Tindakan undang-undang ke atas mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin didakwa sebagai pendakwaan terpilih dan bermotifkan politik. Tanggapan semudah itu boleh disamakan seperti tindakan undang-undang ke atas Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa nama lagi pemimpin politik.
Oleh kerana semuanya melibatkan orang politik, tak dapat tidak, mudah untuk sesiapa menyatakan bahawa ia berunsurkan politik.
Tindakan bermotifkan politik ini khususnya dalam kalangan orang Melayu tidak pernah padam. Daripada ribut dalam ‘secawan kopi’ Umno, ia melimpah melibatkan parti-parti lain sekarang dan berpuak pula antara gabungan-gabungan parti.
Kalau menoleh ke belakang, 36 tahun lalu, politik Melayu berdepan cabaran getir apabila berlaku perseteruan dalam pemilihan Umno melibatkan gandingan Team A, Dr. Mahathir Mohamad–Ghafar Baba ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah-Musa Hitam daripada Team B bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Razaleigh dan Musa yang berseteru dalam dua pemilihan sebelumnya pada 1981 dan 1984, bersatu atas kepentingan bersama menentang Mahathir – Ghafar. Tidak pelik dan semakin biasalah alasan kepentingan bersama atau ‘common interest’ ini.
Selekoh Tajam tidak mahu mengulas mengapa terjadi begitu dan apa kepentingan bersamanya yang menjadi sejarah terbuka kepada semua orang.
Kemenangan tipis Mahathir-Ghafar (majoriti 43 dan 41 undi) telah membawa kepada pengharaman Umno pada 4 Februari, 1988 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan keputusan pemilihan pada 24 April 1987 itu, dicabar oleh sekumpulan ahli Umno yang menggunakan nama kumpulan 11.
Sehingga begitu sudahnya orang Melayu berpolitik dan dunia politik Melayu. Umno khususnya tidak pernah sunyi daripada perbalahan dan persengketaan apabila berbeza atau bertembung antara kepentingan dan saling menyokong pula setiap kali ada kepentingan bersama.
Apabila Umno didaftarkan semula pada 1988 itu, pendaftaran keahlian bagaikan ‘ditapis’ untuk mengelakkan suku sakat Team B menyertai parti. Lantas orang Johor mengadakan Perhimpunan Melayu Johor dengan resolusi supaya Umno menerima keahlian orang Melayu Johor tanpa syarat.
Sepuluh tahun selepas diharamkan, Anwar pula dipecat daripada Umno. Kalau Tengku Razaleigh dulunya menubuhkan Parti Semangat 46, konco-konco Anwar mendaftarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Politik Melayu berpecah lagi apabila atas kepentingan bersama kumpulan Mahathir dan kumpulan Muhyiddin yang mahu mencabar Umno pimpinan Najib, mewujudkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2016. Mereka berjaya melakukanya pada Pilihan Raya Umum 2018.
Namun ia tidak berakhir di situ kerana sehingga hari ini politik Melayu terus bertikai, berseteru dan berbalah. Mereka bukan berselisih pendapat dan mencari titik pertemuan demi kebaikan semua orang, tetapi mempertahankan kepentingan masing-masing.
Semuanya atas kepentingan tertentu bermula 1955 apabila satu puak keluar Umno menubuhkan PAS, diikuti Semangat 46, kemudian PKR, muncul Bersatu dan beberapa lagi yang kita pun dah keliru apa asas dan idelogi perjuangan mereka termasuklah nama seperti Amanah, Pejuang, Muda dan Parti Bangsa Malaysia.
Tidakkah mereka semua ini berasa penat? Sebab kita yang melihat daripada jauh pun sudah berasa letih, apatah lagi kalau terlibat dalam kancah politik Melayu yang semakin menyedihkan dan penuh lara.
Yang nyata dan jelas adalah – Sudah begitu lama politik Melayu ini bergelut, bergolak, berkrisis dan berpecah bagaikan tiada penghujung dan noktahnya.
Memanglah dalam apa-apa urusan di dunia ini, sesuatu yang dinamik menunjukkan ia hidup, bertenaga, berkembang dan sentiasa menyesuaikan diri dengan peredaran masa dan keperluan zaman.
Tapi, politik Melayu sentiasa dinamik atas sebab yang salah.




Leave a Reply