Salam sejahtera para pembaca budiman sekalian. Apa Khabar memperkenalkan ruangan khas Bumi Lestari. Ia adalah atas kesedaran bahawa manusia layak menikmati kehidupan lebih sejahtera dengan bersama-sama berkongsi khazanah dunia dan memelihara bumi yang semakin tua ini. Ruangan ini bakal memaparkan apa jua isu dan aktiviti manusia bahkan hal-hal alam sekitar yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan.
Semalam, (24 Feb 2023), Anwar Ibrahim sudah membentangkan bajet sulung Kerajaan pimpinannya dengan tema Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani.
Ruangan khas ini tidak berhasrat mengupas kandungannya atau apa ole-ole yang ditawarkan kepada rakyat. Apa Khabar berminat menyentuh mengenai dasar belanjawan ini yang menyeluruh dengan memenuhi agenda Matlamat Pembangunan Lestari/Mampan (SDG – Sustainable Development Goals).
SDG adalah kitab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut komitmen negara-negara seluruh dunia agar melindungi bumi dan membasmi kemiskinan untuk memastikan semua orang menikmati keamanan dan kesejahteraan melalui keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.
Maksud lestari atau mampan itu sendiri menggambarkan bahawa masyarakat dunia mahukan manusia berkongsi kehidupan dengan lebih seimbang dan saksama, lantas ia diperakui oleh 196 negara anggota PBB pada tahun 2015 dengan komitmen mengemukakan laporan setiap lima tahun.
Terdapat 17 matlamat ditetapkan oleh SDG dan Belanjawan Membangun Malaysia Madani menggarapnya dengan 12 ikhtiar utama yang berlandaskan kepada tiga tekad iaitu Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan; Reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan; dan Keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan (ketidaksamaan).
Untuk makluman pembaca, 17 Matlamat SDG itu ialah Tiada Kemiskinan, Kelaparan Sifar, Kesihatan dan Kesejahteraan, Pendidikan Berkualiti, Kesaksamaan Gender, Air Bersih dan Sanitasi, Tenaga Bersih dan Berpatutan, Pekerjaan Sesuai Dengan Pembangunan Ekonomi, Industri, Inovasi dan Infrastruktur;
Mengurangkan ketidaksamaan, Bandar dan Masyarakat Mampan, Pengunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, Tindakan Iklim, Kehidupan Dalam Air, Kehidupan di Darat, Keamanan dan Keadilan serta Perkongsian Demi Matlamat.
Ia mungkin perkara yang biasa kita dengar namun gabungan semua itu adalah agenda penting kehidupan masa depan dengan masyarakat dunia semakin memberi perhatian agar semua pihak komited kepada isu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG – Environment, Social and Governance).
Para pelabur dan pihak perbankan di seluruh dunia semakin menggunakan faktor bukan kewangan ini sebagai sebahagian daripada proses analisis mereka untuk mengenal pasti risiko material dan peluang pertumbuhan.
Justeru, semua organisasi dan syarikat tidak terkecuali di Malaysia, perlu menunjukkan komitmen mereka menjadikan ESG sebagai antara pertimbangan dalam membuat keputusan bisnes seandainya mahu mendapatkan sokongan pemegang taruh dan pelabur termasuk pengurus dana.
Justeru, tiga tekad yang mendasari Belanjawan Malaysia Madani khususnya kemampanan, reformasi dan tata kelola, adalah landasan tepat untuk menjadikan pentadbiran kerajaan merangkumi kementerian dan jabatan, pengurusan sumber dan perdagangan berfungsi dengan lebih berkesan demi manfaat rakyat.
Secara spesifik pula Anwar menggalakkan amalan hijau dalam perniagaan dengan beberapa inisiatif termasuk BNM menyediakan dana pinjaman sehingga RM2 bilion bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon;
Pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) ditambah baik dengan nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga 2025 dan Khazanah menyediakan RM150 juta bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk mendukung pasaran karbon dan penghutanan semula.
Oleh itu, kita berharap ucapan belanjawan setebal 83 muka surat itu yang sarat dengan agenda pengagihan menyeluruh dan holistik, sejajar SDG yang menjadi tuntutan masyarakat antarabangsa, benar-benar diterjemahkan pelaksanaannya demi kesejahteraan manusia iaitu rakyat Malaysia.





Leave a Reply