TANJUNG MALIM: Bagi memupuk elemen pendidikan keusahawanan dan kemasyarakatan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan Pasar Budaya dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah bertujuan memupuk budaya pendidikan keusahawanan dan kemasyarakatan.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Pasar Budaya yang bermula 28 Januari 2023 sebelum ini dikenali sebagai Pasar Antik diwujudkan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM) pada Oktober tahun lalu.
Ia bertujuan memberi peluang kepada warga UPSI dan masyarakat setempat serta pencinta barangan antik membelinya sebagai koleksi peribadi .
Namun, ia dijenamakan semula tahun ini dikenali sebagai Pasar Budaya bagi mengetengahkan pengalaman pembelajaran secara tidak formal kepada pengunjung berkaitan kebudayaan Melayu dengan melihat sendiri barangan antik, buku, majalah, produk makanan dan buah-buahan tempatan, mengunjungi Muzium Pendidikan Nasional serta 22 buah lokasi tarikan pelancongan yang ada di sekitar kampus ini.

Prof Md Amin (tengah) bersama peniaga barangan antik yang menjual piring hitam lama
“Saya yakin ia akan menjadi tarikan baru di UPSI, malah Tanjung Malim selain berupaya mempromosikan Muzium Pendidikan Nasional kepada masyarakat khususnya kepada pencinta barangan antik di seluruh negara.
Beliau berkata Pasar Budaya UPSI juga dapat memartabatkan elemen sejarah dan tradisi merangkumi unsur kesenian, kebudayaan dan warisan selain mewujudkan rangkaian kerjasama di antara pengunjung, ahli akademik, pelajar, dan peniaga barangan antik melalui penglibatan aktiviti yang dilaksanakan.
Sementara itu, pengarah IPM, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata peniaga yang terbabit termasuk peniaga tempatan yang bernaung di bawah FAMA, peniaga barangan antik seluruh Malaysia, penggemar barang antik dan pencinta sejarah, peniaga sekitar daerah Muallim serta warga UPSI iaitu pelajar dan kakitangan.
Pasar Budaya, katanya, memberi peluang kepada masyarakat untuk merasa pembelajaran secara tidak formal di UPSI , malah membantu peniaga tempatan untuk menjana pendapatan.
“Pasar Budaya UPSI ini juga memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar dan kakitangan UPSI untuk melibatkan diri di dalam bidang keusahawanan selain mengetengahkan lokasi dan tarikan pelancongan di sekitar Kampus bersejarah, iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
“Saya berharap Pasar Budaya ini akan menjadikan UPSI sebagai sebuah pusat pelancongan budaya dan pusat pendidikan yang berkaitan budaya melalui pembelajaran secara tidak formal merangkumi aspek kebudayaan, sejarah dan permuziuman, katanya.

Prof Tajul Shuhaizam (kiri) melihat barangan antik yang dijual seorang peniaga. (Gambar-gambar ihsan UPSI)
Pasar Budaya UPSI, tambah beliau, diadakan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang di perkarangan Bangunan IPSI (Tapak Food Truck), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Pertanyaan lanjut mengenai Pasar Budaya boleh menghubungi Encik Zu di talian 014-5009984.





Leave a Reply