Sebulan lagi, genap enam bulan Ahli-Ahli Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan.

Selain tumpuan kekal kepada Anwar sendiri, iaitu kemana hala tuju negara dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu integriti, ada fakta menarik mengenai dua wanita dalam kabinet sekarang.

Kedua-duanya bukan sahaja muka baru, bahkan buat pertama kali wanita diberi tanggungjawab menerajui portfolio berkenaan di negara ini – pendidikan dan kesihatan.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang boleh dikatakan sesuai dengan doktor perubatan, Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan manakala pengamal undang-undang, Fadhlina Sidek menjadi wanita pertama memimpin Kementerian Pendidikan.

Tanggungjawab kedua-dua kementerian ini semakin berat berikutan penjagaan kesihatan awam yang sentiasa menjadi keperluan utama negara menjadi begitu kritikal susulan Covid-19 manakala soal pembangunan sahsiah anak bangsa kekal jadi cabaran getir Kementerian Pendidikan.

Baru-baru ini, kita terbaca berita mengenai Menteri Kesihatan mahu berbincang dengan Menteri Pendidikan untuk melaksanakan semula pemakaian pelitup muka di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Kita harap perbincangan itu tidak terhad kepada hal pemakaian pelitup muka kerana ia sebenarnya satu keputusan mudah tanpa memerlukan dua menteri bertemu dan berbincang. Soal pemakaian pelitup muka lebih kepada urusan operasi dan memadai diputuskan di peringkat pegawai.

Rakyat memerlukan lebih lagi daripada kedua-dua pemimpin wanita generasi baru yang bertenaga dan wajarnya lebih peka, kreatif dan tangkas berdasarkan latar belakang pendidikan yang menyakinkan bahawa kedua-duanya adalah berilmu, sekali gus berdaya fikir.

Dr Zaliha, Ahli Parlimen Sekijang itu adalah anak Johor berusia 58 tahun yang mendapat pendidikan awal di Maktab Rendah Sains MARA sebelum menyambung pengajian di matrikulasi dan seterusnya ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989. Beliau kemudian di Hospital Daerah Pekan dan Hospital Taiping sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Soal kesihatan awam tidak pernah sunyi dengan isu dan virus baharu yang mengancam keselamatan manusia. Ia bukan lagi sekadar penyakit malaria dan taun seperti dulu-dulu, lantas ada banyak cabaran Dr Zaliha termasuklah gelagat ‘doktor mogok’ baru-baru ini.

Fadhlina yang lebih muda, 45, menang kali pertama bertanding di Parlimen Nibong Tebal, berkelulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, berpengalaman sebagai aktivis sosial dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam dan kebajikan kanak-kanak.

Besarlah harapan agar beliau berupaya menyelami kerumitan keseluruhan isu pendidikan negara dengan latar belakang dari keluarga yang rapat dengan soal pembangunan bangsa dan falsafah. Fadhlina adalah anak kepada ahli falsafah dan tokoh ketamadunan manusia tersohor, Allahyarham Prof Dr Siddiq Fadzil.

Sebab itu, ramai mungkin terus memerhati bagaimana Fadhlina menangani beberapa isu-isu mendesak dalam sistem pendidikan sejak beliau mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember 2022 termasuk dalam aspek beban tugas dan kebajikan guru.

Sepertimana iman tidak boleh diwarisi, keupayaan mencerna idea dan menerajui sesuatu bidang juga perlu datang daripada iltizam dan daya fikir seseorang serta kemampuan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.

Buat Dr Zaliha dan Fadhlina, harapan kepada anda berdua kekal menggunung.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading