
Jalan persekutuan di Sabah adalah sepanjang 1,503 kilometer. Data Kementerian Kerja Raya pada setakat April tahun 2022 mendapati hanya 300 kilometer berada pada tahap ‘sangat baik’ dan 301 kilometer lagi dikategorikan pada tahap ‘baik, tapi perlu pembaikan kecil’. Sepanjang 237 kilometer pula diklasifikasikan sebagai ‘jelas perlu pembaikan’. 137 kilometer lagi sedang dibangunkan untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo. Manakala selebihnya, 524 kilometer dikategorikan sebagai ‘daif dan sangat daif’.

Jika dicampurkan jumlah panjang jalan raya yang diletakkan sebagai memerlukan pembaikan adalah sepanjang 1,062 kilometer. Jika diolah kepada peratus pula, kira-kira 70 peratus jalan raya persekutuan atau jalan raya utama Sabah mengalami kerosakan.
Isu kerosakan dan kedaifan jalan raya utama Sabah ini sebenarnya sering disuarakan pengguna jalan raya melalui media sosial dan para pengamal media di Sabah. Namun, sehingga hari ini isu tersebut seperti tiada penghujung.
Jawapan yang diberikan kerajaan sebelum-sebelum ini, dalam memberikan kemudahan jalan raya yang baik adalah dengan membina Lebuh Raya Pan Borneo. Namun, pembinaan itu agak lambat berjalan dan kerajaan memaklumkan sedang berusaha gigih mempercepatkan pembinaan lebuh raya terbabit. Pembinaan lewat disebabkan pertukaran kerajaan pada 2018 dan juga disebabkan penularan Covid-19. Walaupun hakikatnya pembinaan itu terlalu lambat dan menjengah tahun 2023 ini, Sabah belum pun berjaya menyiapkan pembinaan Fasa Satu. Pengguna diminta bersabar, bersabar dan bersabar.

Tapi, sampai bila pengguna jalan raya di Sabah ini harus bersabar melalui jalan raya utama yang memang daif berkenaan. Disebabkan itu pengguna jalan raya Sabah pernah mengusulkan agar diskaun sepenuhnya bayaran cukai jalan bagi kenderaan persendirian diberikan khas untuk pengguna di Sabah. Pengguna berpendapat, tiada guna membayar cukai jalan sedangkan masih tetap melalui jalan raya yang teruk. Diskaun itu harus diberikan sehingga Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa Satu siap sepenuhnya. Bukan untuk selama-lamanya.
Ketika saya bertugas sebagai wartawan sambilan sebuah akhbar, usul berkenaan pernah saya ajukan kepada Yang Berhormat Anthony Loke pada bulan Jun 2022 (Pautan berita https://www.astroawani.com/video-malaysia/cukai-jalan-pengecualian-bayaran-di-sabah-wajar-dipertimbang-1970180 ). Beliau yang ketika itu adalah ahli parlimen pembangkang berkata kerajaan ketika itu perlu memberikan diskaun cukai jalan kepada pengguna jalan raya di Sabah.
Pada bulan Disember 2022, saya menghubungi Anthony Loke untuk bertanya perkara berkenaan selepas beliau dilantik semula menjadi Menteri Pengangkutan. Beliau mengatakan tidak akan memberikan kenyataan media melalui telefon. Bungkam saya dengan jawapan itu. Bagaimana harus saya mendapat jawapan secara berdepan sedangkan saya tiada upaya untuk bertemu Anthony yang berada beribu batu jauhnya di Putrajaya, dipisahkan oleh Laut China Selatan dari tempat tinggal saya di Sandakan, Sabah.
Diharapkan beliau dapat datang ke Sandakan membuat lawatan mengejut seterusnya mengadakan sidang media. Ini kerana pemberian diskaun cukai jalan ini sangat-sangat diperlukan pengguna jalan raya di Sabah.
Ia bukanlah penyelesaian kepada kedaifan jalan raya di Sabah. Tapi, sekurang-kurangnya mewujudkan situasi menang-menang diantara pengguna jalan raya Sabah dengan kerajaan yang lambat mewujudkan kemudahan jalan raya yang baik di Sabah.
Justeru, diharapkan diskaun penuh cukai jalan dapat diberikan dan dalam masa sama, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah segera disiapkan.
Syah Abdul Rahman, Sandakan, Sabah.






Leave a Reply