
Oleh Ismail Hashim Yahaya
Masa yang paling gembira semasa berpuasa ialah ketika waktu berbuka atau iftar. Bayangkan dengan terhidangnya juadah berbuka di atas meja, mata terbeliak menajaminya seolah-olah semua boleh habis dimakan.
Semasa membaca terjemahan surah Al Fatihah bagi mendalami maksud dengan taddabur terutamanya apabila Prof M. Dawam Raharjo menyifatkan surah Al Fatihah sebagai Al Quran in a nutshell atau kalangan ulamak menyatakan sebagai ummul kitab, saya terhenti pada ayat keempat iaitu Malikiyau Middin secara terjemahan bermaksud Pemilik (Raja) Hari Pembalasan.
Maka saya memahaminya dengan hari kebangkitan juga. Hari di mana semua manusia dibangkitkan untuk diadili dan dibalas segala amal perbuatan yang mereka lakukan semasa hidup di dunia di Padang Mahsyar kelak.
Saya terus membuat metafora hari kebangkitan yang dikaitkan dengan Iftar. Pada hari kebangkitan dari kubur, kita dihidupkan semua setelah merasai maut atau mati, mengingatkan kepada surah Al Imran ayat 185.
Boleh dikatakan pada setiap pagi kita dihidupkan atau dibangkitkan semula setelah merasai tidur pada waktu malam. Pokok yang kita tebang dahannya atau rumput yang kita potong akan bercabang dan tumbuh semula setelah beberapa waktu.
Bagaimana pula dikaitkan dengan berbuka pada bulan Ramadhan? Â Semasa berpuasa, perut kita kosong tidak makan dan minum, tidur yang berkurangan, bangun sahur pada awal pagi, keadaan badan yang lemah. Â
Dalam situasi bekerja pada waktu siangnya dan apabila menuju ke waktu berbuka, kita seolah-olah berada dalam keadaan hendak menuju kematian, mengingatkan mereka yang kebuluran mengharapkan bantuan makanan dan minuman.
Tiada zat makanan yang masuk ke dalam badan seperti telefon bimbit yang hampir kehabisan bateri kerana hayat bateri yang tinggal kurang 10 peratus.
Kita mengalami kelesuan, kelayuan, kepenatan dan lemah longlai. Dalam menunggu waktu berbuka dan bertanyakan beberapa minit lagi hendak berbuka, pernahkah kita terfikir buat seketika betapa kita sebenarnya insan yang lemah, tidak memiliki apa-apa, tiada tenaga dan keupayaan dan apa yang kita perolehi hanya pinjaman dari Yang Menguasai Hari Pembalasan?
Dunia ini hanyalah pinjaman dan kita hidup ini atas ehsan Ilahi. Jika kita renunginya kita akan sedari kewujudan kita yang bergantung kepadaNya pada setiap pernafasan dan kita tiada apa-apa untuk dibanggakan.
Marilah kita hayati seminit sebelum berbuka, kita berada di ambang maut dan kemurahanNya dilimpahi dengan juadah di atas meja yang masih haram untuk disantap.
Seminit kemudian ia dihalalkan. Itulah peraturan Raja Hari Pembalasan. Allah menghalalkan kita makan dan minum dan jika kita melambatkannya atau enggan makan dikira berdosa.
Kita pun menjamah dengan kurma, minuman dan juadah yang dihidangkan. Seumpama tumbuhan di tanah kering kontang yang menerima turunnya air dari langit, kita merasai diri dihidupkan semula, tenaga dipulih seperti bateri telefon bimbit, memperlihatkan kekuatan daripada keletihan, kepenatan dan kelemahan yang memulihkan seluruh anggota.
Dalam beberapa minit sahaja, sel badan kita, molekul, organ kita bergerak aktif memanjangkan tangan untuk mengambil makanan di seluruh pelusuk meja.
Dalam beberapa minit ini juga kita dibangkitkan dan dihidupkan semula daripada situasi beberapa minit sebelumnya. Kita dihidupkan semula dengan kuasa dan tenaga yang diberikan Allah! Inilah waktu kebangkitan kita setelah berbuka puasa, .
Dan bagaimana keadaan kita dibangkitkan setelah berbuka? Jika terlalu banyak makan dan minum, kebangkitan kita yang hidup beberapa minit selepas berbuka akan bertukar malas dan longlai, berat untuk bangkit dari meja tersadai di kerusi apa lagi melangkah kerana perut dipenuhi makanan dan minuman. Tenaga yang kita dapatkan menimbulkan pula kelesuan.
Solat kita tidak berfokus, ia sekadar ritual dan solat Isya dirasakan tidak dapat ditunaikan pada waktunya atau dilambatkan apa lagi hendak berterawih sama ada mengerjakannya di masjid, surau atau di rumah sekalipun.
Jika silap hari bulan kita tidak mengerja solat terawih dan Isya yang lembab disebabkan telah dipenuhi dengan timbunan makanan dan limpahan air manis.
Bagaimanakah kesan kebangkitan kita selepas berbuka, adakah kita dapat erti sebenarnya berpuasa dengan penuh ketakwaan dan dalam keadaan bagaimanakah kebangkitan kita daripada kubur ketika hari pembalasan di padang Mahsyar kelak?
NOTA: Penulis adalah bekas pensyarah Universiti.






Leave a Reply