Taufan Senyar. Sebut sahaja nama itu, ia pasti dapat membangkitkan kenangan pahit buat ribuan penduduk di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada November 2025. Taufan yang diberikan nama Arab, ‘Senyar’ (Singa), oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini bukanlah ribut biasa. Ia adalah sebuah fenomena cuaca yang secara ajaib berlaku di kawasan yang secara teorinya mustahil untuk menyokong pembentukan siklon tropika yang kuat iaitu di perairan cetek Selat Melaka. Taufan Senyar mula dikesan pada 22 November 2025 sebagai sistem tekanan rendah yang kemudiannya membesar menjadi ribut tropika yang melanda negeri-negeri utara, termasuk Kedah dan Pulau Pinang, pada 26 November. Walaupun Malaysia jarang sekali menerima impak langsung taufan seperti ini, kejadian Senyar yang menyebabkan perpindahan ribuan mangsa dan mengorbankan puluhan penduduk di Sumatera telah mencetuskan kebimbangan mendalam.

Lebih daripada sekadar kerosakan dan banjir, Taufan Senyar telah memecahkan peraturan asas dalam ilmu kaji cuaca. Pembentukannya di latitud yang sangat rendah, iaitu sekitar 2°U hingga 5°U, menentang teori Daya Coriolis di mana daya pusaran yang diperlukan untuk memulakan putaran siklon hampir sifar di garisan Khatulistiwa (0°) (Emanuel, 2018). Selain itu, persekitaran Selat Melaka yang cetek dan sempit secara hidrologi tidak sesuai untuk membekalkan tenaga haba yang cukup untuk mengekalkan atau menguatkan ribut tropika yang ekstrem (Chang et al., 2020). Dengan itu, artikel ini akan merungkai mengapa Taufan Senyar dianggap sebagai “fenomena yang melawan hukum alam” dan mengupas pengajaran penting yang perlu diambil Malaysia dalam menghadapi ancaman luar jangka ini.

Taufan Senyar mula menarik perhatian dunia meteorologi kerana pembentukannya seolah-olah melawan hukum alam. Mengikut prinsip asas, siklon tropika memerlukan Daya Coriolis yang signifikan untuk memulakan dan mengekalkan putaran. Daya pusaran Bumi ini secara fizikalnya hampir sifar di Garisan Khatulistiwa (0° latitud) dan menjadi semakin kuat apabila bergerak menjauhi garisan tersebut (Anthes, 2010). Namun, Taufan Senyar berjaya mencapai intensiti ribut tropika di latitud yang sangat rendah, iaitu dalam anggaran 2°U hingga 5°U di perairan Selat Melaka. Keupayaan sistem putaran ini untuk terbentuk begitu dekat dengan Khatulistiwa adalah anomali yang sangat jarang berlaku, memecahkan peraturan asas yang selama ini menjadi pegangan dalam teori siklon tropika, menjadikan kejadian ini sebagai subjek kajian penting (Henderson; Lee, 2023).

Anomali Senyar tidak berhenti di situ. Persekitaran geografi dan hidrologi Selat Melaka juga sangat tidak kondusif untuk pembentukan taufan kuat. Selat Melaka adalah laluan air yang agak cetek dan sempit, yang mana jisim air di dalamnya tidak mampu membekalkan tenaga haba yang mendalam dan berterusan, berbanding lautan terbuka yang dalam, yang mana suhu permukaan lautnya yang tinggi adalah penting untuk mengekalkan atau menguatkan ribut tropika (Emanuel, 2018). Walaupun menghadapi halangan ini, sistem tekanan rendah yang mula dikesan pada 22 November 2025 di perairan Selat Melaka telah mula menguat. Ia bergerak perlahan ke barat laut, menyebabkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terpaksa mengeluarkan amaran hujan awal seawal 23 November. Pada 25 November, sistem tersebut mencapai kekuatan ribut tropika dan dinamakan secara rasmi sebagai Taufan Tropika Senyar oleh UAE.

Taufan Senyar mencapai kedudukan paling dekat dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi 26 November 2025, membawa hujan lebat ekstrem dan angin kencang ke Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor. Berbeza dengan kebiasaan, taufan ini tidak datang dari Lautan Hindi; ia terbentuk di sebelah timur Sumatera. Hal ini bermakna, ia melangkaui; perisai semulajadi; Malaysia – banjaran tinggi Pulau Sumatera di Indonesia – yang selalunya bertindak melemahkan siklon tropika sebelum ia sampai ke Pantai Barat. Oleh kerana tiada perlindungan geografi ini, Pantai Barat Semenanjung Malaysia telah terdedah kepada impak langsung yang sangat jarang berlaku (Henderson; Lee, 2023). Senyar kemudiannya dilaporkan membuat landasan (landfall) di Langsa, Aceh, Indonesia, pada petang 26 November, sebelum melemah dengan cepat pada 27 November selepas melintasi daratan Sumatera dan lenyap sepenuhnya di Lautan Hindi pada 30 November.

KESAN RIBUT TROPIKA SENYAR DI MALAYSIA

Ribut tropika senyar telah memberi kesan besar kepada Malaysia apabila ia membawa angina kencang, hujan lebat yang berpanjangan, dan keadaan laut yang bergelora di Kawasan barat semenanjung. Walaupon Malaysia bukan negara laluan taufan, Senyar membuktikan bahawa cuaca ekstrem kini semakin tidak menentu akibat perubahan iklim global. Ribut ini meningalkan impak dalam bentuk kerusakan fizikal, gangguan perkhidmatan penting, resiko keselamatan, serta implikasi jangka Panjang kepada negara dari aspek infrasturktur.

Salah satu kesan paling ketara yang dicatatkan semasa kejadian Senyar ialah jumlah pokok tumbang sangat tinggi. Menurut laporan Bernama dan JPBM sekurang-kuranya 49 kes pokok tumbang berlaku di lima negeri termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Putrajaya dan Perak. Kejadian ini bukan sahaja menghalang lalu lintas, malah turut menyebabkan resiko kecederaan dan kematian. Di Melaka , seorang penunggang motosikal maut apabila motosikalnya merempuh sebatang pokok besar yang tumbang di Jalan Selandar Machap ketika rebut sedang berlaku. Laporan media menyebut bahawa ribut tropika Senyar menjejaskan berpuluh ribu penduduk di Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Walaupun Malaysia secara umumnya tidak mengalami kemusnahan seteruk negara jiran, pemindahan tetap perlu dilakukan sebagai langkah keselamatan, terutama apabila keadaan angina dan hujan berada pada tahap berbahaya. Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang merekodkan kesan teruk, termasuk insiden tanah runtuh di kawasan cerun dan kerosakan struktur pelabuhan di Port Dickson. Ribut kuat mengakibatkan beberapa bahagian struktur jeti serta kawasan penyimpanan logistik mengalami kerosakan. Ini bukan sahaja memberi kesan ekonomi kepada sektor maritim, tetapi juga menjejaskan operasi harian pelabuhan.

Hujan lebat berterusan pula menambah risiko banjir kilat di kawasan rendah, terutama di kawasan bandar yang mempunyai sistem perparitan terhad. Air melimpah dengan cepat, sehingga menyebabkan sesetengah jalan utama dinaiki air. Di perairan, keadaan laut bergelora turut menjejaskan keselamatan nelayan dan bot kecil yang terpaksa menghentikan operasi. Ribut ini juga meningkatkan risiko ombak besar, arus kuat dan angin yang boleh merosakkan bot serta peralatan menangkap ikan.

Kesan ribut ini turut dirasai oleh penduduk setempat apabila beberapa kawasan diarahkan untuk berpindah, terutama di zon pesisir, kawasan tanah rendah dan lokasi berpotensi tanah runtuh. Evakuasi dilakukan bagi mengelakkan risiko kecederaan atau kehilangan nyawa akibat struktur rosak, tanah runtuh, banjir tiba-tiba ataupun pokok tumbang dalam keadaan angin yang tidak menentu.

Laporan media menyebut bahawa ribut tropika Senyar menjejaskan puluhan ribu penduduk di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia. Walaupun Malaysia secara umumnya tidak mengalami kemusnahan seteruk negara jiran, pemindahan tetap perlu dilakukan sebagai langkah keselamatan, terutama apabila keadaan angin dan hujan berada pada tahap berbahaya. Kawasan yang terlibat dengan pemindahan sementara melapor keadaan seperti rumah rosak, bumbung tercabut, atau kawasan kediaman yang tidak lagi selamat didiami akibat banjir dan angin kuat. Pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa sehingga keadaan kembali stabil seperti biasa kembali.

Senyar turut membawa kesan kepada alam sekitar melalui fenomena hakisan pantai, banjir pantai dan pencemaran daripada serpihan yang terdampar selepas rebut. Ombak besar dan arus kuat boleh menghakis pasir pantai, merosakkan struktur seperti benteng pemecah ombak, dan menjejaskan ekosistem pesisir. Serpihan pokok, objek kayu, bahagian bumbung, kepingan zink serta sampah dari kawasan hulu mudah dihanyutkan ke laut dan pantai. Jika tidak dibersihkan segera, ia boleh menyebabkan pencemaran laut, menjejaskan hidupan marin dan memberi kesan jangka panjang kepada komuniti nelayan dan juga akan menjejaskan orang setempat.

IMPLIKASI DAN MAKNA BESAR KEPADA MALAYSIA

Senyar memberi satu isyarat penting bahawa Malaysia kini semakin terdedah kepada cuaca ekstrem akibat perubahan iklim global. Walaupun negara ini tidak berada dalam laluan taufan, ribut tropika luar biasa boleh terbentuk atau memasuki kawasan perairan yang jarang berlaku, seperti Selat Melaka.

Kejadian ini menunjukkan bahawa Malaysia perlu menaik taraf sistem amaran awal, termasuk amaran angin kencang, laut bergelora dan hujan lebat dan Kesiapsiagaan awam perlu ditingkatkan dengan latihan, pendidikan bencana dan sistem komunikasi lebih cepat. Seterusnya, Infrastruktur kritikal seperti pelabuhan, perparitan bandar, pokok tepi jalan, jambatan dan bangunan pesisir perlu diperkuat untuk menahan cuaca ekstrem dan Malaysia membuat Perancangan bandar masa depan perlu mengambil kira risiko banjir kilat dan ribut kuat sebagai ancaman yang semakin kerap.

PERSIAPAN DAN LANGKAH KERAJAAN

Kerajaan Malaysia telah mengukuhkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi Ribut Tropika Senyar melalui pelbagai strategi bersepadu yang melibatkan pemantauan cuaca, penyediaan logistik kecemasan, serta koordinasi antara agensi persekutuan dan negeri. MetMalaysia secara berterusan menjejak pergerakan sistem ribut tropika yang jarang berlaku itu di perairan Selat Melaka dan mengeluarkan amaran berperingkat termasuk Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan, dan Amaran Angin Kuat serta Laut Bergelora bagi negeri-negeri yang dijangka terjejas.

Tujuan amaran awal ini adalah untuk memberi masa yang mencukupi kepada pihak berkuasa tempatan dan komuniti awam dalam merancang langkah mitigasi awal serta mengurangkan impak kemanusiaan sekiranya berlaku banjir atau kerosakan infrastruktur (Malay Mail, 2025a). Sementara itu, NADMA mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana di peringkat negeri dan daerah, memastikan bekalan asas seperti makanan, khemah, kit bantuan mangsa dan peralatan kecemasan lain tersedia, serta menguruskan penyelarasan respons di semua peringkat. Langkah-langkah ini menekankan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan kesediaan menghadapi bencana alam secara sistematik dan bersepadu (Malay Mail, 2025b).

TEKNOLOGI DAN SISTEM AWAL AMARAN

Dalam usaha meningkatkan ketepatan dan keberkesanan sistem amaran awal, MetMalaysia telah mengimplementasikan penggunaan teknologi berasaskan superkomputer dan model cuaca beresolusi tinggi, termasuk analisis data besar (big data analytics) dan kecerdasan buatan (AI), bagi meramalkan pergerakan ribut tropika dengan lebih tepat. Teknologi ini membolehkan pengeluaran amaran awal sehingga 14 hari lebih awal berbanding sistem sedia ada, sekali gus memberi ruang masa yang lebih panjang kepada pihak berkuasa dan komuniti untuk mengambil langkah persiapan yang sesuai. Sistem amaran ini juga disokong oleh saluran komunikasi digital termasuk aplikasi myCuaca, laman web rasmi dan media sosial, yang membolehkan maklumat cuaca dan amaran ekstrem disampaikan dengan pantas kepada orang awam, sekali gus meningkatkan keberkesanan tindakan mitigasi awal (The Star, 2025a; Berita Harian, 2025). Keupayaan teknologi ini secara langsung menyumbang kepada pengurangan risiko kemanusiaan dan kerugian harta benda akibat fenomena cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

PROSEDUR RESPONS DAN MOBILISASI

Apabila ancaman ribut tropika semakin jelas, prosedur respons kecemasan telah diaktifkan secara menyeluruh bagi memastikan bantuan dan operasi penyelamatan dapat dilaksanakan secara terkoordinasi. Angkatan Pertahanan Awam, pasukan keselamatan dan agensi penyelamat lain telah digerakkan dengan segera, lengkap dengan aset kritikal seperti bot penyelamat, ambulans, kenderaan pacuan empat roda, pam air dan dron pemantauan untuk memastikan pemantauan dan tindakan penyelamatan dapat dilakukan tanpa kelewatan. Pusat pemindahan sementara turut disediakan lengkap dengan bekalan makanan, khemah dan kit asas untuk menampung mangsa yang terjejas akibat banjir atau kerosakan harta benda. Strategi mobilisasi ini menekankan kepentingan koordinasi bersepadu antara pelbagai agensi, yang merupakan amalan terbaik dalam pengurusan bencana untuk meminimakan kesan buruk terhadap komuniti (Berita Harian, 2025; Malay Mail, 2025a).

KEBIJAKAN KESEDARAN DAN PERANCANGAN JANGKA PANJANG

Kerajaan Malaysia turut menekankan aspek kesedaran komuniti dan perancangan jangka panjang sebagai elemen penting dalam pengurusan bencana. Program pendidikan risiko bencana, latihan kesiapsiagaan dan promosi pengurusan risiko secara berterusan dijalankan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai langkah-langkah perlindungan diri, pengurusan aset peribadi, dan tindakan sewajarnya ketika berdepan ribut tropika. Kerajaan juga bekerjasama dengan agensi antarabangsa dan serantau untuk meningkatkan kapasiti mitigasi risiko bencana melalui penggunaan teknologi canggih, perkongsian amalan terbaik dan pembangunan sistem amaran awal yang lebih bersepadu. Kesemua inisiatif ini bertujuan membina daya tahan masyarakat terhadap ancaman perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu, sekaligus menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara (Sinar Daily, 2025; Refugee Malaysia, 2025).

KESIMPULAN

Taufan Tropika Senyar merupakan peringatan jelas bahawa Malaysia, walaupun terletak di luar laluan taufan utama, kini semakin terdedah kepada fenomena cuaca ekstrem akibat perubahan iklim global. Kejadian ini menonjol kerana sifatnya yang jarang berlaku terbentuk di latitud rendah di perairan cetek Selat Melaka dan impaknya yang meliputi hujan lebat, angin kencang, kerosakan infrastruktur, pemindahan penduduk, serta ancaman terhadap keselamatan dan alam sekitar. Kesemua ini menunjukkan bahawa risiko cuaca ekstrem yang tidak boleh dipandang ringan, dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada kerajaan dan masyarakat.

Dalam menghadapi ancaman seperti Senyar, kerajaan telah menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi melalui langkah-langkah seperti pemantauan cuaca berterusan oleh MetMalaysia, pengaktifan pusat kawalan operasi bencana oleh NADMA, penggunaan teknologi ramalan cuaca beresolusi tinggi, serta prosedur respons dan mobilisasi aset penyelamat yang pantas. Di samping itu, inisiatif pendidikan komuniti dan perancangan jangka panjang menekankan kepentingan membina daya tahan masyarakat dan infrastruktur negara terhadap bencana alam.

Secara keseluruhannya, Taufan Senyar bukan sekadar ribut tropika biasa, tetapi satu isyarat penting bahawa Malaysia perlu memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat, serta memperkuatkan infrastruktur kritikal. Pendekatan proaktif dan bersepadu ini adalah kunci bagi menghadapi ancaman luar jangka yang semakin kerap berlaku pada masa hadapan.

Zulhilmi Aiman Bin Zainuddin
Pelajar Tahun 1, Sarjana Muda Penulisan Kreatif (Kepujian),
Fakulti Filem, Teater dan Animasi,
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Perdana, Selangor.

RUJUKAN

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading