Ada pihak termasuk media menyifatkan kerajaan mengambil langkah ‘berani’ apabila membentangkan bajet terbesar RM388.1 bilion pada Belanjawan 2023, Jumaat lalu. Dalam hal ini, ada wangnya, belanjakanlah seperti yang diluluskan.

Namun apa yang lebih ‘berani’ dalam Belanjawan Madani itu ialah tekad keduanya iaitu Reformasi institusi & tatakelola bagi memulih keyakinan. Ini bukan sahaja perlu keberanian, tapi mesti ada political will, untuk tidak sekadar memulih keyakinan tetapi benar-benar menjayakan pembaharuan.

Bertahun lamanya menjadi pengetahuan umum mengapa perlunya perubahan ini dan kemahuan politik diperlukan bukan sekadar memangkas cabang-cabang ketirisan, menutup lubang-lubang pembaziran, membetulkan kerenah dan ragam pelaksanaan, tetapi mencabut akar-akarnya sekali yang selama ini berumbi.

Selekoh Tajam mengalu-alukan cadangan mewujudkan Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat sebagai antara langkah membendung kepincangan ini. Ruangan ini pernah membangkitkan betapa tidak perlunya agensi berbelanja besar bagi mewujudkan gimik dan promosi perkhidmatan mereka.

Bukanlah sesuatu yang aneh, malah sudah menjadi kebiasaan agensi-agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan, GLC dan GLIC melantik konsultan dan outsource dalam melaksanakan program atau menghasilkan produk.

Budaya ini boleh membuatkan sesiapa pun akan terfikir apakah peranan sebenar pegawai dan kaki tangan yang bertanggungjawab dalam agensi dan GLC berkenaan? Apakah mereka tidak mampu melaksanakan sendiri program sedangkan menerima saraan tinggi?

Justeru, pernyataan dalam pembentangan semula Bajet 2023 menjadi tanda tanya:

“Kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan budaya kerja lapuk, peraturan tidak munasabah dan prosedur yang melambatkan. Masih banyak perkhidmatan Kerajaan menggunakan khidmat ejen hingga amalan rasuah itu menjadi sistemik,” petikan ucapan Belanjawan Madani.

Begitu jugalah apabila disebut bahawa antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia. Walhal, banyak biasiswa diberikan kepada pelajar saban dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

Sebuah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk menjadikan perkhidmatan kerajaan lebuh cerdas mengadaptasi teknologi dan digital bagi mengurangkan karenah birokrasi.

“Anjakan baharu juga diperlukan supaya dapat memboleh daya perkhidmatan awam bagi melaksanakan yang terbaik untuk rakyat tanpa batas sempadan Kementerian atau agensi,” kata Belanjawan Madani.

Inisiatif ini diharapkan tidak hanya dalam bentuk kertas. Ada banyak peruntukan yang dirancang untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan menggunung harapan agar ia benar-benar sampai pada jumlah yang betul kepada kumpulan sasaran.

Selain pembiayaan, kemudahan pinjaman dan dana perniagaan diuruskan oleh pelbagai agesi, kemudahan perniagaan termasuk premis dan gerai disediakan bagi mendorong peniaga kecil dan penjaja.

Elok benar dilihat juga bagaimana kemudahan perniagaan seperti di pasar borong boleh bertukar tangan dengan penyewa asal tidur nyenyak dan penyewa atas tangan, membayar kos sewaan lebih mahal sekali gus menjual barangan pada harga lebih tinggi.

Semua itu, jika tidak diurus dengan teratur, telus dan betul, akhirnya rakyat yang menjadi mangsa menerima kesannya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading