
Oleh Razali Zakaria
Syawal sudah melabuhkan tirai, namun sambutan Aidilfitri di Malaysia dengan majlis rumah terbuka terus diadakan – sinonim dengan puasa sebulan maka raya juga sebulan.
Bagi kita di Malaysia, kemuncak kemeriahan sambutan Aidilfitri adalah pada hari raya pertama, kedua dan ketiga.
Namun, bagi penduduk Selatan Thailand, agak berbeza kerana ada dua kemeriahan hari raya puasa dalam bulan Syawal.
Pertama adalah hari raya selepas ibadah puasa sebulan, manakala yang kedua ialah sambutan Hari Raya Puasa Enam – bagi mereka yang berpuasa enam hari bermula 2 Syawal.
Dalam kunjungan menziarahi sanak saudara di Mukim Lubo Sawo, Daerah Bachok, Narathiwat, Thailand, baru-baru ini, penulis diajak meraikan Hari Raya Puasa Enam yang diadakan di pekarangan Masjid Telok Manok – masjid berusia lebih 400 tahun – yang menjadi salah satu tarikan pelancongan.
Bermula kira-kira jam 9.30 pagi, penduduk mula berkumpul di sekitar masjid berkenaan, dengan masing-masing membawa makanan ala kadar untuk dikongsi bersama.
Sesetengahnya turut menziarahi tanah perkuburan bersebelahan. Penulis juga turut menziarahi perkuburan bapa penulis yang berusia lebih 50 tahun, selain bapa dan ibu saudara yang telah pergi lebih dahulu.
Cuaca panas mencecah 35 °C. Menjelang tengah hari, majlis sambutan Hari Raya Puasa Enam dimulakan dengan bacaan tahlil, sebelum diikuti dengan jamuan. Acara ditamatkan menjelang petang.

Majlis tahlil diadakan di bawah Masjid Telok Manok, Bachok, Narathiwat, Thailand yang berusia lebih 400 tahun
Gambar atas: Masjid Telok Manok, Bachok, Narathiwat, Thailand yang berusia lebih 400 tahun





Leave a Reply