Ramai menunggu Anwar Ibrahim membentangkan bajet kelapannya sebagai Menteri Kewangan pada 24 Februari ini. Kita menanti pemikiran beliau dalam suasana hari ini yang hampir serupa tetapi tidak sama, berbanding ketika beliau membentangkan bajet ketujuh berturut-turut 26 tahun lalu.

Ketika beliau mencadangkan Belanjawan 1998 di Dewan Rakyat pada 17 Oktober 1997, negara sedang terperangkap dalam krisis kewangan serantau yang melanda lebih 16 bulan beberapa negara Asia Timur, dengan nilai Ringgit merudum lebih 29 peratus dan berterusan sehingga lebih 50 peratus, sekali gus menyebabkan kejatuhan lebih serius kepada Bursa Malaysia.

Negara-negara dilanda kegawatan ekononomi mengalami peningkatan hutang tak berbayar (NPL) bank-bank manakala syarikat-syarikat mengalami kerugian yang besar. Justeru kerajaan tidak dapat memungut hasil yang cukup untuk membiayai perbelanjaan.

Itu adalah bajet Anwar paling mencabar selepas beliau dikagumi rakan-rakan sejawatannya kerana membawa Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus setahun dalam enam tahun berturut-turut sejak menjadi Menteri Kewangan pada 1991.

Sudah tentulah pencapaian itu bukan diraih oleh Anwar berseorangan, tetapi diwarisinya daripada Menteri Kewangan terdahulu, Daim Zainuddin selain sokongan dan kerjasama seluruh anggota Jemaah Menteri serta sokongan kuat Perdana Menteri.

Kini, Anwar kembali ke tampuk kekuasaan yang lebih tinggi sebagai Perdana Menteri dan kita menunggu apakah beliau mampu membuatkan rakyat yang terhimpit dalam pemulihan pasca Covid-19 dengan Ringgit yang tidak pulih, kagum dengan bajet kelapannya.

Bagi penganalisis ekonomi, bajet adalah alat dan senjata terpenting yang dimiliki oleh kerajaan memulihkan ekonomi negara dan sara hidup rakyat, dengan Anwar dilaporkan menjanjikan Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula di Dewan Rakyat mengandungi banyak berita baik untuk rakyat.

“Tumpuannya di bidang digital, sekuriti makanan, industri kecil dan sederhana (IKS). Ia berbeza daripada tumpuan projek-projek bagi konglomerat besar… kita ubah keutamaan,” beliau dipetik bekata demikian termasuk kemungkinan memperkenalkan subsidi bersasar.

Dalam satu kaji selidik #SuaraMalaysia kendalian Astro AWANI, 57 peratus daripada 1,566 responden mahukan bantuan sara hidup diberi tumpuan manakala 22 peratus menyatakan subsidi sebagai keutamaan manakala 21 peratus pula ingin melihat cukai diberi perhatian.

Anwar memberitahu media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 baru-baru ini bahawa pembentangan semula itu adalah bajet baharu sama sekali terutama terasnya, dasarnya dan pengubahsuaiannya walaupun angka-angka pendapatannya tidak banyak yang boleh diubah.

Sudah tentu beliau melihat bahawa bajet asal 2023 tidak sesuai dengan pemikiran dan hasrat hatinya. Ironinya, pembentang bajet asal,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ada dalam kabinet Anwar sekalipun di portfolio berbeza sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Rakyat sedang menonton Anwar berbincang di sana sini dalam mempersiapkan bajet yang bakal memberi sinar harapan dan masa depan lebih baik, selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

Janjinya, ia bakal mencerminkan tanggungjawab kerajaan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial dengan mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan menggalakkan pelaburan dalam suasana pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana.

Bagaimana beliau mahu melakukannya? Hakikatnya nisbah hutang dan liabiliti negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu terus terkawal. Hutang dan liabiliti negara hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80% daripada KDNK pada 2022.

Kalau ekonomi 1998 dan beberapa tahun seterusnya ‘dipertahankan’ oleh Dr Mahathir Mohamad dengan mengikat Ringgit dengan dollar Amerika bagi membolehkan perjanjian perniagaan dapat diurus dengan lebih baik kerana nilainya ditetapkan, kita ingin melihat melihat langkah lebih berkesan daripada Anwar.

Kita menunggu untuk dikagumi oleh Anwar.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading