Masyarakat antarabangsa dan rakyat Malaysia tidak terkecuali, mahukan kehidupan lebih sejahtera dengan alam sekitar terpelihara serta menikmati bersama ekonomi dan sosial dalam budaya kehidupan yang lebih lestari.
Perkara itu dijangka menjadi antara isi utama dibincangkan pada Persidangan Peralihan Tenaga Antarabangsa anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Ogos 2023 dengan memberi tumpuan kepada peralihan tenaga itu sendiri, isu pebandaran dan pengangkutan.
Tumpuan perbincangan iru bersesuaian dengan kebimbangan dalam laporan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB) bahawa kebanyakan bandar di dunia masih menggunakan bahan api fosil, lantas menyumbang lebih daripada 60% kepada pelepasan gas rumah hijau.
Demikian juga menurut Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa pengangkutan bandar menyumbang bersamaan 4 bilion tan pelepasan karbon dioksida, lebih 40% daripada jumlah pelepasan sektor pengangkutan.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Ir. Baharin Din, tumpuan kepada peralihan tenaga akan memesatkan lagi transformasi digital untuk menerapkan gaya hidup yang mampan serta pintar selaras dengan kehendak dan keperluan masyarakat.
“TNB sendiri mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dengan meningkatkan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB), memperkasa grid dan membangunkan ekosistem kenderaan elektri,” katanya dalam satu kenyataan diedarkan kepada media.
Katanya, inisiatif hala tuju kehidupan lestari masa depan itu adalah sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi agenda sejagat dengan melindungi bumi serta mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.
Pelancaran awal persidangan itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad sempena perasmian Malaysia Energy Literacy Programme (MELP), baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad (tiga, kanan) memasukkan simbol kilat ke dalam logo The Energy Transition Conference sebagai simbolik penyempurnaan pra-pelancaran persidangan itu selepas Majlis Pelancaran Malaysia Energy Literacy Program (MELP) pada 1 Mac 2023






Leave a Reply