Oleh AJI Tasir

Ada banyak ulasan, komentar dan pandangan yang menyatakan Umno semakin terpinggir apabila dijangka terpaksa akur dengan pengagihan kerusi Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya  di beberapa negeri tahun ini.

Barangkali, kali inilah ahli Umno akan berasa benar-benar terpinggir selepas sekian lama mereka berada dalam penafian sekalipun meniti di bibir para pemimpinnya bukan sahaja di peringkat nasional dan negeri, malah di bahagian dan cawangan, bahawa Umno perlu berubah jika mahu terus menikmati sokongan rakyat.

Pelbagai istilah mereka gunakan untuk Umno berubah dengan menolak politik wang, merapatkan barisan, menghentikan adu domba, sabotaj dan cah keting, meremajakan Umno dan pelbagai lagi. Suara ini bergema daripada mesyuarat cawangan, ucapan penangguhan di persidangan bahagian dan menggegarkan Dewan Merdeka dalam perbahasan para perwakilan di Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Namun kehangatan di PAU beransur menjadi dingin dan sejuk selepas perwakilan kembali ke ‘sarang’ masing-masing untuk meneruskan budaya ‘kuasa’ kelompok mereka dan kekallah demikian tahun demi tahun perhimpunan agung.

Ia bagaikan suatu skrip penceritaan dengan watak-watak kepimpinan dan keperwakilan cawangan dan bahagian yang hampir sama saban tahun, terutama pada tahun pemilihan dalam suasana seronok berpolitik tanpa mereka memikirkan apa pandangan orang di luar parti.

Budaya pemilihan kepimpinan cawangan dan bahagian serta pencalonan presiden, timbalan presiden, naib presiden, majlis tertinggi serta semua barisan kepimpinan sayap, kekal secara ‘papan’ dengan pengaruh ketua bahagian ke atas sejumlah cawangan bagi memastikan kemenangan.

Pada tahun pemilihan, masing-masing lupa kepada isu Umno perlu berubah sedangkan suara hati rakyat meminggirkan Umno semakin menebal dan meningkatkan, kerana saban tahun apa yang dilaungkan tidak menjadi kenyataan hingga sampai ke peringkat mereka tidak lagi menaruh harapan kepada Umno.

Antara peluang mengubah Umno dalam aspek pemilihan kepimpinan tidak begitu meyakinkan khalayak apabila gembar-gembur pindaan perlembagaan parti pada tahun 2009 akan menjadikannya lebih demokrasi, dinamik, inklusif dan relevan sepanjang masa, agak mengelirukan.

Jutaan ahli parti disajikan dengan tujuh pindaan perlembagaan diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas itu termasuk memberi kuasa kepada 150,000 memilih kepimpinan nasional berbanding hanya 2,500 perwakilan di PAU yang mengundi dalam amalan pemilihan sebelumnya.

Ia mengambil kira purata 500 perwakilan bagi setiap 191 bahagian iaitu 95,500 ditambah dengan 51,000 perwakilan, meliputi tiga ketua sayap di 17,000 cawangan di seluruh negara, kata Naib Presiden Umno ketika itu,  Hishammuddin Hussein yang membentangkan pindaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno.

“Langkah ini akan memberi pengiktirafan kepada suara dan peranan ketua pergerakan sayap-sayap cawangan dan perwakilan di peringkat bahagian untuk terlibat dalam pemilihan pemimpin tertinggi,” katanya.

Dalam pelaksanaannya, pemilihan tidak seperti digambarkan apabila pengundian di peringkat bahagian tidak mengambil kira undi popular, iaitu undi diperolehi di setiap bahagian dijumlahkan untuk menentukan pemenang, sebaliknya menggunakan ‘college votes’ iaitu calon menerima undi terbanyak di bahagian hanya dikira memperolehi satu undi.

Maka, keputusan akan ditentukan berdasarkan satu bahagian satu undi dan berapa bahagian yang menyokong calon berkenaan. Kaedah ini tidak berbeza dengan amalan sebelumnya yang mana perwakilan bahagian mengundi pencalonan Majlis Tertinggi dengan setiap nama terpilih dikira mempunyai satu undi.

Pindaan yang tidak membawa perubahan sebenar ini barangkali turut menyumbang kepada kemerosotan keyakinan rakyat dan peminggiran Umno.

Demikianlah Umno beransur-ansur terpinggir di beberapa negeri, malah sudah lama terpinggir di Kelantan sejak PRU 1990 apabila tumbangnya kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan PAS dan parti Semangat 46.  Namun para pemimpin Umno dari Kelantan ligat berpolitik di peringkat nasional walaupun lesu di negeri sendiri.

Umno di beberapa negeri termasuk Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah mula mengalami fenomena itu secara beransur-ansur yang tergambar melalui keputusan PRU sejak 2008 sehinggalah kemuncak kesan peminggiran diterjemahkan oleh rakyat pada PRU terkini November lalu.

Pertengahan tahun ini, Umno akan mengadakan perhimpunan agungnya yang tertangguh tahun lalu. Apakah PAU kali ini akan menyaksikan Umno betul-betul berubah untuk kekal relevan atau sebaliknya menjadi lebih parah dan dipandang sepi?

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading