Oleh R Badlishah Ahmad
Jika dahulu, penulisan dokumen perlu menggunakan “typewriter”, alat yang sangat penting di zaman sekitar 80-90an. Semasa saya membuat Diploma pada tahun satu tahun 1992, terkial-kial menyiapkan tugasan matematik menggunakan “typewriter” sambil bersengkang mata menyiapkannya sehingga larut malam.
Walaupun pada ketika itu komputer sudah pun berada di pasaran tetapi agak mahal untuk dimiliki oleh pelajar marhaen seperti saya. Namun pada ketika ini bukan sekadar komputer malah telefon mudah alih sudah menjadi satu keperluan untuk semua orang dewasa, termasuk kanak-kanak yang berketurunan kayangan ataupun bangsawan.
Alat yang dipanggil komputer tersebut telah banyak membantu dan memudahkan kerja-kerja atau tugasan yang memerlukan penghasilan dokumen bercetak atau simpanan secara “softcopy” di dalam cakera simpanan. Kemudian timbul pula, teknologi rangkaian (Internet) yang mampu menyambung semua komputer bukan sekadar di dalam bilik kuliah, perpustakaan malah ke seluruh pelosok dunia yang mempunyai sambungan rangkaian Internet.
Melalui rangkaian komputer ini maka wujudnya WWW iaitu teknologi yang memudahkan capaian dokumen, imej dan bahan-bahan multimedia yang lain dan perkara ini lebih memudahkan usaha penghasilan bahan-bahan penulisan yang baru. Pencarian dokumen atau bahan-bahan yang berbentuk multimedia mudah diperolehi melalui enjin carian yang dikenali sebagai GOOGLE. Pelbagai gelaran yang kita dengar, ada yang menggelarnya pakcik dan makcik “gugel”, ada juga yang digelar ustaz dan ustazah “gugel”.
Namun semua teknologi ini telah membantu pelajar-pelajar universiti, ahli akademik dan juga seluruh lapisan masyarakat yang ingin memperolehi ilmu atau maklumat yang berguna. Namun bukan semua teknologi-teknologi ini memberi manfaat, ada juga maklumat yang tidak baik turut diperolehi melalui kecanggihan teknologi ini, seperti cara membuat bom, menceroboh sistem komputer orang lain (“computer hacking”), pornografi dan lain-lain.
Setakat ini segala maklumat sama ada yang baik atau tidak sangat mudah diperolehi, namun bergantung kepada niat masing-masing.
Kini, teknologi Kecerdasan Buatan atau “Artificial Intelligent (AI)” telah memasuki fasa yang sukar dijangka kesannya kepada semua, berapa banyak manfaat atau mudaratnya.
Antara teknologi yang kian berlegar-legar di Tik Tok (bukan Facebook ya…) adalah teknologi ChatGPT. Terdapat pelbagai lagi teknologi AI yang berada di hujung jari anda menunggu untuk dijelajahi yang tidak dapat dibincangkan di dalam penulisan ini.
ChatGPT adalah alat pemprosesan bahasa semula jadi menggunakan teknologi AI yang membolehkan pengguna berbual (dalam bentuk teks) dan berinteraksi seperti manusia. ChatGPT boleh menjawab soalan, membantu anda dengan tugas seperti mengarang e-mel, esei dan kod sumber bahasa pengaturcaraan komputer.
Penggunaan teknologi ini dibuka kepada orang ramai secara percuma (namun pengguna perlu mendaftar melalui emel atau akaun google) kerana ChatGPT berada di dalam fasa penyelidikan dan pengumpulan maklum balas dari pelbagai pengguna.
Maksudnya masih dalam peringkat experimen melalui interaksi sebenar dengan semua lapisan. Walaupun ChatGPT sangat berkuasa (memberi penjelasan dalam bentuk penulisan), tetapi ia masih memerlukan beberapa penambahbaikan kepada sistem tersebut bagi memastikan maklumat atau fakta yang diberi adalah betul dan tidak bercanggah.
Agak menakjubkan juga sistem ini kerana ia mampu memberi jawapan bernas dari segi penulisan (terutama Bahasa Inggeris) di dalam pelbagai bidang. Tanya sahaja apa juga soalan sama ada teknologi, kejuruteraan, sains sukan, sains sosial, pasti ada jawapannya. Antara kecanggihan ChatGPT ini ia mampu menulis suatu esei/karangan malah sajak, puisi dan pantun. Adakah hasil ChatGPT ini tepat dan mengikut fakta? Jawapannya, kemungkinan ia dan tidak (bergantung kepada latihan ataupun maklumat yang digunakan)
Mesin atau komputer yang dihasilkan kebanyakannya digunakan untuk membantu menghasilkan sesuatu yang kebanyakannya tidak mampu melaksanakannya, contoh menyiapkan salinan dokumen yang banyak dan tersusun (seperti kisah “typewriter” tadi), mencetak dokumen, membuat pengiraaan yang kompleks dan sebagainya. Oleh itu, komputer digunakan kerana ia mampu menghasilkan pengiraan yang cepat dan dengan kuantiti yang banyak.
Jika dahulunya “typewriter”, enjin carian Google memudahkan kita dalam menulis sesuatu bahan bacaan, kini ChatGPT mampu melakukan semua ini di dalam sekelip mata sahaja. Jadi apakah kita sudah bersedia melalui fasa cabaran ini? Fasa Kecerdasan Pembuatan atau AI. Sudahkan anda mencuba ChatGPT?






Leave a Reply