Oleh Alwani binti Ghazali

Ramadan membawa bersamanya nikmat yang sarat. Ia berupa peluang untuk pengampunan daripada dosa-dosa dan juga ruang untuk merebut sebanyak-banyak pahala amalan soleh. Puasa yang difardukan ke atas Muslim bertujuan untuk membina sifat taqwa seperti maksud yang disebut dalam al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Imam Ibn Rajab memberi pengertian taqwa dengan menyebut bahawa ia adalah keadaan apabila seseorang hamba “meletakkan pelindung yang dapat memelihara dirinya daripada perkara yang ditakuti dan diawasinya.” (Huraian hadith ke-18, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam)

Dengan kata lain, apabila seorang hamba Allah takut kepadaNya, dia melindungi diri daripada apa juga perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Ini dapat dilakukan dengan cara melakukan ketaatan terhadap perintah Allah, serta meninggalkan segala laranganNya.

Kepentingan ilmu dalam usaha meraih taqwa

Pengertian ini berbunyi mudah tetapi sangat memerlukan komitmen yang tinggi. Untuk melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan semua laranganNya memerlukan ilmu yang menyeluruh dan tepat tentang apa yang perlu dibuat dengan betul dan apa yang perlu ditinggalkan atau dijauhkan. Dengan kata lain, ilmu diperlukan bagi memastikan shariat Allah atau ajaran Islam dilaksanakan dengan betul. Tanpa ilmu yang tepat, proses melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan tidak dapat disempurnakan dengan baik.

Apabila taqwa dijadikan objektif berpuasa, ini bermakna seluruh proses berpuasa Ramadan juga adalah suatu perjalanan untuk seorang Muslim berhenti sejenak di celah kesibukan duniawi lalu melakukan refleksi diri yang mendalam: Sudah cukupkah ilmu di dada bagi mentaati Allah dengan sempurna?

Refleksi tersebut hendaknya menyedarkan setiap individu Muslim akan keterbatasannya. Ini mendorong dirinya mencari ruang dan peluang bagi menambah lagi ketidakkcukupan diri dalam aspek ilmu. ‘Awn bin ‘Abdullah berkata: “Kesempurnaan taqwa tercapai dengan cara kamu berusaha mengetahui apa yang tidak diketahui tentang taqwa sehingga apa yang sudah diketahui tentangnya.”

Taqwa, kejujuran, hati-hati dan integriti

Di samping aspek ilmu – di mana yang utamanya ialah ilmu shari’at, taqwa juga melibatkan aspek kepekaan perasaan seorang bahawa Allah sentiasa mengawasinya. Ilmunya memberi pedoman tentang apa yang salah dan apa yang betul. Namun, kepekaan perasaannya terhadap pengawasan Allah membuatkannya jujur secara praktikalnya – sama ada untuk melakukan perintah yang telah diketahui wajib, harus atau sunat dilakukan; atau meninggalkan perkara yang haram atau shubuhat.

Proses berpuasa melatih seseorang Muslim berhati-hati agar tidak tersilap membatalkan puasanya lalu menjadi sia-sia. Walaupun tiada siapa manusia lain pun yang memerhatikannya, dia mengetahui serta meyakini bahawa untuk memastikan puasanya diterima, dia wajib jujur mematuhi peraturan dan pantang larang berpuasa meskipun berada di tempat terlindung daripada pandangan mana-mana manusia. Ini kerana Allahlah yang menerima puasa seseorang serta menilai pahala puasa tersebut.

Melalui puasa, sifat berhati-hati terbina. Itulah juga sisi lain taqwa sepertimana yang digambarkan oleh Abu Hurayrah apabila ditanya mengenai pengertian taqwa dengan maksud meninggalkan perkara haram: “Sebagaimana melalui jalan berduri”, iaitu seseorang akan mengelak daripadanya, atau tidak melalui tempat itu sama sekali.

Ringkasnya, taqwa menjadikan seseorang Muslim berhati-hati serta dalam jangka masa panjang, lebih berintegriti. Dengan adanya taqwa, sifat berintegriti ini lebih terserlah dalam menunaikan amanah serta tanggungjawab yang digalas di atas bahunya.

Ganjaran taqwa

Gabungan kesediaan menuntut ilmu bagi memahami shariat dan urusan duniawi, dengan kepekaan perasaan untuk menyedari pengawasan Allah serta mengelakkan sebarang bentuk kemurkaan membentuk apa yang dinamakan taqwa. Ia adalah proses berterusan yang pastinya menuntut komitmen, serta keazaman yang tinggi.

Salah satu daripada banyak ganjaran taqwa yang disebutkan dalam al-Quran ialah ia dapat mengeluarkan diri daripada belenggu masalah. Di samping itu juga, seseorang yang bertaqwa diberi ganjaran rezeki yang tidak disangka-sangka.

Maksud firman Allah: “…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Cara meraih taqwa

Rasulullah SAW sendiri berdoa kepada Allah agar dikurniakan taqwa: “Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon daripadaMu petunjuk, taqwa, pemeliharaan diri daripada kejahatan dan kekayaan.” (Muslim, hadith no 2721)

Di samping berusaha untuk menambah ilmu agar shariat sentiasa dipatuhi, serta melatih diri agar sentiasa jujur dengan pengawasan Allah dengan cara meninggalkan segala yang tidak diredhaiNya; barangkali berdoa memperoleh taqwa adalah cara yang paling praktikal untuk meraih taqwa daripada Allah.

Bersempena dengan Ramadan bila mana doa orang yang berpuasa tidak ditolak oleh Allah SWT, marilah bersama mengamalkan doa Rasulullah SAW di atas agar kita memperoleh taqwa yang menjadi objektif utama amalan berpuasa.

Dr. Alwani binti Ghazali ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di aghazali@um.edu.my

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading