
Sejak dahulu lagi, lama benar sehingga tidak ingat bila mulanya yang para pemimpin negara bercakap mengenai jangan jadi masyarakat subsidi. Sejak itu jugalah, sekian lamanya rakyat Malaysia berterusan menikmati subsidi baja, padi, petrol, diesel, enjin bot, minyak masak, bekalan elektrik dan macam-macam lagi sehinggalah pemberian yang tidak terlintas pada masa lalu, iaitu menerima wang tunai atas pelbagai nama bantuan. Seronok kan!
Demikianlah hidup rakyat Malaysia dengan kerajaan yang memerintah menggunakan pelbagai slogan dan istilah termasuk acuan sendiri, bangsa Malaysia, prihatin, hadari, 1Malaysia, Keluarga Malaysia dan Madani. Rakyat sentiasa cuba dilindungi dan dibuai dengan pelbagai bantuan subsidi, lantas menjadikan kita berbangga dengan semuanya.
Pengertian pemberian subsidi secara lebih meluas meliputi langkah-langkah termasuk pengecualian daripada pelbagai cukai dan levi, mekanisme pampasan untuk kumpulan pengguna yang terjejas yang berbeza dan usaha untuk melonggarkan syarat pembayaran atau moratorium.
Terkini, kerajaan bercadang mahu melaksanakan pemberian subsidi bersasar kepada bekalan tenaga elektrik. Ini bukan kaedah baru kerana sudah pun dikenakan surcaj kepada pelanggan bukan domestik, iaitu melibatkan industri termasuk syarikat multinasional mulai Januari lalu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan subsidi bersasar untuk separuh kedua dengan cadangan menghentikan pemberian subsidi kepada golongan yang menggunakan tenaga elektrik secara berlebihan, dalam istilah mudah difahami – golongan kaya.
Aji Tasir masih menunggu pada tahap mana penggunaan yang dikatakan tidak berlebihan atau terlalu banyak dan masih diberikan rebat seperti mana dinikmati sekarang oleh keseluruhan rakyat sebagai pengguna domestik.
Kita sokonglah usaha ini supaya mereka yang kaya membayar kos elektrik pada harga sebenar di pasaran manakala rakyat miskin dan terjejas, terbela sedikit sekali gus menjadi lebih adil dalam aspek pengagihan kekayaan negara.
Selama ini mereka yang kaya raya dan menggunakan tenaga elektrik dengan banyak tetap menikmati subsidi. Begitu juga dalam hal bahan api petroleum, yang mana mereka dengan kereta menjalar dan mewah, turut menikmati subsidi.
Malah mereka adalah golongan yang menikmati lebih banyak dapat subsidi jumlah penggunaan yang tinggi berbanding rakyat luar bandar dan golongan yang sekadar mampu menggunakan motosikal yang sudah tentu menggunakan petrol pada kadar lebih rendah. Pengurangan subsidi mengikut kategori mutu dan jenis bahan api masih tidak menepati falsafah kesaksamaan dan adil dalam pengagihan.
Krisis tenaga global dicetuskan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine selepas krisis kesihatan luar biasa seluruh dunia, Covid-19 telah melonjakkan harga bahan api fosil dan mendorong kerajaan menanggung subsidi pada paras tertinggi.
Media melaporkan Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan dapat berjimat RM4.1 bilion melalui pelepasan sebahagian kos bahan api penjanaan kepada pelanggan industri menerusi surcaj 20sen kWj pada enam bulan pertama 2023.
Begitupun, kerajaan masih membiayai RM10.8 bilion dalam bentuk rebat kepada pengguna domestik dalam tempoh berkenaan. Justeru pelaksanaan subsidi bersasar inilah yang kita tunggu dengan berapa lagi penjimatan boleh dibuat apabila golongan isi rumah berpendapatan tinggi tidak lagi mendapat rebat.
Khabarnya, ini akan dilaksanakan melalui semakan kos bahan api bagi tempoh Jun-Disember 2022 di bawa mekanismen Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk dilaraskan kos penjanaan tenaga elektrik bagi tempoh Julai hingga Disember 2023.
Mereka yang tidak lagi menerima subsidi melalui rebat, akan dikenakan surcaj agar kos elektrik yang dibayar adalah kos sebenar penjanaan atau setidak-tidaknya paling hampir dengan kadar pasaran, sekali gus mencerminkan realiti sebenar kos sara hidup.
Pemberian subsidi secara pukal memang meringankan beban pengguna kerana mereka membayar kos lebih rendah daripada pasaran, tetapi tidak seimbang dari segi agihan kekayaan negara, memberi gambaran salah mengenai keadaan sebenar pasaran, menjadi beban fiskal kepada negara serta tidak produktif kepada tenaga bersih.
Selain itu, moleknya penjimatan ini dapat pula disalurkan bagi tujuan lebih baik untuk kemaslahan umum seperti membiayai keperluan pendidikan dan kemudahan kesihatan awam. Selain subsidi diberi hanya kepada golongan sasar, jangan pula penjimatannya dibelanja bukan untuk tujuan yang benar, hingga niat yang baik menjadi tersasar.





Leave a Reply