujur kerana berlalu jujur membimbing kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa berlaku jujur dan berusaha mempertahankan kejujuran, maka dia dicatat Allah sebagai ‘sadiq’ (orang jujur). Dan hindarilah oleh mu akan dusta kerana sesungguhnya dusta itu mendorong kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang sentiasa berdusta dan mempertahankan kedustaan, maka dia dicatat oleh Allah SWT sebagai ‘kazzab’ (pendusta)” (Hadis riwayat Muslim)
Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak. Perkara yang benar wajib dikatakan benar; dan perkara yang salah wajib dikatakan salah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 42:
Bermaksud: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Oleh itu, para wartawan yang mahu mendapatkan keredaan Ilahi, wajib memahami, menghayati dan mengamalkan adab kewartawanan berlandaskan Islam ketika menyempurnakan tugas, terutama pada zaman yang serba mencabar ini. Jangan sama sekali harga diri digadaikan, lalu memilih bersifat menegakkan benang basah ketika menyampaikan berita, apabila kebenaran dikorbankan, sedang kesalahan dilindungi, kerana tarikan kebendaan dalam bentuk upah, sogokan, pangkat, jawatan dan gelaran.
Para Tetamu Allah yang dimuliakan,
Mimbar menitip beberapa peringatan kepada pengamal media begitu juga kepada anggota masyarakat:
Pertama: Para wartawan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah. Penuhi tanggungjawab yang diamanahkan secara jujur – secara ikhlas, berpandukan adab yang berlandaskan nilai-nilai Islam, antaranya bersikap terbuka, adil, saksama dan seimbang, serta tidak memfitnah, agar pekerjaan diterima sebagai ibadah yang insya-Allah dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat oleh Allah SWT.
Kedua: Menyaring maklumat yang diterima dengan maksud menyemak dan mengesahkan kesahihan maklumat, seperti yang diamalkan oleh para sarjana hadis ketika meriwayatkan sesuatu hadis dengan memastikan sumber dan kesahihannya. Sebelum disiarkan atau disebarkan atau diterima atau dipercayai sesuatu berita, jadikan pedoman peringatan Ilahi yang terkandung dalam ayat 6, Surah Al-Hujurat yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.
Ketiga: Menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi. Oleh itu tidak sama sekali menyalahgunakan bakat kurniaan Ilahi dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan.
Keempat: Mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu membangunkan sebuah negara yang aman lagi makmur, merdeka dan berdaulat, rakyatnya teguh bersatu
– kukuh berpadu, hidup secara rukun dan damai dalam semangat muhibah, dan saling hormat-menghormati meskipun berlainan pegangan agama dan berlatar belakangkan pelbagai kaum.
Khutbah Kedua
Muslimin yang dirahmati Allah,
Mimbar menyeru para jemaah agar tetap berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Waljamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutama solat fardu berjemaah. Perbanyakan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah! Ya Rabbal ‘alamin! Engkau berkati, dan kurniai rahmat Mu kepada para
wartawan yang ikhlas, jujur lagi beramanah ketika melaksanakan tugas satu fardu kifayah. Limpahi perlindungan Mu, dan limpahi semangat ketabahan kepada mereka yang bersedia menerima tanggungjawab bertugas di tempat-tempat yang dilanda bencana, begitu juga di kawasan yang menjadi medan pertempuran dan peperangan. Jadikanlah bidang kewartawanan ini sebagai salah satu wasilah penyebaran dakwah dan amal kebaikan.
4 Memuji Allah
5 Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
6 Pesan Taqwa
7 Ayat Al-Quran
8 Doa untuk Kaum Muslimin
Ya Mannan! Ya Razzaq!, berkatilah hamba Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniai mereka rezeki yang berlipat ganda, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka; jauhi golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Ya Dzal Jalaali wal Ikram!, jadikanlah kami antara hamba Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta jauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.
Ya Maalikal Mulk!, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba Mu yang amanah dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
Ya Malik! Ya Hadi!, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu terhadap raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat diraja dan seluruh rakyat jelata.





Leave a Reply