KUANTAN: Banjir teruk yang melanda Kampung Rancangan Penempatan Semula (RPS) Bukit Serok, Rompin telah merosakkan 180 rumah Orang Asli, dewan, masjid, surau, sekolah dan balai raya.
Justeru, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang merayu lebih ramai sukarelawan untuk bersama-sama membersihkan perkampungan yang dilanda banjir sehingga mencecah bumbung minggu lalu.
Pengarahnya Johari Alwi berkata walaupun air sudah surut sepenuhnya, mangsa tidak dapat pulang ke rumah masing-masing kerana kesan lumpur yang tebal.
Lumpur yang menutupi dinding dan lantai memaksa penduduk untuk terus tinggal di dua pusat pemindahan sementara iaitu Taman Bimbingan Kanak-Kanak Orang Asli Gadak dan Dewan Bantura RPS Bukit Serok.
“Walaupun kita sudah menggerakkan pasukan sukarelawan, tugas yang sukar ini memerlukan lebih ramai orang kerana ia akan menjadi lebih rumit apabila lumpur menjadi kering kelak,” kata Johari yang turut bersama sukarelawan membersih SK Bukit Serok, di sini baru-baru ini.
JAKOA terus menyediakan bantuan makanan kepada penduduk di beberapa yang terjejas banjir, tanah runtuh dan terputus hubungan.
Bagaimanapun mereka masih belum mendapat jumlah rumah yang rosak dan kerugian dialami berikutan bercana banjir.
Lebih enam kampung Orang Asli di daerah ini ditenggelami banjir, antara Kampung RPS Bukit Serok, Kampung Buluh Nipis, Kampung Pelam, Kampung Gadak, Kampung Buluh Nipis dan Kampung Aur.

Keadaan banjir yang melanda Pahang baru-baru ini





Leave a Reply