Baru-baru ini, Admin bercuti ke Muar, Johor di dalam misi mencari tempat makan dan minum yang enak. Untuk menyenaraikan kesemuanya di sini memang akan menjadi senarai yang panjang.
Oleh itu, kami menyarankan Top 5 tempat makan yang mesti dikunjungi apabila berada di Muar (atau sering disebut sebagai Muor oleh penduduk tempatan).
- RUMACABUK
Dari sebuah rumah papan yang terbiar di Jalan Abdul Rahman, sekumpulan anak-anak muda telah mengambil inisiatif membersih dan menaik taraf bangunan yang sudah berusia lebih 50 tahun ini bertukar menjadi sebuah “chic café”.
Hidangan yang harus dirasai termasuk nasi lemak kukus berlauk, nasi briyani kambing dan ayam serta asam pedas ikan jenahak.
Selain dari menikmati makanan dan minuman yang kesemuanya lazat, pengunjung bolehlah menerokai bangunan unik dua tingkat yang terletak di tepi jalan raya yang sibuk, mengimbau kembali ketika di kampung dahulu.
Kehadiran Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Rahman baru-baru ini menyemarakkan lagi Rumacabuk yang baru dibuka pada bulan November lalu.

- KEDAI KOPI ALSAEED
Sebuah kedai makan yang berkonsepkan tahun 70-an ini terletak di Jalan Ismail. Makanan yang disediakan termasuk lontong kering, nasi lemak dan sate (orang Muor makan sate waktu sarapan).
Masuk di dalam dan anda akan berada di tahun 70-an, dengan perhiasan barang-barang lama, didendangkan pula dengan lagu-lagu pada zaman itu.
Kadang-kadang terserempak pula dengan seorang lelaki berambut afro, berbell-bottom berlegar di dalam kedai yang sentiasa penuh. Biasanya orang ramai akan ke sana untuk bersarapan, ditutup pukul 12 tengah hari.

- WARUNG KETUPAT AIR TANGAN IBU
Selalunya ketupat nasi hanya dihidangkan pada Hari Raya. Tetapi di Warung Ketupat Air Tangan Ibu yang terletak di Parit Pinang Seribu, ketupat dihidangkan setiap hari. Kalau rindukan masakan ibu, bolehlah ke sini. Dengan lebih 40 jenis makanan, anda pasti tidak puas dengan hanya bersarapan di sini, boleh diulang untuk makan tengah hari.
Hidangan istimewa selain ketupat adalah lodeh, sambal kacang, serunding, sate dan pelbagai lagi masakan orang Muor. Layan pula dengan Kopi O kaw. Perghhhhhh, bak kata orang Muor!

- CAFÉ TOMMISTAN
Terletak di Parit Pechah, tetapi suasananya ala-ala tepi laut. Nak menuju ke sana perlu berhati-hati kerana terpaksa melalui ladang kelapa sawit dan jalan pun kurang elok, tetapi apabila sampai, hati puas kerana tempatnya yang sesuai untuk berInstagram.
Ramai yang datang untuk bergambar tetapi akhirnya terjebak juga merasai makanan dan minuman enak-enak.
Ketika Admin berada di sana, terdapat dua pasangan pengantin membuat photoshoot di sana.

- MUAR SOUP HOUSE
Terletak di Jalan Sisi, Muar Soup House menawarkan pelbagai jenis sup. Boleh dimakan dengan nasi, cicah roti Banggali atau dihirup begitu sahaja.
Jika pergi di waktu malam, terdapat Muar Uptown berhampiran, pelbagai barangan dijual di sana.
Memang banyak lagi tempat-tempat makan yang viral di daerah yang dulunya dipanggil Bandar Pencen, tetapi kini meriah dengan tempat-tempat makan yang berkonsepkan kafe.






Leave a Reply