Oleh Dr G. Manimaran
Sempena sambutan Hari Buruh 2023 hari ini, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengucapkan tahniah kepada semua pekerja. Dipercayai ini julung kali badan yang mewakili kepentingan pihak majikan itu mengucapkan tahniah kepada pekerja.
Dalam perutusannya sempena Hari Buruh, Presiden MEF, Dr Syed Hussain Syed Husman menyifatkan golongan pekerja menyumbang ke arah membina kedua-dua perniagaan dan negara.
“Pekerja adalah aset sebenar mana-mana organisasi dan masa depan mana-mana negara. Caruman pekerja diiktiraf dengan baik,” kata beliau dalam kenyataan yang membawa perutusan MEF.
Tambah beliau, “sebagai majikan kita mesti sentiasa menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat.”
Selain itu kata beliau, para majikan perlu memastikan pekerja adalah terlatih dan mahir untuk melakukan kerja.
“Kita mesti pastikan gaji dan faedah adalah selaras dengan kadar pasaran dan risiko, tanggungjawab dan akauntabiliti pekerjaan.
“Majikan mesti menyediakan struktur kemajuan kerjaya supaya kemajuan kerjaya jangka panjang dapat dilihat oleh semua dan ini akan membantu majikan dalam menarik dan mengekalkan bakat untuk organisasi mereka,” kata beliau dan menambah bahawa majikan mesti mempunyai disiplin dalam mewujudkan amalan tempat kerja yang adil dan bertanggungjawab.
“Tidak boleh ada diskriminasi di tempat kerja dan semua pekerja dilayan secara adil dan secara saksama. Keupayaan pekerja untuk melaksanakan mesti diiktiraf dan diberi ganjaran berdasarkan merit,” kata beliau.
Ketua badan majikan itu seterusnya menggariskan bahawa “bersama pekerja, majikan dan kerajaan kita boleh membina perniagaan, negara dan membina Malaysia Madani dengan lebih baik.”
MEF memberi tabik hormat kepada semua pekerja dan pada tanggal 1 Mei, MEF memberi penghormatan kepada semua pekerja.
Senada dengan keperluan yang ditekankan oleh MEF itu, badan yang mewakili pekerja meletakkan harapan yang lebih tinggi dalam membela hak dan kepentingan kaum pekerja.
Pekerja sengaja dipinggirkan
Dalam pada itu, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menegaskan bahawa pekerja-pekerja di Malaysia telah menjadi asas pertumbuhan negara sejak negara merdeka, malangnya “adalah sesuatu yang memalukan apabila pekerja-pekerja Malaysia telah dengan sengaja dipinggirkan selama ini, melalui penindasan sistemik hak mereka dan penafian berterusan terhadap bahagian yang saksama daripada kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara yang telah dirosakkan.”
Sehubungan dengan itu, kata Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D Angelus, negara memerlukan pengenalan undang-undang yang akan menyediakan perlindungan sosial yang lebih besar untuk rakyat Malaysia.

Penasihat Buruh Antarabangsa SPCAAM, Callistus Antony D Angelus
“Insurans dan faedah pengangguran, perlindungan dan hak kesatuan sekerja yang lebih luas, dan undang-undang yang lebih ketat yang mengawal pemberhentian pekerjaan.
“Selain itu, harus dikenakan tindakan yang serius ke atas pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara,” kata beliau dalam tulisannya sempena sambutan Hari Buruh.
Katanya, buat pertama kali dalam beberapa dekad, terdapat sedikit harapan untuk memulihkan keseimbangan dan kesaksamaan dalam trajektori sosioekonomi negara.
Beliau menambah, menurut data Bank Dunia, Malaysia mempunyai Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak AS$27,607 pada tahun 2019, dan ia meletakkan Malaysia dalam kalangan negara berpendapatan sederhana.
Pada tahun 2020, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan negara sebanyak RM2,208 (kira-kira AS$11 seorang sehari) adalah 8.4 peratus.
“Soalan perlu ditanya sama ada isi rumah boleh mengekalkan taraf hidup yang layak, yang merupakan hak asasi manusia, dengan pendapatan RM2,208 sebulan, terutamanya di bandar-bandar yang besar.
“Jelas sekali, jawapannya adalah negatif. Ini bermakna bahawa insiden kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada data yang dicadangkan,” kata beliau.
Antony D Angelus berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menegaskan dengan betul bahawa rasuah telah mengakibatkan ekonomi Malaysia dikawal oleh sekumpulan kapitalis uber terpilih.
“Ini telah menghalang sifat dinamik bentuk kapitalisme yang adil dan saksama daripada berkembang.
“Golongan miskin semakin miskin, golongan pertengahan dihimpit kemiskinan, dan satu peratus semakin kaya dan merompak rakyat jelata Malaysia.
“Rasuah memberi manfaat kepada raja perompak, termasuk syarikat besar-syarikat besar dan syarikat multinasional asing,” kata beliau.
Susulan jaminan sewajarnya yang diberikan oleh Anwar berhubung isu-isu utama termasuk masalah rasuah dan tadbir urus yang ada kecatatan, kata beliau, “kini tiba masa untuk bertindak dan melaksanakan transformasi Malaysia demi kepentingan semua rakyat Malaysia dan bukan hanya korup.”
“Pada tahun depan, diharapkan lebih ramai pekerja akan meraikan sambutan Hari Buruh pertama yang boleh mereka gembira,” katanya.
Tambah beliau: “(tindakan transformasi) ia perlu dipercepatkan, dan tidak lagi perlu membuang masa dalam usaha mengembalikan keadilan kepada pekerja-pekerja Malaysia.”
Harapan UNI-MLC
Dalam pada itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohamed Shafie BP Mammal juga melahirkan harapan yang sama seperti SPCAAM.
Kata beliau, lebih 15 juta pekerja Malaysia “berhadapan dengan pelbagai cabaran, ujian dan dugaan, yang tidak dapat dibayangkan sama sekali, demi memastikan kelangsungan hidup mereka.”
Tahun ini merupakan persekitaran sambutan penuh yang bebas selepas satu dunia, termasuk Malaysia, dibadai oleh impak pandemik yang paling serius, COVID-19, yang masih memperlihatkan belum ada titik noktah atau pengakhiran.
Malah, sambutan tahun 2023 juga merupakan yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, di mana para pekerja meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk menikmati sistem, undang-undang dan dasar buruh yang lebih baik.
Sehubungan dengan itu, tambah mantan Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu, UNI-MLC mahu majikan, kedua-dua sektor awam dan swasta, dan kerajaan sebagai agensi kuat kuasa, memberi keutamaan kepada 12 perkara demi memartabatkan pekerja-pekerja di Malaysia.

Mohamed Shafie BP Mammal
Salah satunya ialah pihak kerajaan mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh untuk menyemak dasar dan undang-undang perburuhan agar lebih sesuai dengan keperluan semasa selepas pandemik COVID-19.
“Negara memerlukan satu dasar perburuhan yang dapat memenuhi keperluan dan cabaran era pasca-COVID-19,” kata beliau.
Beliau juga menuntut agar kerajaan menangani masalah kos sara hidup yang meningkat dengan ketara setiap hari ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Pada masa yang sama, UNI-MLC mendesak kerajaan memastikan pekerja apabila bersara kelak mempunyai simpanan yang secukupnya, yang munasabah mengikut keadaan semasa, dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Oleh itu, kerajaan perlu menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13% kepada 20% terutama bagi pekerja-pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah,” kata beliau.
UNI-MLC juga kata beliau, mahu kerajaan mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun.
Pada masa kini apabila seseorang pekerja akan disarakan apabila mencapai umur 60 tahun.
“Oleh itu, dasar semasa hendaklah disemak bagi membolehkan pekerja bekerja sehingga mereka lengkap 60 tahun, dan bukannya ketika permulaan umur 60 tahun,” kata beliau.
UNI-MLC juga mahu pemakaian Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) dipanjangkan kepada pekerja-pekerja di Sabah dan Sarawak untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja terbela sebagai sebuah negara persekutuan.
Turut disyorkan oleh majlis itu ialah mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi graduan tempatan, dan mahu majikan mengutamakan dan mengambil pekerja tempatan berbanding tenaga kerja warga asing.
“Perlu ada satu dasar baharu sesuai dengan keperluan semasa,” kata beliau.
Selain itu, UNI-MLC dalam memastikan kebajikan pekerja terus terbela, mendesak parti-parti politik supaya tidak bercakaran, sebaliknya menumpukan memberi perkhidmatan dan kesejahteraan kepada rakyat dengan mengutamakan keperluan menunaikan janji dan tawaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
“UNI-MLC berharap pihak kerajaan dan majikan akan mengambil tindakan tegas dengan segera bagi menyelesaikan kesemua 12 perkara yang digariskan demi memartabatkan hak, kebajikan dan kepentingan pekerja di Malaysia.
“UNI-MLC mengharapkan satu tindakan holistik bagi menangani pelbagai isu dan masalah yang melanda pekerja-pekerja di Malaysia sejak kebelakangan ini,” kata beliau.
Kata Mohamed Shafie, negara tiada pilihan kecuali menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh UNI-MLC sempena sambutan Hari Pekerja 2023 jika kita ingin melihat persekitaran kerja yang lebih harmoni, kondusif dan berkualiti.
“Isu-isu yang dibangkitkan ini telah lama berlarutan, dan memerlukan keutamaan tindakan efektif di pihak Kerajaan yang menjadi tempat harapan rakyat dan pekerja,” kata beliau.
Selari dengan konsep Malaysia Madani, kata Mohamed Shafie, UNI-MLC memohon pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi wajah baharu kepada para pekerja, di kedua-dua sektor awam dan swasta.
Selepas enam dekad negara merdeka, sudah tiba masa untuk digubal satu dasar buruh dan pekerjaan yang lebih dinamik sesuai dengan perkembangan teknologi dan impak pandemik COVID-19.





Leave a Reply