Kebetulan beberapa hari lalu, tertonton satu episod drama siri bertajuk Projek: High Council. Ia mengenai ragam pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mengenai pemilihan ketua dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 menjelang mereka menjadi paling senior tahun berikutnya.

Ia bukan pemilihan ketua murid, headboy yang dirujuk sebagai ketua pengawas, tetapi mencari ketua (kapla) dalam istilah digunakan drama High Council itu yang mencorakkan budaya kehidupan pelajar di sekolah berkenaan.

Kita lupakan kisah tersebut kerana ia bukan tujuan artikel ini. Kisah High Council itu mencetuskan keinginan untuk melihat latar belakang para pelajar yang mewarnai kehidupan di SBP yang diperkenalkan di Malaysia sejak sebelum Merdeka.

Antara SBP lama dan bertradisi ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK – 1905), Kuala Kangsar; Kolej Tunku Kurshiah (TKC – 1947), Seremban; Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR – 1956), Seremban; Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR – 1957), Ipoh dan Sekolah Tun Fatimah (STF – 1965), Johor Bahru.

Secara tradisinya semua sekolah ini yang satu gender sahaja pelajarnya, diwujudkan sebagai SBP bagi memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk mendapat akses lebih baik kepada pendidikan, kecuali MCKK yang berbeza sedikit menerima kemasukan anak-anak bangsawan sejak awal penubuhannya.

Pendekatan SBP ini menjadi popular dalam usaha kerajaan menyusun semula ekonomi, merapatkan jurang luar bandar dengan bandar dan membasmi kemiskinan termasuk melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Selepas DEB diperkenalkan banyak SBP dalam kategori Sekolah Menengah Sains diwujudkan di merata negeri, di samping Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang juga mempunyai agenda hampir sama di bawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketika itu, ibu bapa di luar bandar berasa lega apabila anak mereka layak memasuki SBP atau MRSM dengan pembelajarannya tertumpu, kemudahan mencukupi, makanan minum terjaga dan pergaulan menjadi lebih luas.

Ramai yang menyerahkan untung nasib kepada kerajaan dan ada yang tidak pernah menjejak kaki ke sekolah sepanjang anak mereka menerima ilmu pengetahuan dan dibentuk sahsiah diri oleh budaya kehidupan di asrama.

Pergaulan pelbagai latar belakang termasuk anak petani, nelayan, penarik beca hinggalah kepada kerani dan guru menjadikan ramai anak-anak desa muncul sebagai remaja bukan sahaja berilmu, bahkan berjiwa kental apabila meninggalkan bangku persekolahan.

Berdekad lamanya anak-anak kampung ini membuktikan bahawa pendidikan dapat menghentikan putaran ganas kemiskinan dan belenggu berkenaan diputuskan hanya melalui satu generasi dalam sesebuah keluarga yang berjaya dalam pendidikan.

Ramai pelajar-pelajar SBP dalam kalangan luar bandar layak ke menara gading, malah menyambung pelajaran di seberang laut serta menjawat jawatan penting kerajaan dan sektor swasta, menjadi tenaga profesional dan usahawan berjaya.

Kita tidak pasti sama ada masih ramaikah anak-anak kampung yang memerlukan peluang di SBP ini bagi mendapat akses pendidikan terbaik, setara dengan anak-anak bandar termasuk dalam kalangan keluarga berpendapatan isi rumah lebih lima angka.

Ini menjadi tanda tanya kerana sekarang ini dapat dilihat berderet kenderaan dan kereta mewah milik ibu bapa datang menjenguk anak mereka di SBP, berbanding masa lalu yang hanya sesekali kelihatan sebuah dua kereta memasuki perkarangan asrama.

Malah, sudah menjadi budaya pula ibu bapa digalakkan datang pada setiap hujung minggu untuk melihat perkembangan anak-anak mereka yang kemudiannya menjadi rutin membawa baju bersih dan bergosok bagi menggantikan pakaian kotor yang dibawa pulang.

Kebanyakan pelajar tidak lagi terdidik mengurus pakaian, keperluan dan kehidupan sendiri berikutan begitulah yang berlaku pada mingu-minggu berikutnya dan sudah menjadi kebiasaan pula, pelajar-pelajar (seperti di MRSM) dibenarkan pulang bermalam pada hujung minggu.

Memanglah bagus ibu bapa mengambil berat mengenai perkembangan anak masing-masing dan tidak membiarkan 100 peratus kepada tanggungjawab sekolah, tetapi ada kalanya menggagalkan peraturan untuk dikuatkuasakan mereka semakin gemar campur tangan dalam urusan sekolah.

Maka, ada dua perkara yang boleh diperhatikan iaitu pertama; Apakah SBP masih memberi peluang kepada golongan memerlukan dalam usaha merapatkan jurang ekonomi dan kedua; Apakah pengisian di SBP mampu membentuk sahsiah generasi masa depan yang diperlukan negara?

Barangkali ini perlu difikir-fikirkan oleh Menteri Pendidikan kerajaan baru kita.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading