
Bagaimana usul tambahan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun ini, boleh dibentangkan dan diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berakhir Sabtu lalu, tidak perlukan penjelasan.
Tidak perlu sesiapa pun berhujah atau menganalisis mengapa jurucakap Negri Sembilan membentangkan usul tambahan, dan kemudian di akhir persidangan diluluskan dengan kaedah perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyatakan sokongan.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata dalam undian pada jam 4.52 petang 14 Januari di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu:”Majoriti perwakilan Umno bangun serta angkat tangan menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden dengan satu tambahan, iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.”
Sangat mudah prosesnya bagi satu matlamat yang sangat penting lagi besar kesannya kepada sebuah parti yang lebih tujuh dekad menjadi tulang belakang politik negara dan sedang bergelut untuk kembali menjadi relevan kepada rakyat.
Namun, itulah Umno yang sentiasa berbuat sesuatu atas apa jua pertimbangan yang sering kali dilihat tidak mengendahkan pandangan dari luar parti itu, barangkali ahli-ahli parti juga, serta ‘lari’ daripada norma, amalan, budaya dan rasional fikir tamadun manusia.
Ia juga bagaikan tidak seiring dengan suara ahli-ahli parti itu dan para kepimpinannya di pelbagai peringkat bahagian dan cawangan yang meratapi kekalahan paling buruk dalam sejarah Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Mengapa majoriti 2,600 perwakilan dari 191 Umno Bahagian menerima usul tambahan itu dan meluluskannya, sedangkan gembar-gembur sebelumnya mahukan amalan demokrasi melalui pemilihan di semua peringkat dilaksanakan sepenuhnya.
Malah, sehari sebelum perhimpunan agung itu, tersebar rakaman sidang media ketua-ketua bahagian yang mereka akui dalam jumlah majoriti, mahu supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan, sekali gus bermakna mengekalkan pemimpin yang mereka katakan menjadi punca kekalahan dalam PRU.
Dari sisi lain, jika pertandingan dua jawatan tersebut dibenarkan dengan Ahmad Zahid Hamidi dapat mengekalkan jawatan (ramai yang yakin beliau mampu), ia adalah suatu proses keabsahan dan seterusnya menutup suara-suara yang menyalahkan beliau sebagai punca kepada pergelutan Umno sekarang.
Kini, tanggungjawab itu dan apa jua cabaran terhadap Umno berada di bahu lebih 2,600 perwakilan di PAU 2022 yang dipilih oleh ahli-ahli parti di peringkat bahagian dan tidak usah lagi menunding jari kepada kepimpinan tertentu.
Ketua-Ketua Bahagian Umno, timbalan, naib, ketua-ketua sayap bahagian dan perwakilan bahagian yang menjadi antara kalangan mereka yang membuat ‘bising’ berikutan keputusan PRU-15, telah membuat pilihan menuju PRU berikutnya.
Justeru mereka mempunyai tugas luar biasa untuk memastikan Umno bukan sekadar gah di atas kertas dengan jumlah keahlian lebih 3.4 juta orang di lebih 22,270 cawangan, tetapi mampu meraih semula kepercayaan rakyat.
Tugas luar biasa yang amat berat kerana hakikatnya Umno tidak lagi merata keberadaannya dan semakin dipandang sepi di sisi masyarakat.
Sebagai contoh, di sebuah pangsapuri sederhana 160 unit di Cheras, tidak seorang pun penghuninya yang terdiri daripada 90 peratus Melayu menjadi ahli Umno, bahkan tidak peduli pun mengenai apa yang berlaku di PAU 2022.
Senario yang sama berlaku di merata tempat di Lembah Klang, apatah lagi jika di kawasan elit dan kondominium, malah sudah pun menular di rumah-rumah pangsa yang mana cawangan Umno hanya disertai segelintir penduduk.
Justeru, apakah Umno diperlukan atau didamba oleh masyarakat di luar bandar sahaja? Jika itu berlaku, Umno hanya menjadi parti kampung yang memperagakan kehebatan apabila datang bersidang di Kuala Lumpur.
Jika masih sudi, sama-samalah kita lihat apakah masih ada sinar perubahan dalam Umno. Jika tidak, maaf Umno, kalian tidak relavan lagi.





Leave a Reply