Oleh Zaini Hassan

DHAKA:  Orang Bangladesh penuh berhemah. Setiap kali berselisih dengan mereka, salam akan dilontarkan. Bertanya khabar.

Semasa saya singgah solat Zohor di Masjid Jamek di kawasan Uttara, Dhaka seorang lelaki berjanggut panjang yang diwarnakan perang menyapa saya.

“Apa khabar, dari Malaysia?” Saya jawab dan kami bersembang pendek. Sebelum menunggu Zohor, dia mengeluarkan buku kecil dan meminta saya menulis nama saya. “Nombor telefon sekali,” kata beliau.

Saya pun menulis dalam buku kecil itu. Kemudian beliau terus meluru memasuki ke dalam jemaah yang sudah memenuhi saf. Saya melihat dia terus ke tempat imam dan memimpin solat. Allahuakbar. Imam Masjid Jamek rupanya.

Sepanjang berada di negara ini, saya melihat nilai orang Bangla yang sebenar. Mereka kini sudah berjaya di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat dan Britain komuniti itu sudah berjaya. Di Thailand juga. Di Malaysia mereka menguasai kedai-kedai IT, malah menjadi kemarahan orang tempatan apabila mereka menguasai jualan di pasar-pasar basah.

Mereka merantau kerana negara mereka bukan kaya seperti negara kita. Mereka bekerja keras dengan pekerjaan yang diremehkan oleh orang-orang tempatan.

Bangladesh baharu mahu menjadi status negara sedang membangun (developing country) menjelang 2026. Kita pula sudah terlalu lama di dalam status itu. Jika negara kita boleh ditadbir dengan baik dan tanpa kecelaruan politik, insya-Allah Malaysia akan menjadi negara maju (developed) dalam 10 tahun lagi.

Ini adalah pengalaman pertama saya berada di Bangladesh yang berkependudukan 165 juta orang.

Bersemangat rakyat Bangladesh menuju ke Ijtimak Tabligh Dunia di Tongi

Saya melihat rakyatnya cukup lasak. Berada di Ijtimak Tabligh Dunia di Tongi, daerah Gazipur di luar bandar raya Dhaka, berupaya melihat kehidupan sebenar rakyat negara ini.

Berduyun-duyun mereka menuju ke ijtimak itu. Menanggung periuk belanga; menjunjung guni beras; dan pelbagai lagi. Mereka bergerak bagai tentera jalan kaki, menolak kereta sorong dan apa sahaja kenderaan. Habis ijtimak petang Ahad 22 Jan mereka berduyun-duyun pulang.

Ijtimak dunia kali ke-56, yang merupakan perhimpunan Muslim kedua terbesar dunia selepas ibadah haji, ditutup dengan doa-munajat terakhir (dikenali di sini sebagai akheri munajat) sebelum Zohor, Ahad.

Semasa doa itu dibacakan, difahamkan kerajaan Bangladesh turut memberi kelepasan kepada kakitangannya mengikuti munajat itu. Suasana hiruk-pikuk orang ramai berdiri di atas jambatan Sungai Turag, yang kedua-dua tebingnya adalah tapak ijtimak itu, untuk bersama-sama mengaminkan doa, cukup menginsafkan kita.

Bergambar bersama Datuk Seri Pahamin Rajab (berkopiah hijau) salah seorang tokoh dakwah Tabligh Malaysia. Turut bersama Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, saya, Ustaz Hussein dan Zarif.

Doa yang dibacakan selama 30 minit itu memohon ke hadrat Allah keampunan, kesucian hati dan terhindar daripada kerosakan dan kebinasaan.

Semangat berdakwah mereka cukup hebat. Jenis orang seperti inilah yang menggerakkan agama suci itu ke pelosok dunia. Walaupun mereka hidup susah, agama adalah segala-galanya.

Hidayah agama itu perlu dikembangkan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kerja-kerja dakwah diatur dengan begitu tersusun. Ia tidak boleh terhenti. Ia bergerak seperti detikan jam.

Usaha ijtimak itu mengumpulkan markaz-markaz tabligh dunia — dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, China, Asia Tengah, rantau Arab, Australia, Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain penjuru alam.

NOTA: Artikel ini pertama kali disiarkan di Bebas News pada 24 Januari 2023

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading