Oleh Norzu

Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) yakin atletnya akan mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA Ke-32, yang akan berlangsung di Kemboja pada 28 April hingga 8 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, MSA berkata bahawa atlet pelayaran telah bergerak awal pada 18 April ke Kemboja bagi membuat persediaan rapi di gelanggang pertandingan.

“Ini adalah penting bagi memastikan pasukan dapat menyesuaikan keadaan laut yang berbeza dari keadaan latihan yang dijalankan di Pusat Latihan Kebangsaan, Langkawi. Keadaan yang berbeza ini perlu diadaptasikan secepatnya oleh para atlet kita bagi memastikan mereka dapat mempamerkan persembahan terbaik semasa hari pertandingan nanti,” MSA menyatakan.

Pasukan Pelayaran Malaysia yang terdiri daripada lima pegawai dan sembilan atlet akan mengambil bahagian dalam tujuh daripada sembilan acara yang dipertandingkan secara keseluruhannya bagi edisi kali ini.

Menurut pengurus pasukan Muhammad Fariz Idham bin Mat Zaki, walaupun perlu beraya Aidilfitri di Kemboja tahun ini, atlet pelayaran komited dan kekal fokus dalam misi mereka memperbaiki pencapaian pada Sukan SEA Ke-30, Filipina yang merekodkan sumbangan dua pingat perak.

Sukan pelayaran tidak dipertandingkan di Sukan SEA Ke-31 di Vietnam pada tahun 2021. Untuk rekod, atlet pelayaran Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan di temasya Kuala Lumpur 2017 dengan tujuh pingat emas. Untuk temasya kali ini, pasukan mensasarkan dua pingat emas untuk disumbangkan kepada negara dari mana-mana tujuh acara yang diambil bahagian.

Muhammad Faizal Ahmad Asri akan beraksi dalam kategori ILCA 7 manakala Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri akan bertanding dalam kategori ILCA 6 dan Muhammad Asnawi Iqbal Adam dalam kategori ILCA 4. Muhammad Hilfi Nafael Mohd Hasrizan dan Sara Amanda Mohd Noor Azman pula akan menyertai perlumbaan kelas Optimist campuran manakala Muhammad Dhiauddin Rozaini dan Abdul Latif Mansor masing-masing akan bertanding dalam kelas 29er. Dua orang lagi atlet – Muhammad Hafizin Mansor dan Izry Hafiezy Fitry Azri – akan bertanding dalam kategori windsurfing iaitu kelas RS:X dan RS:One.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading