KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mempunyai sebab khusus untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu depan dengan penuh meriah.

Perjanjian Kolektif (CA) NUBE melakar sejarah apabila berjaya menyertakan kemudahan bayaran khas satu bulan gaji bagi empat perayaan utama negara.

Itu merupakan sebahagian daripada lebih 20 skim dan insentif, bukan kewangan dan kewangan, yang telah dapat diselesaikan, sekali gus bakal memanfaatkan pekerja, terutama ahli-ahli NUBE.

Sebahagian besar merupakan peruntukan atau artikel terbaharu, yang diadakan demi memartabatkan pekerja industri perbankan.

CA NUBE-MCBA ke-19 itu, yang berkuat kuasa bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga diperbaharui CA yang baharu, dimeterai di ibu negara semalam. Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) dianggotai oleh 20 bank komersial tempatan.

NUBE hanya mewakili pekerja-pekerja di Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak mempunyai kesatuan sendiri bagi pekerja-pekerja perbankan.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, bayaran khas satu bulan gaji akan dibayar bagi empat perayaan utama iaitu Aidilfitri Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.

“Bayaran khas ini akan membolehkan pekerja-pekerja menyambut perayaan masing-masing dengan meriah dan tenang,” kata beliau.

Kata beliau, bayaran sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri tahun akan dibayar selewat-lewatnya 20 April ini manakala untuk perayaan yang lain akan dibayar satu bulan sebelum perayaan.

Sebelum ini, Solomon pernah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar yang disambut di negara ini.

Katanya, sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan yang boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar.

Kemudahan itu merupakan komponen mandatori di bawah undang-undang di negara jiran Indonesia.

Sebelum ini, bank-bank tempatan menyediakan bayaran khas sempena perayaan yang perlu dibayar secara ansuran dalam tempoh tertentu.

“Selepas ini, bayaran ini tidak perlu dibayar balik, ia adalah insentif tambahan kepada pekerja, yang kami memperjuangkan. Terima kasih kepada pihak bank yang telah menyatakan persetujuan,” katanya.

Kata beliau, kedua-dua NUBE dan MCBA telah bekerja keras untuk memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum akhir bulan Ramadan ini.

“Saya ingin ambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli NUBE, barisan EXCO NUBE dan MCBA serta ABM kerana telah menyatakan komitmen yang amat tinggi bagi memuktamadkan CA dengan segera dan memuaskan semua pihak,” kata beliau.

Jelas Solomon, di sebalik kesemua cabaran, “Kita tetap konsisten, profesional dan amalkan pendekatan hormat-menghormati pihak majikan di dalam rundingan ini meskipun dua kali rundingan menjadi tegang dan kita terpaksa memohon campur tangan Pengerusi ABM (Persatuan Bank-bank Malaysia),  Khairussaleh Ramli. Akhirnya kita telah mencapai penyelesaian konstruktif bersama.”

Penyelesaian muktamad ke atas kesemua perkara yang dibangkitkan telah selesai awal minggu lalu, dan dokumen CA ditandatangani di ibu negara, petang semalam.

Bagi pihak NUBE, CA ditandatangani oleh Presidennya, Michael Tan dan Solomon manakala MCBA diwakili oleh Presidennya, Datuk Nora Abd Manaf dan Pengarah Eksekutif, Chua Kim Lin.

Solomon berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan pelarasan gaji 15% hingga 18%, bergantung kepada gred pekerja.

Pekerja dalam kategori Financial Enabler I (Bukan Perkeranian) akan menerima pelarasan sebanyak 18%, Financial Enabler II (Kerani) (15%) dan Financial Enabler III (Kerani Gred Khas) (15%).

CA kali ini turut memperkenalkan elaun pindah tempat kerja, elaun kenderaan dinaikkan manakala had untuk faedah sifar peratus dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM300,000.

“Ini merupakan kemajuan besar dalam CA ini dan kami percaya akan sangat membantu ramai ahli NUBE.

“Jika dikira kadar faedah 3%, dalam setahun ahli-ahli akan dapat menjimatkan RM8,700 setahun dan dalam 20 tahun, akan menjimatkan RM99,311. Ini bersamaan dengan 15.29% penjimatan sebulan daripada gaji,” kata beliau lagi.

Solomon (di belakang) meraikan kejayaan bersama-sama kakitangan bank

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading