Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersedia memperkukuh kerjasama dengan pihak industri dengan membuka lebih banyak ruang khususnya dalam menggalakkan perkongsian teknologi dan mempersiapkan para pelajar memenuhi keperluan tenaga mahir dan separa mahir.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Zahari Ismail berkata, sebagai penyedia utama TVET di negara ini, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menyambut baik seruan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menggesa kerjasama pihak swasta dan industri memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Di POLYCC, kita mempunyai Centre of Technology (COT) dan Industry on Campus (IOC) yang bertujuan memperkenalkan teknologi industri secara langsung kepada pelajar.

Dr Mohd Zahari ketika menyampaikan ucapan beliau sebelum bengkel bermula

“Namun kita percaya, masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dibuat bagi memperkukuh fungsi dan peranannya,” ujarnya ketika berucap di Bengkel Hala Tuju Prestasi Pencapaian Industry Education Centre (IEC) yang diadakan di Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan pada 3 Feb 2023.

Menurutnya, IEC berperanan sebagai pusat sehenti kepada pihak industri bagi menjalankan sebahagian daripada proses mereka di institusi dan pelajar dapat belajar dalam suasana industri sebenar di kampus.

Langkah tersebut bertujuan merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber tenaga pekerja mahir yang diperlukan oleh negara.

Beliau menambah, ini secara tidak langsung dapat mengekang lambakan pekerja asing di negara ini malah turut bertindak sebagai pembekal sumber tenaga mahir dan separa mahir ke negara luar yang memerlukan.

“Melalui IEC ini juga, kita akan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan kurikulum dan program pengajian yang ditawarkan adalah relevan dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Dr Mohd Zahari turut memberitahu EC juga bakal menjana pendapatan sendiri serta berupaya merancang, menyelaras dan melaksanakan pelan tindakan untuk lebih kompetitif serta mengatasi masalah tata kelola kewangan.

Turut hadir pada bengkel ini ialah Pengarah Bahagian Koordinasi TVET JPPKK, Dr Shamsuri Abdullah, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi JPPKK, Muhamad Rumzi Mamat dan Pengarah Politeknik Port Dickson (PPD), Dr Ishak Mohamad.

Para peserta bengkel bergambar bersama Dr Mohd Zahari (empat dari kanan, barisan hadapan)

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading