Oleh Aji Tasir

Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) melaporkan Perdana Menteri mahu agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran serta pembelian pakaian baharu bagi sesuatu majlis untuk mengelak pembaziran perbelanjaan.

Laporan itu memetik PM ke-10 berkata:”Tiap agensi perlu mengurangkan pembaziran, menghentikan pembaziran. Mengurangkan acara-acara yang meriah dan megah. Kalau nak bagi, sediakan kepada yang miskin, pekerja gred rendah atau golongan B40. Jangan beri kepada saya, menteri dan ketua setiausaha.”

Tiada kepastian apakah ia sekadar satu arahan atau dasar, atau lebih ringan sebagai nasihat sambil boleh juga difahami ia masih bergantung kepada budi bicara dan pertimbangan ketua jabatan atau menteri untuk menentukan sebesar mana penganjuran sesuatu majlis.

Bagaimana menteri dan barisan kepimpinan kementerian serta jabatan menyambut kenyataan ini? Rakyat boleh menunggu untuk melihat pelaksanaannya yang boleh meliputi seluruh jenis dan tujuan majlis atau barangkali ada pengecualian tertentu secara kes demi kes.

Oleh kerana Perdana Menteri menimbulkan perkara ini, lebih elok untuk kerajaan melihatnya dengan lebih terperinci lagi dengan tujuannya bukan sahaja untuk penjimatan dan perbelajaan berhemah, bahkan boleh juga menyumbang kepada usaha membendung ketirisan dan rasuah.

Banyak perbelanjaan diperlukan dalam menjayakan sesuatu majlis baik di peringkat negara dan negeri, hatta melibatkan komuniti di peringkat daerah sekali pun; bermula dengan mesyuarat, persiapan hinggalah kepada hari majlis dan kerja-kerja mengemas dan pembersihan selepas program berakhir.

Jika dilaksanakan di lapangan, lagilah besar kosnya meliputi khemah, pendawain, sistem pendingin hawa, pentas dan backdrop, kerusi, hiasan dan landskap, sistem siaraya, gimik pelancaran, jamuan, cenderamata dan sebagainya.

Itu belum lagi mengambil kira makan minum pekerja ketika membuat persiapan, tuntutan perjalanan kakitangan, penginapan dan elaun makan serta ada pelbagai lagi kos tersembunyi yang diserap oleh pelbagai jabatan terlibat, serta meningkat apabila ada perubahan pada saat akhir.

Jika program ini sudah berada dalam bajet tahunan, ia mungkin lebih mudah kepada jabatan menjayakannya, tetapi bagaimana jika tiada dalam perancangan seperti lawatan pemimpin dan orang kenamaan.

Rasanya mereka yang pernah menjadi menteri atau memimpin kementerian, jabatan persekutuan dan negeri termasuk di peringkat daerah, mengetahui kesukaran yang dihadapi bagi menguruskan perbelanjaan demi memastikan majlis berjalan lancar.

Justeru, acara pecah tanah dan perasmian-perasmian bangunan serta pejabat kerajaan atau majlis-majlis pelancaran progaram kerajaan yang hanya memberi manfaat daripada segi publisiti, sudah boleh dikaji dan dipertimbangkan semula.

Ada hikmah juga apabila Covid-19 melanda hingga membantutkan banyak hal dan menjadikan setiap kementerian, jabatan dan agensi-agensi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lebih berhati-hati demi kelangsungan operasi masing-masing.

Sebelum ini, agak galak agensi-agensi kerajaan melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada mencipta nama dan faedah politik kepada kepimpinan seperti inisiatif penjanaan semula yang memerlukan kos melantik konsultan, publisiti meluas dan pelancaran ke seluruh negara.

Tidak menghairankan pelaksanaan sesuatu inisiatif menjadi lesu kerana tabung sudah menghampiri defisit selepas selesai pelancaran besar-besaran yang disiarkan secara langsung oleh media arus perdana agar gah dan hebat, yang akhirnya ia adalah agenda menaikkan nama pemimpin terlibat.

Ramai boleh terbayang dan memahami apabila dikatakan bahawa kerajaan tidak memerlukan gimik kerana perkhidmatannya sememang ditagih oleh rakyat. Lainlah pihak swasta yang perlu berbelanja untuk publisiti bagi memasarkan produk mereka agar diketahui oleh pasaran dan pengguna, dengan sasaran mendapat pulangan lebih besar.

Yang penting, kerajaan hendaklah memastikan perkhidmatan kaunter dan dalam talian lebih cekap dengan maklumat terkini. Ia juga hendaklah dikendalikan oleh penjawat awam mempunyai nilai-nilai teras dengan menjadi semakin berilmu, mahir, tangkas dan proaktif berurusan dengan rakyat.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading