Oleh AJI Tasir
Apabila kerajaan baharu pimpinan Anwar Ibrahim secara spesifik memasukkan Kos Sara Hidup kepada nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), ia memberikan harapan baru kepada rakyat.
Adalah jelas lagi tepat apabila ia menjadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang secara mudah difahami tujuannya mahu memastikan kos sara hidup lebih wajar untuk rakyat, bukan sekadar urus hal ehwal pengguna.
Lebih menarik, menterinya adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA) selama lapan bulan di bawah kepimpinan kali kedua Dr Mahathir Mohamad, Salahuddin Ayub sekali gus menjadikan pemilihan beliau menerajui KPDN kena pada tempatnya.
Ini adalah peluang Salahuddin untuk membuktikan titis air matanya ketika membaca warkah seorang petani dari Sungai Besar di majlis hala tuju kementerian MOA pada Februari 2019, bukan dibuat-buat dan benar-benar daripada perasaan mendalam di lubuk hatinya mengenai kemiskinan tidak berkesudahan petani di negara ini.
Menggunakan frasa ‘Selagi nyawa di kandung badan’ tekadnya mahu membela nasib warga petani, nelayan dan penternak, terbantut apabila berlaku perubahan kerajaan dan beliau memohon maaf jika gagal di MOA kerana setakat setahun lapan bulan hayatnya di kementerian berkenaan.
Sekarang, amanah yang diberikan Anwar kepada Salahuddin cukup besar dan mempertaruhkan harapan seluruh rakyat yang sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup dalam tekanan inflasi, yang mana kenaikan harga barang berlaku susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) empat kali berturut-turut.
Harapan rakyat menggunung terhadap kerajaan baru ini, khususnya kenaikan harga makanan dan Salahudin tentunya mampu melihat rantaian bekalan makanan melalui pengalamannya sebelum ini dalam sektor pertanian.
Beliau perlu meneliti bagaimana harga makanan daripada peringkat ladang dan kebun ditentukan di sepanjang rantaian berkenaan sehinggalah ia sampai di atas meja makan.
Saban masa kita mendengar Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjalankan kajian kos makanan dari kebun hinggalah ke meja makan rakyat, dengan harapan mencari langkah dan penyelesaian terhadap manipulasi orang tengah.
Kerajaan terdahulu pula ada menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi selain bertahun-tahun kita dimaklumkan mengenai pelbagai inisiatif termasuk kawalan harga, penetapan harga siling dan sebagainya; namun semua itu kelihatan tidak banyak mengubah keadaan.
Kenaikan harga barangan khususnya makanan terus berlaku dan sering juga dirasakan tidak munasabah apabila selalunya dikaitkan dengan kenaikan harga bahan api disusuli kos pengangkutan, tetapi tidak pula berlaku penurunan apabila kos bahan api turun.
Beberapa hari lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dipetik sebagai menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.
Penganalisis sekuriti menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan berkemungkinan turun sehingga tiga peratus tahun ini berikutan penyusutan permintaan akibat kekangan kewangan pengguna, namun belum ada tanda-tanda berlaku dan pengguna perlu terus berbelanja harian.
Justeru, Salahuddin perlu meleraikan kekusutan ini termasuk peniaga yang sentiasa memindahkan kosnya kepada pengguna apabila berlaku kenaikan harga sumber, tetapi enggan pula bertolak ansur ketika penurunan harga bahan mentah.
Kita amat berminat untuk melihat impak lebih bermanfaat daripada inisiatif penubuhan sekretariat tetap diterajui KPDN bersama Kementerian Ekonomi bagi menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat, yang diumumkan oleh Salahuddin pada penghujung tahun lalu.
Menurut beliau, sekretariat diketuai ketua setiausaha dua kementerian itu serta dianggotai pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), akan mengemukakan pelan yang komprehensif dalam menggarap persoalan kos sara hidup.
Kita berharap agar kedua-dua kementerian ini yang diterajui pemimpin baru, muda dan bijak pandai itu, mampu mewujudkan sesuatu yang mampan dalam mengurus kos sara hidup rakyat. Jika benar-benar berjaya, tidak perlulah lagi menitiskan air mata.





Leave a Reply