Oleh Aji Tasir

Sah, sahih dan benar Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10. Beliau juga mendapat keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu.

Sah, sahih dan benar Jemaah Menteri telah dibentuk dan mengangkat sumpah dengan melalui gabungan pelbagai parti.

Rakyat sudah membuat pilihan melalui demokrasi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan siapa calon yang diundi oleh setiap orang sudah tidak penting lagi apabila gabungan yang memenangi kerusi terbanyak membentuk kerajaan dengan parti pilihannya bagi sekurang-kurangnya memiliki majoriti mudah.

Itu pun selepas gabungan kedua mendapat kerusi paling banyak menolak saranan Yang di-Pertuan Agong agar bersama-sama membentuk kerajaan. Majlis Raja-Raja Melayu pun sudah memberi keesahan kepada gabungan yang membentuk kerajaan.

Semua orang tahu sedikit sebanyak apa berlaku sepanjang proses demokrasi bermula daripada PRU-15 hingga kepada pembentukan kerajaan serta barisan Jemaah Menteri dan undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Noktah.

Kini masanya menumpukan segala tenaga dan akal fikiran memulihkan ekonomi, mensejahterakan rakyat dan mengukuhkan negara.

Justeru kepada Anwar, para pemimpin di peringkat pusat, negeri, bahagian, cawangan bahkan seluruh rakyat berhentilah memikirkan atau berkeluh kesah kepada semua proses tersebut yang sudah berlaku secara sah, sahih dan benar.

Anwar dan barisan kepimpinannya perlu membuktikan dalam tempoh lima tahun ini sebelum PRU-16 bahawa apa yang mereka janji dan cakap selama ini, bukanlah retorik. Sudah sampai masanya walk the talk, kata dikota, janji ditepati.

Jangan berlegah, usah berdalih atau ada tempoh bertenang dan menyesuaikan diri, kerana semua yang ditempuhi rakyat dan negara sejak PRU-14 masih segar dalam ingatan kebanyakan rakyat dan perlukan tindakan jitu serta bukan lagi dalam fasa kajian dan siasatan.

Dalam tempoh itu, Malaysia menjadi lebih terkenal bukan dek pencapaiannya tetapi kerana diterajui tiga Perdana Menteri. Malah bara politik sudah membahang lebih awal sebelum PRU-14 yang rentetannnya bagaikan tidak kesudahan, lantas menjadikan rakyat seluruhnya cemuh, resah, gelisah dengan rasa bagaikan tiada harapan.

Maka, menjadi amanah kerajaan baru ini mengembalikan semula harapan dan aspirasi masa depan sebuah negara yang pesat pertumbuhan; berdaya maju serba serbi dalam ekonomi, pendidikan, ilmu dan teknologi; kukuh sosial, jati diri dan sahsiah, sekali gus aman, makmur dan sejahtera.

Usah peduli kalau ada lagi pahat-pahat yang masih berbunyi kerana adalah lebih utama menjadikan rumah yang sudah siap itu selesa dan nyaman untuk didiami. Tiada dendam dan kepentingan diri dengan semuanya demi keperluan rakyat ke arah kebaikan serta kepentingan negara.

Dalam usia 75 tahun, Anwar tidak perlu memikirkan berapa lama beliau perlu berada di puncak kuasa, sebaliknya tumpu kepada kerja-kerja sepenuh ikhlas bagaikan berada pada pecutan 100 meter terakhir berbakti kepada nusa dan bangsa.

Bukan sahaja Anwar, anggota Jemaah Menteri bahkan semua orang kena memandang ke hadapan dalam realiti membangunkan negara. Kalau mahu menoleh ke belakang pun, hanyalah mengambil iktibar daripada pengalaman untuk melakar masa depan.

Setiap orang perlu berusaha dan berdoa dan sesudah itu, berserah kepada Allah.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading